Tuesday, October 2, 2012

Kokbah bakal jadi ‘pelabuhan darat’ terkemuka


GUAR CEMPEDAK – Pekan Kokbah bakal menjadi ‘pelabuhan darat’ terkemuka yang menjadi penghubung kepada laluan keretapi dengan kapal dagangan yang akan singgah di Pulau Bunting.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, perancangan itu sedang dibincangkan dengan Pusat dan infrastrukturnya akan disiapkan dalam satu tempoh masa.

Beliau berkata demikian, dalam majlis Pembukaan Rasmi Jambatan Lintasan Atas (ROB) Jalan Jenun-Pendang yang diadakan di Guar Stesyen.

Di majlis tersebut, Kerajaan Negeri menerima lima dari 71 struktur Projek Landasan Kereta api Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar (EDTP) yang siap dibina di Kedah untuk diserahkan kepada agensi terlibat.

Ia membabitkan jambatan lintasan atas (ROB) Jalan Jenun-Pendang, laluan pejalan kaki dan motosikal (PMB) Taman PKNK Alor Setar, PMB Kampung Kota Rentang, Kubang Pasu, PMB Kampung Padang Telok, Kubang Pasu dan PMB Kampung Paya Bukit Hantu, Kubang Pasu.


“Apabila semua struktur itu disiapkan secara berperingkat-peringkat, semua kawasan lintasan kereta api akan dipagar dan orang ramai perlu menggunakan jambatan itu untuk keselamatan,” ujar beliau dalam ucapannya.

Menurutnya, antara struktur yang masih dibina ialah enam stesen iaitu dua di Kuala Muda, satu di Pendang, dua di Kota Setar dan satu di Kubang Pasu.

“Lapan ROB di Kuala Muda, empat di Pendang, empat di Kota Setar, empat di Kubang Pasu, PMB di 16 kawasan serta beberapa struktur lain,” katanya.

YB. Phahrolrazi memberitahu, jajaran landasan kereta api dalam negeri ini dari Sungai Petani ke Kodiang kira-kira 98.2 kilometer (km) dengan melalui empat daerah iaitu Kubang Pasu dengan 21 km, Kota Setar (21 km), Pendang (17.9 km) serta Kuala Muda dengan 38.3 km.

“Kita jangka apabila projek berkenaan siap kelak, orang ramai akan kembali menggunakan perkhidmatan kereta api kerana lebih selamat, dapat mengurangkan kesesakan serta cepat sampai ke destinasi,” katanya.

Beliau menjelaskan, kegiatan ekonomi semestinya juga akan berkembang ekoran kepesatan penggunaan kereta api untuk kegiatan perdagangan termasuk mengangkut kontena dari negara jiran serta dibawa masuk ke negara ini.

Tambahnya, jumlah kekerapan kereta api yang beroperasi pada satu masa juga akan bertambah dengan kadar kelajuan dapat ditingkatkan hasil penggunaan landasan kereta api elektrik.

Sementara itu, Pengarah Teknikal MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd, Dato’ Mohd Nor Idrus berkata, keseluruhan kerja asas struktur landasan sudah siap 88 peratus manakala pembinaan landasan sekitar 30 hingga 40 peratus siap.

“Kita sasarkan keseluruhan projek ini dapat disiapkan pada bulan November 2014,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment