Showing posts with label A.Samad Said. Show all posts
Showing posts with label A.Samad Said. Show all posts

Tuesday, February 14, 2012

“Kuasa di tangan Melayu, mengapa kita kata orang Melayu dalam bahaya?”

Wawancara Roketkini bersama A. Samad Said

Bahagian Kedua (Terakhir)


Seniman muda dilihat lebih terjurus kepada menerbitkan karya mereka sendiri. Bagaimana Pak Samad melihat fenomena ini?

Kelompok muda ini saya fikir, memang ramai berusaha menerbitkan bukunya sendiri, dan kadang-kadang menerbitkan secara agak terdesak oleh kerana tuntutan masa. Ambil misalan antologi Puisi Jadi Senjata (kumpulan puisi dedikasi kepada Bersih 2.0), itu boleh dikatakan secara mendadak tumbuh daripada (Editor Suara Keadilan) Fazallah Pit.

Dia yang mengumpulkan anak-anak menulis puisi dan dia datang kepada saya, dia kata, “Pak, ini sesuai dengan iklim sekarang ini yang sedang berlaku.” Makanya, dia hendak saya tulis prakata, dan saya tulis itu jam juga. Antologi puisi itu memang laku bila ada acara-acara kecil-kecilan di sana sini. Tetapi secara menyeluruh, ia belum lagi diterima. Tetapi permulaan itu sesuatu yang amat bagus.

Dari segi demografi sosio budaya dan sosio politknya dalam dunia demokrasi, tidak dapat dinafikan yang muzik, filem, penulisan sastera, lukisan yang bergerak secara mandiri juga banyak membantu.

Saya fikir, demokrasi mempunyai jalan-jalannya sendiri. Ada jalan besar, ada jalan kecil, ada harus melalui denai, ada melalui sungai. Semua itu, asalkan cita-citanya ialah untuk menunjukkan keadaan sebenar yang berlaku yang tidak diterima lagi oleh orang dahulu dan harus dibantah dan itu saya fikir sebanyak-banyaknya ia harus bagus.

Ia boleh untuk menyeluruh, tidak harus sahaja penulis itu datangnya bila dia berkumpul di Kuala Lumpur. Dia boleh bermula di Johor baru, Perlis, di Pahang, di mana-mana. Semua bibit-bibit itu akan nantinya menunjukkan ke arah yang sama. bahawasanya keadaan sosial sekarang ini dan jentera siasah waktu ini dan cengkaman waktu ini yang tidak adil di waktu ini harus dibantah.

Sudah tentu sahaja bantahan itu secara kecil-kecilan tidak ternampak impaknya, tetapi akan tiba satu waktu di mana mereka ini akan bersatu berkumpul untuk menyatakan bantahan yang lebih berdasar.

Ruang-ruang yang telah dihasilkan oleh perubahan demokrasi. Kalau kita neutral dalam beberapa isu, kita digambar memihak kepada Pakatan Rakyat. Bersih, bukan memihak kepada Pakatan atau Barisan Nasional, tetapi bagaimana nak tonjolkan bahawa Bersih ini gerakan rakyat, bukan parti politik?

Kita tidak dapat menjernihkan pandangan sekelompok yang sudah berkuasa, UMNO, Barisan Nasional contohnya. Tentu sahaja apa yang sedang berlegar mengarah kepada menggigit kuasanya, dia akan memberikan penentangan, dia tidak menerima. Itu sebab kelompok-kelompok dalam dunia penulisan.

Sudah ada, anda tahu baru-baru ini kerajaan memberi RM5 juta kepada PENA (Persatuan Penulis Nasional) misalnya. Itu bererti sudah ada kesedaran bahawasanya persatuan penulis itu boleh menggegarkan. Tetapi oleh kerana kerajaan yang memberi duit kepada PENA, maka tentunya PENA merasakan terhutang budi, dan giginya tidak terjaga. Kadang-kadang sifat kita… Kerana orang memberi, kita menjadi tidak manis untuk menggigit tangan yang memberi.

Adakah ini sememangnya dilema kelompok masyarakat Malaysia?

Memang, ada dah lama. Saya tak runsing soal itu. Kadang-kadang ada seorang dua orang penulis yang berbakat yang bersikap yang berwibawa yang jujur boleh menggegarkan. Kita tidak perlu 500 orang penulis. Seorang pun boleh sebenarnya kalau suaranya itu suara hati nurani, suara yang jujur, suara yang bersih suara yang membina, tentu ada sanggahan tetapi itu tidak menjadi satu soal.

