LANGKAWI – Hubungan yang baik akan wujud sekiranya konsep pegangan aqidah yang kuat terhadap Allah terbukti dengan mengambil berat segala perintah dan laranganNya. Tanpa agama manusia akan sengsara walau pun hidup dalam mahligai emas dan ini jelas menunjukkan agama memainkan peranan penting dalam setiap aspek kehidupan.
Demikian ucapan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali ketika merasmikan Seminar Undang-Undang Keluarga Peringkat Daerah Langkawi, di sini.
“Peranan kita dalam keluarga sangat penting. Kita bertanggungjawab melahirkan ahli keluarga yang beriman, beramal soleh dan sentiasa menjadi penyumbang kepada manusia lain,” katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.
Jelasnya lagi, perkahwinan merupakan perkara yang disyariatkan oleh Islam dan ianya sebagai suatu tanda pengertian nikmat yang amat besar terhadap seluruh umat manusia. Merujuk kepada ayat A-Quran Nur-Karim, Surah Ar-Rum, ayat 21, yang bermakna, ‘di antara ayat-ayatNya bahawa Ia jadikan kamu dari jenis kamu sendiri serta pasangan (isteri) yang kamu bersenang-senang dengannya, Ia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih sayang.’
“Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang dianugerahkan Allah untuk lelaki dan perempuan. Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu tetapi atas tuntutan agama dan oleh itu setiap pasangan terutamanya suami selaku tunggak keluarga perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka mendapat rahmat dari Allah SWT,” sambungnya lagi.
Sistem kekeluargaan adalah satu sistem yang menyusun institusi keluarga. Ianya merupakan tanggungjawab yang mesti dipenuhi dan dilaksanakan mengikut peranan masing, samada isteri mahu pun suami. Kebahagian dan ketenangan bukanlah satu hadiah dari suami mahu pun isteri tetapi ianya merupakan proses yang perlu dimainkan oleh pasangan berkenaan untuk menyusun atur urusan rumahtangga masing-masing.
“Kaum lelaki merupakan pemimpin bagi kaum perempuan. Begitu juga dengan bapa, mereka merupakan ketua keluarga. Bapa memainkan peranan yang penting samada untuk memimpin, mentadbir, menguasa, melindung dan beliau juga tunggak utama dalam mendidik dan membentuk keharmonian sesebuah keluarga,“ ujarnya.
Tambah beliau, wanita atau pun isteri perlulah memahami kedudukan dan tanggungjawab masing-masing. Isteri solehah yang taat kepada Allah dan suami dapat membahagiakan keluarga dan sekaligus menjadikan rumahtangga aman dan harmoni.
“Kes-kes penceraian semakin meningkat setiap tahun. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam (JAKIM) menunjukkan penceraian berlaku setiap 15 minit di kalangan suami isteri beragama Islam.
“Pada tahun 2011, daerah Kuala Muda mencatatkan kadar tertinggi, diikuti daerah Kota Setar dan Kubang Pasu,” terangnya lagi.
Jelasnya lagi, dalam melayari bahtera kehidupan, tentunya wujud pertikaian atau konflik dalam rumahtangga. Tetapi itulah realiti yang perlu ditangani secara bijaksana dan berpandukan Islam kerana tiada siapa pun mahu perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian, lebih-lebih lagi bila anak-anak telah hadir menagih kasih sayang dan penjagaan.
“Sehubungan itulah, Seminar Undang-Undang yang kita adakan ini bertujuan memberi kefahaman dan pendedahan kepada semua peringkat masyarakat Islam. Undang-undang kekeluargaan amat penting untuk diketahui oleh setiap individu sebagai panduan dalam membentuk sebuah keluarga,” tambah Ashah.
Seminar Undang-Undang Keluarga Peringkat Daerah Langkwi di adakan di Dewan As-Syifa’, Padang Mat Sirat. Antara yang pengisian yang menarik termasuklah, pembentangan kertas kerja bertajuk Bidang Kuasa Jabatan Guaman, oleh Noor Azrul Dato’Abdul Rahman dan dialog melibatkan tiga ahli panel iaitu, Ketua Hakim Mahkamah Syariah, Syeikh Bisyamuddin Azha Baharom, wakil Majlis Agama Islam Langkawi, Ahmad Nur Ismadi Ismail serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Langkawi, Ahmad Md Noor.
Hadir bersama ialah Pegawai Daerah Langkawi, Harun Jasin, jabatan-jabatan kerajaan, NGO dan masyarakat setempat.
No comments:
Post a Comment