Wednesday, June 20, 2012

Tahukah anda bahawa masih ada 45 orang lagi di tahan ISA walaupun ianya sudah di hapuskan..!!

GMI lancar kempen 'Bebaskan ISA 45'

KUALA LUMPUR, 19 Jun: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini melancarkan kempen "Bebaskan ISA 45" serta mengulangi desakan agar Menteri Dalam Negeri (KDN) membebaskan kesemua tahanan dan mendakwa mereka di mahkamah.


Kempen ini ekoran belum ada tanda-tanda 45 tahanan di Kem Kamunting (Kemta) akan dibebaskan sebaliknya hanya mampu menunggu tarikh tamat tempoh tahanan.

Kempen itu hanya akan berhenti selepas kesemua tahanan dibebaskan dan Kemta ditutup.

Kempen kali ini berbeza daripada kempen-kempen GMI sebelum ini yang melakukan siri jelajah penerangan dan demonstrasi iaitu ia lebih banyak melibatkan peguam dan keluarga tahanan.

Pihak peguam akan lebih kerap bertemu dengan keluarga tahanan dan mengadakan pertemuan lebih kerap dengan pihak Kemta dan KDN.



Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kempen ini perlu diadakan kerana penderaan mental dan fizikal masih berlaku terhadap tahanan dan penahanan mereka tanpa bukti dan mengelirukan.

"Tahanan berada dalam keadaan yang sangat mengecewakan kerana mereka pernah menerima khabar gembira akan dibebaskan selepas perdana menteri umumkan pemansuhan ISA tapi sampai sekarang masih berada di Kemta.

"Rata-rata yang ditemui pula memberitahu mereka mengalami penderaan fizikal dan mental yang sangat teruk supaya mengakui pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.

"Ada yang digantung dalam keadaan terbalik dalam keadaan separuh bogel, ini sangat menjijikkan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tahanan juga dinafikan hak untuk mendapat khidmat peguam dan keluarga mereka turut menerima ugutan.

"Kebanyakan tahanan yang ditemui memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka dinasihatkan oleh pihak polis agar tidak mendapatkan khidmat peguam kerana peguam akan mengenakan caj yang tinggi sehingga mencecah RM10,000. Itu tidak benar sama sekali," katanya yang hadir bersama peguam dan keluarga tahanan Fadzullah Abdul Razak dan Mustawan Ahbab.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

No comments:

Post a Comment