Bagaimana Pak Samad melihat campur tangan kerajaan dalam kes pemberian RM5 juta kepada PENA?

Bergantung kepada kebijaksanaan orang yang menerima wang itu. tentunya, ini andaian saya, kalau ada sesuatu tindakan bahasa, atau gerakan seni dan budaya, orang yang menerima tentunya berfikirlah atau pun dia jujur menyatakan atau dia diam sahaja. Itu bahayanya saya fikir.

Dalam ruang-ruang yang dianggap sebagai kelompok-kelompok yang memperjuangkan suara awam, seniman, karyawan dan sebagainya, perlu bertindak neutral. Tetapi ada masanya kita gigit, ada masa kita tak gigit. Bagaimana nak wujudkan suasana begitu?

Itu terpulang kepada pemimpin-pemimpin itu. Mesti ada sikap, ada pegangannya… Dan kalau pemimpin itu autokratik, memang dia boleh mendiamkan orang-orang yang di bawahnya yang menggunakan kuasa autokratik menyuarakan sikapnya, tapi yang membawa sikap organisasinya juga. Tapi setakat ini saya lihat ada satu dua insiden. Saya tangkap, PENA berhati-hati. Bila kita berhati-hati, bererti sebelah kaki kita sudah tidak sama.

Ini yang sedang dihadapilah. Tetapi akhirnya, bergantung kepada kekuatan individu itu sendiri. Sebuah institusi sebenarnya adalah pancaran individu itu sendiri, tetapi kadang-kadang seorang individu tidak perlu sertai institusi untuk mejadi diri sendiri. dia sendiri tetapi dia juga institusi. Orang seperti itu saya fikir memang sedikitlah, untuk dapat melakukan pengimbangan kuasa, apa lagi kuasa yang terlalu kasar.

***

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—

kita laungkan juga pesan merdeka:

Demokrasi sebenderang mentari

sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;

lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;

suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:

(di Boston dijirus teh ke laut biru):

Tak diperlu gempita sorak yang gebu,

diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;

kini merebaklah nyala unggun itu.

24-25 Jun 2011

***

Mungkin awalnya dengan ucapan terima kasih, tetapi diakhirnya, korup… Bagaimana jika begitu terjadi?

Memang sukar kita mendapat seorang watak luhur. Watak luhur ini kan dibangunkan oleh lingkungannya, oleh keluarganya, interaksinya dengan orang-orang tertentu?

Tampak beberapa contoh di mana orang yang tak tersangka misalannya masuk dalam politik tidak sampai dua tiga bulan dapat upahan yang bagus, terus saja melompat. Seperti yang sedang berlaku kekacauan sekarang antara (Datuk Dr) Hasan Ali (yang dipecat PAS) menubuhkan Jati, Ibrahim Ali dengan dia punya Perkasa.

Di tengah-tengah masyarakat Melayu itu terbelah. Apabila fikiran kita tidak diterima, kita keluar kita tubuhkan parti yang lebih kecil dan menyangka parti kecil itu akan mengatasi parti yang kita tinggalkan. Ini ada beberapa sudut yang boleh dipandang. Berguna kepada orang itu, tetapi tidak berguna atau pun bahaya kepada institusi yang ditinggalkannya.

Yang terbaru, Hasan Ali berkata kalau DAP naik, DAP akan bergabung dengan Singapura lah, nak jadi republiklah. Semua itu mainan agama, mainan kaum. Apabila orang main agama, main kaum, bererti jalan siasah itu memang sudah resah di sana sini.

Kuasa di tangan orang Melayu, mengapa kita perlu katakan orang Melayu itu dalam bahaya? Semua Perdana Menteri Melayu, Raja dan Sultan semua Melayu, Menteri Besar semua Melayu… Mengapa kita nak waraskan yang Melayu dalam bahaya?

Kecuali orang Melayu yang memerintah itu yang bobrok. Memungkinkan sesuatu mulai rosak di bawahnya. Tidak terjaga ekuiti Melayu dengan betul, tidak terjaga bahasa Melayu dengan betul, tidak memantapkan universiti, sekolah Melayu…Tapi lepas itu mereka kata, kita dalam bahaya. Dan tentunya musuh mereka (UMNO-BN) yang utama, DAP lah. Oleh kerana kebetulan sahaja DAP melalui sejarah dari PAP.

