Friday, June 8, 2012

Ribut goncang Langkawi

Wartawan Sinar Harian
8 Jun 2012
KUAH - Angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Langkawi malam kelmarin, mengakibatkan kebanyakan rumah penduduk rosak apabila hampir keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin.

Hampir keseluruhan kawasan penempatan penduduk sekitar Langkawi iaitu Kuah, Ayer Hangat, Temoyong, Ulu Melaka, Kampung Kisap, Kampung Wang Tok Rendong dan lain-lain kawasan termasuk Pulau Tuba terkena tempiasnya.

Jalan-jalan utama juga tidak dapat dilalui apabila kejadian itu mengakibatkan banyak pokok tumbang.

Pengguna jalan raya yang mahu ke Ayer Hangat terpaksa menunggu hampir dua jam, apabila sebatang pokok menghalang laluan dan menyebabkan pengguna panik serta berlaku kesesakan jalan raya di kawasan Kampung Kisap.

Mangsa ribut, Ajib Tarfizi, 27, berkata, ketika kejadian dia dan keluarga baru sahaja keluar dari rumah.

“Saya tak sangka ribut kali kedua yang berlaku menyebabkan bumbung rumah terus terangkat, tapi masih bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku pada keluarga.

“Kebanyakan peralatan rumah rosak akibat dimasuki air. Saya memohon jasa baik pihak-pihak berkenaan dapat menghulurkan sumbangan bagi membaik pulih rumah ini,” katanya.

Anak beranak lari bertempiaran

MANGSA lain, Mutawali Ahmad, 42, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga berada di dalam rumah dan keadaan menjadi kelam kabut apabila taufan kali kedua yang terus menerbangkan bumbung rumah.

“Kami anak beranak lari bertempiaran keluar kerana takut rumah akan runtuh berikutan ribut yang berlaku luar biasa.

“Saya sedih dengan keadaan ini dan mengharapkan pihak berkenaan datang menjenguk dan memberi bantuan dengan kadar segera,” katanya.

Menurutnya lagi, sekitar Kampung Kisap sahaja hampir sepuluh rumah rosak akibat ribut yang melanda.

Dalam kejadian yang sama, sikap murni yang ditunjukkan penduduk Kampung Kisap dan Belanga Pecah seharusnya dipuji apabila membantu pengguna jalan raya dan pihak bomba mengangkat pokok yang merentangi jalan bagi mengelakkan kesesakan.

Penduduk Kampung Kisap, Kamarudin Abd Rahman berkata, itu adalah tanggungjawab bersama.

“Apa yang penting semua dapat pulang dengan selamat, lagipun kami sebagai penduduk di sini akan terus membantu sekiranya khidmat diperlukan demi kepentingan bersama.

“Kepada mangsa-mangsa ribut, saya harapkan dapat bersabar dengan musibah yang melanda dan terima kasih kepada pihak yang terlibat membantu kami bagi membersihkan pokok yang tumbang semalam,” katanya.

Sekitar Pantai Chenang pula, Sinar Harian mendapat maklumat bahawa hampir keseluruhan khemah-khemah perniagaan rosak dipukul ribut, apatah lagi ia berada berdekatan pantai dan impak yang diterima cukup kuat.

Tinjauan di Pantai Chenang sekitar jam 1 petang semalam menunjukkan bahawa angin cukup kencang dan keadaan ombak besar serta amat berbahaya sekiranya melakukan aktiviti laut.

No comments:

Post a Comment