Written by Editor Warta
BERCEMPERA. Kelam kabut dan hilang arah. Umno Kedah, sudah terang lagi bersuluh Umpama 'anak ayam kehilangan ibu'.Ia bukan lagi mitos dan sudah menjadi pengetahuan umum. Bukan sekarang tetapi sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri lima tahun yang lalu.
Sekurang-kurangnya, BN telah berusaha menampakkkan 'kegelojohan' pemimpin tertentu untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Malangnya, tidak di Kedah. Sama ada tiada yang layak untuk menyaingi Ustaz Azizan dan pasukannya ataupun masing-masing berebut tempat sama untuk menjadi hero.
Tiga watak utama yang menjadikan Umno Kedah umpama retak menanti belah ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Dato' Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, bekas MB Kedah Dato' Seri Mahazdir Khalid dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Dato' Mukhriz Mahathir.
Yang lainnya semua sibuk menjaga kawasan sendiri. Sukar untuk bagi mereka menyatakan sokongan yang 'bulat' antara ketiganya apatah lagi tiada dasar termasuk gerak kerja untuk membela nasib rakyat Kedah kononnya menderita di bawah kerjaan pimpinan Dato' Seri Ustaz Azizan Razak.
Khabarnya, Mahazdir Khalid sedang bersiap-siap membungkus kain baju untuk ke Pusat. Kerusi yang ditewaskan sudah pasti tidak akan kembali kepadanya. Secara tradisi yang kalah, sudah pasti tidak diberi muka, jauh sekali untuk menjadi pemimpin negeri.
Mahazdir sudah tidak dapat menahan bahangnya lagi, selain isu skandal yang tidak pernah dijawab, bekas MB Kedah ini telah meninggalkan jasa penyelewengan BN kepada Pakatan Rakyat Kedah sehingga terpaksa melunaskan tuntutan atas 11 projek sakit BN sejumlah RM403 juta serta lebih 10 mercu tanda 'gajah putih' yang menyakitkan mata.
Awalnya Mahadzir dan Umno Kedah mendapat tamparan hebat, apabila Presiden Umno melantik Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Shafie Apdal dari Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang secara tidak langsung membukti tiada pemimpin Umno Kedah yang layak dan wujud perpecahan dalaman Umno kerana merebutkan jawatan.
Setelah sedikit reda jawatan itu diserahkan kepada Bashah yang merupakan Adun Bakar Bata dan dalam masa yang sama Ketua Pembangkang di Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah ialah Mahadzir. Pertembungan diantara keduanya tidak dapat dielakkan lagi.
Di beberapa sesi sidang Dun, kelihatan keduanya tidak mesra dan tidak bersama dalam membangkitkan sesuatu isu malah tumpuan lensa dan liputan media lebih tertumpu kepada Mahazdir meskipun Bashah, sudah mula bersedia mengukur langsir baru di Seri Mentaloon.
Laporan kajian oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) tahun lalu juga menambah cuka kepada Bashah apabila menunjukkan Mukhriz lebih popular sebagai bakal MB Kedah berbanding dua pemimpin BN lain iaitu Ketua Penerangan, Jamil Khir Baharom (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) dan Mahadzir.
Mukhriz merupakan ahli biasa Umno di bahagian Kubang Pasu bertanding di Parlimen Jerlun dan jalannya penuh liku untuk kedepan memandangkan ada 15 ketua bahagian di Kedah yang berhasrat menjadi MB jika BN menang.
Manakala Mahdzir pula didakwa memainkan peranan sehingga bapa Mukhriz, Dr Mahathir tewas dalam usahanya merebut salah satu kerusi perwakilan Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno suatu ketika dulu.
Hebahan tentang kajian itu oleh media dilihat sebagai usaha menyingkirkan saingan yang lain dan dalam masa yang sama untuk mempromosi anak bekas Perdana Menteri, yang latar belakangnya kurang disenangi khususnya bagi masyarakat setempat di Parlimen Jerlun.
Ini kerana rakyat Kedah hampir sama seperti orang Kelantan yang lebih mementing latar belakang agama dan mahukan pemimpin yang dekat dengan rakyat pada setiap ketika. Tambahan pula lagi dengan Keluarga Tun Mahathir terlibat dengan Syarikat Arak terbesar di Asia Tenggara dengan harga RM2.9 bilion, dipengerusikan oleh Mirzan Mahathir.
"Susah nak kempen. Mukhriz jenis elit. Sukar dekati orang kampung. Tambahan pula kena tempias, keluarganya terlibat dengan syarikat arak. Orang Kedah tak mahu orang macam ni jadi pemimpin," kata seorang aktivis Umno.
Sungguhpun imej Mukhriz tercalar, Bashah sukar untuk berceramah dan berkempen di kawasan Jerlun dan Kubang Pasu walaupun beliau seorang pemimpin negeri. Menurut sumber sudah ada rombongan yang bertemu dengan Perdana Menteri yang tidak mahu Bashah menjadi MB Kedah sekiranya BN menang dan juga usaha seorang pemimpin Umno Kedah bahagian Selatan bertemu Timbalan Perdana Menteri yang mencalonkkan dirinya sendiri.
Basha kelihatan tiada sokongan akar umbi dan rakan sendiri. Dalam beberapa siri ceramah yang rata-ratanya di kawasannya sendiri, beliau terpaksa mengimport penceramah luar sebagai tarikan antaranya Abdullah Saamah dari Kelantan Kamal Saidin yang dikatakan pegawai khas MB Terengganu dan Ummi Hafilda. Seperti dijangka, tidak mendapat sambutan.
Kamal dalam ceramahnya menikam Basha secara berdepan apabila secara tidak langsung membuka pekung di dada tentang perpecahan dalaman Umno Kedah.
"Saya tak larat nak cakap dah...sudahlah...jangan bergaduh dan sibuk nak berebut jawatan. Umno kalau nak menang, janganlah berpecah," katanya.
Sayap penting, Wanita Umno Kedah juga sudah patah dan tidak berfungsi lagi.Semaklah di dada akhbar atau media, tiada sebarang aktiviti atau program demi membela nasib kaum wanita di negeri ini. Ketua Wanitanya Dato' Maznah Abdul Hamid, terkenal sebagai 'Iron Lady' tidak mampu menggerakkan jentera. Bisanya hilang entah ke mana.
Umno Kedah sudah tidak mampu mengangkat muka. Semua sibuk dengan urusan mempertahan atau merebut jawatan. Rakyat, sekeliling tidak pernah dipedulikan. Untuk menjawab penyelewengan BN Kedah lalu, jauh sekali. Akibat malu yang amat, mereka kini terpaksa berpaut kepada NGO khususnya Perkasa bagi membantah segala usaha murni kerajaan Pakatan Rakyat.
Sekali Umno Kedah bangkitkan isu dan melempar tohmah,umpama ayam bertempiaran lari, tatkala disergah dengan jawapan tegas dan telus kerajaan Pakatan Rakyat Kedah. Mereka handal berkokok panjang namun ekor penuh 'saki baki'. [Warta Utara]
No comments:
Post a Comment