Tapi kan sudah 54 tahun (merdeka). Dan contoh baik dari pemimpin-pemimpin Singapura harus kita hormati, boleh dikata sedikit sangat yang rasuah. Itu jenis pemimpin yang kita mahu di sini. Contoh bagaimana sebuah pulau kecil yang tidak punya hasil bumi yang boleh diniagakan, boleh menjadi sebuah negara yang menjalankan perniagaan perkhidmatan yang sangat bagus.

Itu harus ditiru. Kita harus meniru, harus meneladani pemimpin-pemimpin di Singapura, bagaimana mereka menjalankan pemerintahannya, bagaimana mereka memperhimpunkan hartanya, bagaimana memperkembangkan interprenuarnya dan bagaimana suaranya.

Ambil contoh (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew. Beliau cuma bercakap tentang lunas-lunas yang penting sahaja. Tidak seperti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), semua perkara beliau nak cakap…Masih bergantung dengan Ibrahim Ali dan Perkasa. Malah tidak mustahil suatu hari nanti akan bergantung dengan Jati (NGO yang ditubuhkan oleh Hasan Ali).

Kita harus sebagai pemimpin yang diseganilah. Bukan Najib ada di situ, dia ada di situ, Najib cakap ini, dia pun cakap ini. You ganggu satu kemungkinan. Jadi itu pun dalam susunan hirarki siasah diperhatikan.

Pandangan Pak Samad sebagai pemerhati, penulis, malah mungkin boleh memberi sedikit kritikan mengenai DAP terutamanya Melayu yang menyertai DAP umpama semut hurung gula?

Saya fikir DAP sedang melakukan sesuatu. Itu yang betul, ertinya membuktikan bahawa parti itu bukan parti Cina, tetapi dengan mendapatkan beberapa watak Melayu yang boleh dipercayai, ini yang susah, yang boleh dipercaya untuk turut membantu membangunkan sebuah parti yang kebangsaan.

Ini adalah ujian awal. Dan ujian itu sangat bagus di waktu ini. Waktu inilah yang terbaik bagi DAP untuk menyerlahkan diri sebagai parti yang kebangsaan. DAP ini mempunyai pemimpin-pemimpin yang dipercayai. Pemimpin-pemimpin yang sejauh ini tidak rasuah, ini membangunkan sebuah masyarakat Malaysia.

Jadi harapan kita akan ada, watak-watak Melayu yang boleh berikan sumbangan yang jujur kepada DAP di samping DAP pun harus menilai watak-watak yang diterimanya itu. Sebab kalau tidak nanti, orang sediakan RM2 juta, lompat pula.

Tapi bagus, sudah ada keberanian orang Melayu sertai DAP adalah bagus. Dan dia harus belajarlah menerima hukum hakam dalam DAP itu. Jika tidak macam begitu, itu amat susah.

Kerajaan menyerang DAP, tapi penyerangan itu tidak bererti sebab DAP belum berkuasa. Dan oposisi belum pernah berkuasa, kecuali beberapa negeri yang dikuasai oposisi ekonominya munasabah, hutangnya sudah berkurangan dan pemimpin-pemimpinnya tidak rasuah.

Itu yang nak disuburkan. Malangnya semua media utama di tangan kerajaan, tapi tidak bererti media alternatif tidak ada gigi, biasanya media utama reaksi apa yang berlaku dalam media alternatif. sudah timbul dalam media alternatif, media utama akan balas, jadi memang ertinya media alternatif berkesan.

Terbaru, Pak Samad dilantik sebagai Pengerusi Bersama Bersih. Dan seandainya lapan tuntutan Bersih tidak dilaksanakan selepas PSC tamat bermesyuarat, bagaimana Bersih akan bereaksi?

Demonstrasi. Ya, Kita akan turun ke jalan raya berdemonstrasi. – Roketkini.com

Sunday, September 18, 2011

Pak Samad: Pemansuhan ISA 'kemenangan ghaib'


Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menganggap pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumum Datuk Seri Najib Razak sebagai suatu "kemenangan ghaib".

Beliau berkata, perdana menteri itu tentunya tidak akan mengakui hal berkenaan tetapi pastinya ada usaha yang menggerak dan mendesak ke arah itu.

