Dalam dokumen Perlembagaan Persekutuan, status agama islam sebagai agama Persekutuan diletakkan di dalam Fasal 3. Undang-undang utama Malaysia, iaitu Perlembagaan Persekutuan ini diletakkan di Fasal 4. Walaupun tidak dinyatakan di mana-mana bahagian di dalam dokumen Perlembagaan ini bahawa Fasal 3 lebih utama daripada Fasal 4, tetapi perkembangan takrifan terhadap dokumen ini oleh pihak mahkamah telah membuktikan bahawa pemikiran tahun-tahun 1980an dan sebelumnya telah berubah selepas wujudnya pindaan kepada Fasal 121(1A) yang berkuatkuasa pada 10 Jun tahun 1988.
Perubahan ini disebabkan peruntukan Fasal 121(1A) telah memisahkan kuasa Mahkamah Sivil dengan kuasa Mahkamah Syariah. Selain itu, peruntukan ini juga adalah sebagai satu pengikhtirafan kepada status agama Islam kerana sebelum adanya peruntukan ini, Islam sebagai agama persekutuan hanyalah sebagai ‘rituals and ceremonies’ sahaja. Dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn PP [1988], Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara pada masa itu dalam memberi penghakimannya berkata walaupun penghakimannya bertentangan dengan perasaan peribadinya, tetapi itulah kenyataannya. Malaysia adalah negara sekular dan Agama Islam tidak lebih daripada urusan peribadi rakyatnya walaupun peruntukan ini membolehkan wang negara dibelanjakan untuk tujuan tersebut.
Selaras dengan pindaan ini, kerajaan-kerajaan negeri telah memperkasakan enakmen-enekmen berkaitan pentadbiran agama Islam dan sekarang ini memperlihatkan status Mahkamah Syariah adalah setaraf dengan Mahkamah Sivil seperti yang diperakui oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Kamariah Ali [2011] dan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy [2007] .
Cumanya, apabila Presiden Bar Council Malaysia, Lim Chee Wee membuat kenyataan 2 hari lepas yang mempertikaikan bahawa pindaan kepada Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, adakah kenyataan beliau ini menghasut seperti mana yang didakwa oleh peguam Mohamad Khairul Azam atau sememangnya pandangan beliau adalah betul?
Dalam enakmen ini, tugas Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah adalah bagi mengeluarkan suatu fatwa terhadap “atas apa-apa persoalan yang belum muktamad atau atas apa-apa isu yang berhubung dengan Hukum Syarak.” Dalam bahasa mudah, tugas Jawatankuasa Fatwa adalah untuk membuat undang-undang berkaitan syarak jika undang-undang tersebut masih belum ada lagi.
Tugas Jawatankuasa Fatwa ini boleh diumpamakan sama dengan Menteri atau mana-mana pihak berkuasa yang dibenarkan untuk membuat undang-undang kecil. Cumanya, apabila pindaan ini menyatakan bahawa fatwa yang dikeluarkan ini tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah, persoalannya adakah ianya selaras dengan konsep pengasingan kuasa?
Dalam sistem perundangan Malaysia, mana-mana mahkamah sivil tidak boleh membicarakan kes-kes berkaitan agama Islam (peruntukan Fasal 121(1A)). Mahkamah Syariah pula tidak boleh membicarakan sesuatu kes yang dibawa di hadapannya kalau bidangkuasa tersebut tidak diperuntukan di bawah mana-mana enakmen negeri (kes Shaik Zolkaffily Shaik Natar lwn MAIPP [1997]).
Selaras dengan konsep pengasingan kuasa iaitu mahkamah bukanlah forum untuk membuat undang-undang seperti mana yang dinyatakan oleh Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar bin Che Soh, maka jika undang-undang syarak berkaitan sesuatu perkara itu masih belum ada lagi, maka Jawatankuasa Fatwa adalah forum yang terbaik untuk tujuan tersebut.
