Tuesday, September 18, 2012

Karnival 'Jom Pi Muzium Padi' 27 Sept hingga 6 Oktober



ALOR SETAR - Muzium Padi Negeri Kedah akan mengadakan Karnival 'Jom Pi Muzium Padi 2012' bermula 27 Sept ini hingga 6 Okt bagi membolehkan orang ramai memahami dengan lebih dekat proses penghasilan padi dan beras, yang menjadi makanan ruji masyarakat di negara ini.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kedah Suhaidi Shukri berkata pelbagai program dirancang sepanjang karnival 10 hari itu yang disertai pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).

"Ini adalah tahun kedua kita adakan karnival itu. Setelah kita lihat karnival tahun lepas mendapat sambutan yang menggalakkan, jadi kita teruskan lagi pada tahun ini dengan sasaran 100,000 pengunjung.

Tahun lepas kita mencatatkan kira-kira 70,000 pengunjung," katanya pada sidang media di Muzium Negeri Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata selain pameran dan jualan, pelbagai acara turut diadakan termasuk pertandingan orang kuat, demonstrasi masakan, persembahan hiburan dan acara bendang seperti pertandingan polo bendang, tangkap itik dan serkap ikan.


"Sepanjang 10 hari itu juga kita turut melanjutkan tempoh operasi Muzium Padi iaitu dari 9 pagi hingga 11 malam. Kebiasaannya kita buka pada 9 pagi hingga 5 petang," katanya.

Suhaidi berkata hadiah cabutan bertuah yang disediakan juga cukup unik iaitu lembu, kambing, itik dan ayam selain barangan elektrik.

Beliau berkata selain itu, karnival berkenaan akan memberi peluang kepada usahawan menjana pendapatan sepanjang program itu berjalan.

"Kita menyediakan 60 lot perniagaan untuk usahawan di sekitar negeri ini dan juga di negeri-negeri lain menjalankan perniagaan sepanjang karnival itu berlangsung.

"Kepada usahawan yang berminat menjalankan perniagaan di karnival tersebut, mereka boleh menghubungi Mohd Nazri Abdullah di talian 013-4405410 atau Zaini Abu Hasan di talian 013-4260203," katanya.

Beliau berkata dari Januari hingga Ogos tahun ini, Muzium Padi mencatatkan jumlah pengunjung 200,000 orang.- Bernama

No comments:

Post a Comment