"Selama 54 tahun tidak terfikir ISA harus dihakis, tiba-tiba sahaja dapat ilham dan (mereka) harus mengakui kelompok anak muda tidak tahan lagi (dengan ISA).

Beliau juga tidak terkejut berikutan keengganan kerajaan mengakui pemansuhan ISA itu disebabkan tekanan berterusan dari pelbagai pihak khususnya anak muda.

"Tidak pula diceritakan bahawasanya desakan itulah yang mendorongnya untuk berubah. Kalau tidak ada desakan, saya tidak fikir ia akan mansuh kerana ISA sangat mujarab untuk menekan," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran antologi sajak Puisi Jadi Senjata yang diterbitkan sehari sebelum himpunan BERSIH 2.0 sebagai tanda sokongan anak muda kepada sasterawan itu.

Perubahan regim

Sinonim dengan gelaran sasterawan rakyat, beliau berharap antalogi puisi itu turut disebar di pedalaman di semua negeri dan tidak hanya berlegar di kawasan kota.

Pada majlis pelancaran itu, beliau mengingatkan betapa perubahan regim hanya mampu dilakukan golongan anak muda.

"Saya sangat yakin hanya suara muda boleh merubah. Orang tua kebanyakannya sudah bersikap (mengambil pendirian), maksudnya mereka tidak mahu diganggu," katanya.

Mengulas lanjut, beliau yakin penerbitan antologi sususan penggiat seni, Fazallah Pit, membuktikan seni bukan hanya hiburan kerana di tangan anak muda, puisi menjadi senjata.

"Selama ini seni hanya dianggap hiburan tapi di tangan anak muda, puisi jadi senjata.

"Yang berjuang orang lain, yang menyambut kemerdekaan orang lain. Yang berjuang, yang berkuasa orang lain dan kuasa itu berlanjutan sampai 54 tahun.

"Sudah waktunya, setidak-tidaknya untuk satu term (penggal) kita berikan kelainan," katanya yang sering berkempen supaya ditumbangkan BN dalam pilihan raya akhir-akhir ini.

Sunday, August 7, 2011

Sudah tiba masa golongan muda melakukan “perubahan rejim” selepas 54 tahun negara ditadbir oleh BN

Samad (baju kuning) sewaktu perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur 9 Julai 2011.
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Datuk A. Samad Said, yang dilihat sebagai ‘ikon baru politik’ negara menegaskan, sudah tiba masa golongan muda melakukan “perubahan rejim” selepas 54 tahun negara ditadbir oleh Barisan Nasional (BN).

Sasterawan Negara ini menjadi perhatian di sebalik perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini.

Bercakap pada pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Samad, 76, berkata, perubahan tampuk pemerintahan negara boleh dilakukan golongan muda pada pilihan raya umum ke-13.

“Sudah tiba waktunya kita adakan ‘regime change’ (perubahan rejim), kita sudah memberi masa kepada orang yang memerintah sekarang ini 54 tahun,” katanya.

“Dan, kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih daripada itu.

“Banyak perkara boleh dilakukan anak muda antaranya ‘merubah’, maksudnya sudah tiba masa kita adakan ‘regime change’, ia mungkin terletak di tangan anak-anak muda,” katanya di hadapan kira-kira 60 orang termasuk mahasiswa.

Dalam ucapan perasmian di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor itu, Samad juga berkata, rakyat seharusnya bersikap matang dan tidak lagi memilih “golongan bangsawan” untuk memerintah negara.

Bagaimanapun kata seniman ini, persoalan itu harus ditanya kepada diri sendiri dan perubahan boleh dilakukan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Saya nak katakan sudah 54 tahun kita hanya diketuai oleh pemimpin dari kalangan bangsawan, Tun Abdul Rahman (Al-Haj), Tun Hussein (Onn) dan Tun Abdul Razak (Hussein) golongan bangsawan... (Tun Dr) Mahathir Mohamad selepas Tun juga bangsawan, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan sekaran juga sama (Datuk Seri Najib Razak), semua bangsawan, bila pemimpin daripada rakyat akan berada di situ?

“Kalau sudah 54 tahun, kita perlu bertanya adakah ia salah kita, anak-anak muda perlu melakukan perubahan sebab itu anak-anak muda perlu berani bertindak dan menggerakkan ‘regimr change’ ini,” katanya.

Kata Samad, beliau lebih gemar mendengar pandangan bersifat “membangkang” daripada “sokongan.”