Namun jika ada pihak-pihak yang tidak berpuasa hati dengan fatwa yang telah dikeluarkan, adakah mahkamah ialah forum yang sesuai untuk menyangkal fatwa tersebut?
Jika kita berpandukan kepada konsep perundangan sivil, jawapannya memanglah YA. Tetapi kita kena faham bahawa konsep perundangan sivil kita, atau lebih dikenali dengan nama common law adalah bersifat evolving dan mahkamah adalah tempat terbaik dalam memberi takrifan terhadap sesuatu undang-undang yang dibentangkan di hadapannya.
Sistem ini adalah berbeza dengan sistem perundangan Islam/Syariah dimana pakar rujuk berkaitan syariah adalah Mufti ataupun para ulama di dalam Jawatankuasa Fatwa. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh YAB Ust Azizan, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan fatwa yang telah dikeluarkan, beliau bolehlah merujuk semula perkara itu kepada Jawatankuasa Fatwa. Adalah tidak logik jika seorang hakim di mahkamah boleh disifatkan lagi arif daripada para alim-ulama yang menganggotai Jawatankuasa Fatwa.
Perkara ini juga bukanlah sesuatu yang pelik dalam sistem perundangan di Malaysia. Sebagai contoh, dalam isu adat di Negeri Sembilan ataupun isu hukuman Mahkamah Tentera, mahkamah sivil tidak akan masuk campur di dalam mengesahkan atau menolak sebarang keputusan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Ini kerana mahkamah tidak berkuasa untuk berbuat demikian. Kuasa mahkamah sivil hanyalah terhad kepada menentukan sama ada peruntukan yang ada berkaitan dengan perkara tersebut telah dipatuhi sepenuhnya ataupun tidak semasa keputusan tersebut dibuat.
Oleh itu, saya tidak rasa pindaan ini sesuatu yang melanggar prinsip Perlembagaan Malaysia. Kalau melanggar prinsip yang dinyatakan di atas sekalipun, perlu difahami bahawa Fasal 3(2) kepada Perlembagaan Persekutuan membenarkan ianya dilaksanakan oleh Sultan kerana kuasa baginda di dalam hal-ehwal Islam di negeri baginda adalah mutlak. Jika Kebawah Duli Sultan Kedah telah perkenankan pindaan ini, apa yang tidak perpelembagaan lagi?
Untuk Roslinda, saya ingin menyanggah kenyataan saudari! Saya berpendapat, Perlembagaan Malaysia adalah untuk menjamin kelangsungan agama Islam seperti mana yang dikehendaki oleh Majlis Raja-Raja semasa proses rundingan perlembagaan ini berlangsung dahulu. Oleh itu, bagi kita orang Islam, hukum Allah tetap yang paling tinggi!
Sekarang ini, mana-mana kerajaan negeri berhak sepenuhnya untuk mengutkuasakan undang-undang Islam di negeri mereka. Walaupun Hukum Hudud! Ini kerana pada pendapat saya, peruntukan yang mengatakan mahkamah syariah “tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan” adalah sesuatu yang becanggah dengan Fasal 3(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu “kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya ... segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat;”
Bagi negeri Kelantan, amaran Tun Mahathir sudah tidak releven lagi kerana pengisytiharan Darurat telahpun ditamatkan oleh Kerajaan Malaysia pada hujung tahun lepas.
Bagi saya, kenyataan Presiden Bar Council Malaysia adalah satu kekhilafan mengenai pemahaman legal pluralism di Malaysia. Seharusnya beliau menyahut seruan peguam Mohamad Khairul Azam dan meminta maaf kepada kerajaan Negeri Kedah dan Yang DiPetuan Agong! Lagipun, beliau menyentuh bidang yang bukan beliau sebagai seorang ahli. Tidak salah untuk beliau meminta maaf dan ianya tidak menjatuhkan maruah beliau jika beliau telah mempelajari sesuatu mengenai isu ini.
Wallahualam.
Naruto
No comments:
Post a Comment