PENDANG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah akan membuat bancian kerugian dialami 55 keluarga mangsa banjir di sini selepas mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Pengarah JKM Kedah, Zulkipli Ramli berkata bancian perlu dilakukan sebelum bantuan seperti membaiki rumah, makanan, pakaian dan peralatan sekolah diberikan untuk meringankan beban mereka.
"Jenis bantuan berdasarkan nilai kerugian setelah siasatan dibuat," katanya kepada pemberita ketika di temui di Pusat Pemindahan Banjir Dewan Belia Pendang, di sini, hari ini.
Zulkipli berkata, bantuan awal lazimnya, diberikan dalam tempoh tiga hari selepas mangsa pulang ke rumah untuk menjalankan kerja mengemas rumah akibat dinaiki air banjir.
Setakat ini, seramai 206 mangsa dari 55 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir sudah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan JKM, seperti kain selimut, bantal, tikar, peralatan mandi dan makanan, katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kedah, Lt Kol Mohtar Samad berkata pihaknya sentiasa memantau bagi mengenal pasti kawasan yang mungkin mengalami banjir agar tindakan awal dapat diambil.
50 anggota sukarelawan JPAM Pendang turut dikerah memantau dan melakukan operasi memindah dan menyelamat penduduk terjejas banjir, katanya.- Bernama
No comments:
Post a Comment