“Saya gemar mendengar daripada mereka yang ‘oppose’, saya langsung tidak gemar mendengar mereka yang sokong.

“Sokong itu maksudnya sokong kerajaan,” katanya.

Bulan lalu beberapa hari selepas Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara, Samad berkata selagi “golongan bangsawan berada di atas, sampai bila-bila saya rasa mereka tidak akan dapat merasakan apa yang dirasai rakyat.”

Justeru beliau percaya akan ada sinar harapan untuk melihat perubahan itu pada pilihan raya umum ke-13.

Pada Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu di ibu negara, ribuan rakyat telah menyertai perhimpunan menuntut transformasi pilihan raya.

SMM terdiri daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (Pro M), Kumpulan Anak Muda Independen (Kami) dan Pergerakan Demokrasi Pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema).

Saturday, July 16, 2011

PAK SAMAD BOIKOT PROGRAM KERAJAAN

Sasterawan Negara Datuk A Samad Said berkata beliau "tidak akan melayan" sebarang jemputan rasmi kerajaan termasuk membaca puisi dalam majlis anjuran mereka.

NONE"Sebolehnya sekarang, saya tidak menerima jemputan daripada kerajaan," katanya ketika ditanya reaksi kawan-kawannya dalam kerajaan selepas menyertai perhimpunan BERSIH 2.0.

"Saya tidak fikir, (saya) dipulaukan. Tetapi kalau dijemput sementara ini, saya tidak akan layan. Kalau oposisi menang, saya layan."

A Samad (kiri) sebelum ini banyak dijemput dalam majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ditanya sama ada tindakan beliau sebagai 'mogok seni' kali kedua, sasterawan 76 tahun yang terkenal dengan novel Salina itu menjawab:

"Saya tidak tahulah tu. (Saya) tak tahu," katanya sambil ketawa sinis.

Selalunya kosong

Samad sebelum ini dilaporkan beberapa kali mengadakan 'mogok' secara bersendirian, antaranya mogok seni pada 1990 dan 'mogok sastera' pada 2000.

A Samad dilaporkan pertama kali mengadakan mogok beberapa tahun lalu apabila dikatakan menghadapi masalah kelancaran dalam pembayaran royalti tulisannya dengan DBP.

Beliau juga tidak dapat menjangkakan bagaimana reaksi rakannya yang berada dalam kerajaan, ekoran penyertannya bersama lebih 10,000 orang dalam perhimpunan Sabtu lalu.

NONEKetika ditemuramah Malaysiakini di Bangsar semalam, A Samad berkata, walaupun beliau mencari makan dengan membaca puisi, kali ini beliau akan memilih majlis yang "sesuai".

Beliau juga menegaskan tidak pernah mendapat sebarang projek dengan pihak kerajaan yang menyebabkan beliau terikat.

Bagaimanapun, ditanya sekiranya diberi, sosok kecil berjanggut panjang dan putih itu, berkata akan "bertanya hari nurani" terlebih dahulu.

"Hati nurani saya yang lebih banyak bercakap. Kalau tengok dalam bank saya, ada RM96 sahaja, itupun royalti yang baru masuk.

"Kalau tidak, kosong," kata lelaki berpenampilan sederhana dan sering merendah diri itu.

Rezeki di tangan Tuhan

Walaupun menghadapi kemungkinan digam oleh akhbar arus perdana, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad berkata, beliau kini selesa berkarya di Facebook walaupun ia tidak menjamin pulangan ekonomi.

gmp protest 310108 samad said"Itu (pendapatan) tidak mengapa, untuk satu dua tahun ini. Rezeki di tangan Tuhan, bukan di tangan-tangan orang itu," katanya.

Menurut Sasterawan Negara itu, beliau juga tidak akan menulis di mana-mana medium lain, termasuk di portal berita alternatif bagi mengelakkan daripada dilabel cenderung kepada mana-mana pihak.

"Saya tulis di Facebook. Itu ada (ruangan) mingguan-mingguan, saya tulislah. Nanti saya tulis di Malaysiakini, orang kata saya (menyokong) pembangkang juga," katanya sambil berseloroh.

"Sebab saya saya selalu melihat di dalam akhbar, bukan berita yang disiarkan, (sebaliknya) syarikat orang-orang tertentu yang mempunyai ruangan dalam akhbar.

"Akhbar itu ditentukan oleh itu sebenarnya."