Merujuk kepada artikel di atas, saya ingin merungkaikan pemahaman hadis yang digunakan dalamnya ini:
“Dari Abi Musa radhiallahu ‘anhu ia berkata: Kami pernah bersama Rasulullah dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka, maka Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu! sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli (pekak) dan tidak juga yang jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.” (Riwayat al-Bukhori, 3/1091, hadis no: 2830. Dan Muslim, 4/2076, hadis no: 2704)
Apabila kita belajar tentang hadis, kita bukan hanya melihat kepada hadis tersebut sahaja tetapi kita juga perlu mengetahui keadaan dan persekitaran dimana hadis itu tersebut berlaku serta waktu ianya berlaku. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya salah-anggapan atau hadis tersebut digunakan bagi maksud yang lain daripada tujuan asalnya.
Seperti mana biasa, bagi setiap sesuatu hukum itu, terdapat pengecualian keatasnya bagi menjadikan hukum tersebut merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Seperti hadis di atas, Abu Musa menyatakan bahawa hadis ini disabdakan oleh Rasulullah S.A.W ketika mereka dalam suatu perjalanan. Perjalanan di mana? Apa yang ada di kiri dan kanan perjalanan itu? Waktu bilakah perjalanan tersebut berlaku? Ini kenalah kita kaji seperti mana al-Bukhori mengkajinya sebelum ini. Oleh itu barulah kita mengetahui kenapa Rasulullah bersabda supaya direndahkan suara takbir mereka. Seperti mana yang kita ketahui, jika kita berzikir di dalam masjid sekalipun, suara kita tidak boleh mengganggu orang lain yang hendak bersolat ataupun membuat amalan yang lainnya.
Kesimpulannya, kalau takbir itu tidak mengganggu orang lain, ianya tidak menjadi satu kesalahan. Lagipun, lebih baiklah bertakbir walaupun adabnya salah daripada tidak bertakbir langsung. Lagi teruk, sudahlah tidak mengingati Allah, tetapi melakukan maksiat pula. Na’uzubillah.
Imam an-Nawawi menjelaskan hadis di atas seperti mana yang dipetik oleh artikel ini:
“Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara, biasanya dilakukan seseorang, kerana orang yang ia ajak berbicara berada di tempat yang jauh, agar ia mendengar ucapannya. Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli (tidak pekak) dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat… Sehingga dalam hadis ini ada anjuran untuk merendahkan suara zikir, selama tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan akan penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.” (Syarah Shahih Muslim, oleh Imam an-Nawawi 17/26)
Imam an-Nawawi sendiri setuju bahawa terdapat keperluan untuk meninggikan suara semasa bertakbir. Sebagai contoh, jika orang yang bercakap dengan kita menggunakan mikrofon dan pembesar suara, maka apabila kita menyahut apa-apa suruhannya maka perlulah kita meninggikan suara. Jika tidak, masakan orang yang bermikrofon itu akan mendengar suara kita. Itu hanya contoh di zaman moden yang dibolehkan berdasar pemahaman kepada penjelasan Imam an-Nawawi. Namun, beliau mengungkapkan, “Dan bila ada kepentingan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.”. Maka ungkapan ini membolehkan, dalam keadaan-keadaan tertentu, suara takbir dikeraskan.
Petikan seterusnya yang digunakan dalam artikel ini bukanlah hadis. Petikan tersebut:
“Diriwayatkan dari Qais bin ‘Abbad ia berkata: Dahulu para sahabat Nabi shollallahu ‘alaihi wa sallam tidak menyukai untuk mengeraskan suara pada tiga keadaan, iaitu: di saat berperang, menghadiri janazah, dan pada saat berzikir.“ (Riwayat Ibnu Abi Syaibah, 6/143, no: 30174, Al Baihaqi 4/74, dan Al Khathib Al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh baghdad 8/91)
Saya setuju dengan petikan ini. Tetapi ianya bukanlah satu petikan yang baik untuk menguatkan hujah penulis artikel. Malah saya mampu menjelaskan kenapa petikan ini wujud:
Tidak digalakkan meninggi suara semasa berperang adalah suatu taktik perperangan. Sehingga sekarangpun taktik ini digunakan walaupun di dalam peperangan moden. Kalau kita biasa menonton cerita perang, sudah tentu kita biasa mendengan ungkapan ini, “Comm Silence!”. Ini bermaksud kena diam, ataupun ‘communication silence’ terutamanya apabila sesebuah pasukan tentera bergerak untuk menyerang kedudukan musuh atau mengambil kedudukan berlindung untuk menyerang hendap atau menyembunyikan diri daripada dikesan musuh.
Semasa kita melawat jenazah, kita tidak digalakkan meninggikan suara sebagai menghormati jenazah. Selayaknya pada masa ini kita sepatutnya lebih banyak menyebut ayat-ayat Allah. Berzikir pula telahpun saya sentuh di atas!
Jika ini sahaja yang digunakan oleh penulis artikel ini untuk mengatakan takbir orang-orang PAS itu salah, layaknya hujah ini gagal ditengah jalan. Tidak sampai langsung maksud yang hendak disampai dengan penerangan yang digunakan!
Untuk itu, maka saya pula ingin mempersoalkan bagaimana pula dengan marhaban, berzanji, nasyid serta syair-syair pujian kepada Allah dan RasulNya?? Dalam keadaan mana ia dibolehkan dan dalam keadaan mana ianya tidak dibolehkan?.
Maka seeloknya kita kenalah faham maksud perkataan ZALIM. Zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tidak keterlaluan saya anggap penulis artikel ini zalim. Saya tidak mahu berfikiran negatif dengan beranggapan penulisnya tidak mengetahui. Jika dia tidak mengetahui, masakan dia boleh mengulas lanjut. Ini bermaksud dia tahu tetapi, tidak mahu meletakkan pada asas yang betul.
Nasihat saya, menulislah dengan tanggungjawab, Wallahualam.
NARUTO
No comments:
Post a Comment