Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Sokongan masyarakat Cina Kedah terhadap kerajaan negeri mengalami sedikit kecederaan dalam isu garis panduan persembahan terbuka yang membabitkan masyarakat non Muslim.Reaksi yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina sebaik isu tersebut disensasikan, melalui provokasi MCA dan Gerakan, kelihatan sangat membimbangkan Pakatan. Seolah-olah majoriti Cina telah telah berpaling tadah menyokong BN dalam kempen 'Negeri untuk BN, Pusat untuk Pakatan'. Namun akhirnya barulah diketahui bahawa isu tersebut hanyalah sementara. Masyarakat Cina memberi reaksi kemarahan terhadap kerajaan PAS Kedah bukan kerana kebencian tetapi kekhuatiran jika isu tersebut boleh menyebabkan Pakatan kalah di Kedah kerana undi Cina dianggap penentu di banyak kawasan.
ADUN KeADILan, Lim Soo Nee mengambil langkah agresif untuk memberitahu masyarakat Cina non Muslim bahawa hak mereka untuk menikmati hiburan tidak tergugat dengan menganjurkan tarian separa lucah kepada MCA dan Gerakan. Perbuatan itu keterlaluan sehingga dikutuk oleh masyarakat Cina sendiri yang berfikir secara rasional. Chua Soi Lek yang mungkin terbeliak biji mata, tidak terkata apa-apa lagi selepas itu.
Masyarakat Cina yang lebih rasional menganjurkan sambutan tahun baru dengan mengundang penyanyi wanita berpakaian sopan. Tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa negeri. Maka isu itu pun lupus begitu sahaja yang menyebabkan MCA dan Gerakan terlopong lagi.
Untuk sambutan tahun baru kali ini, masyarakat Cina terus disantuni oleh YB PAS dan kerajaan negeri. Mereka turun bertemu masyarakat Cina dalam pelbagai program, semuanya memberi isyarat yang sangat jelas - masyarakat Cina akan terus mengundi Pakatan untuk PRU kali ini.
Seorang pemimpin Umno Kedah termenung panjang apabila diberitahu oleh pemimpin MCA bawahan, "Minta maaf Dato' tahun ini kami tak boleh beri undi untuk BN, itu arahan dari atas.."
Dalam sambutan tahun baru Cina yang diadakan di Seri Mentaloon, Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Cina Kedah menyambut baik pengumuman kerajaan negeri untuk memajak tanah pertanian kepada persatuan-persatuan sekolah Cina, India dan agama lain untuk dibangunkan bersama anak syarikat milik kerajaan.
Pengerusi Persatuan Lembaga-lembaga Pengurus Sekolah Cina Kedah berkata, usaha ini belum pernah dilakukan sebelum ini bagi membantu sekolah-sekolah tersebut.
“Saya menyambut baik pengumuman kerajaan negeri untuk beri tanah untuk diusahakan, yang mana sebelum ini tidak pernah dengar, dan saya harap ianya dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.
“Lebih 50 tahun masalah pendidikan masih mengganggu gugat masyarakat Tiong Hua," ujarnya.
Untuk memahami kehendak masyarakat Cina bukanlah susah sangat. Tiga perkara yang mereka pantang untuk diganggu gugat iaitu perniagaan, pendidikan dan kebudayaan. Orang Cina menyukai Ustaz Azizan yang berlatarbelakangkan pendidikan.
Masyarakat Cina melahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan tahunan yang diperuntukkan kepada tiga Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (Persendirian) iaitu Sekolah Menengah Sin Min Alor Setar dan Sungai Petani serta Sekolah Menengah Keat Hwa Alor Setar. Bagi tahun 2012, sebanyak RM70 ribu diperuntukkan kepada setiap sekolah, berbanding 2011 sebanyak RM60 ribu.
Orang Cina tahu negeri Kedah tidaklah sekaya mana tetapi berbesar hati dengan bantuan yang tidak besar itu.
Masyarakat Cina menyambut tahun baru kali ini tidak sampai sebulan sebelum Parlimen dibubarkan. Mereka tahu apa yang terbaik untuk mereka dan tahu juga parti mana yang lebih baik untuk menerajui kerajaan. Kesedaran tinggi masyarakat Cina inilah yang sangat menakutkan BN, kerana di Malaysia walaupun masyarakat Cina adalah minoriti tetapi undi mereka jadi penentu.
No comments:
Post a Comment