Showing posts with label MstarOnline. Show all posts
Showing posts with label MstarOnline. Show all posts

Sunday, February 12, 2012

2012 : Tahun dunia berpilihanraya namun Malaysia juga yang unik sebab tarikh tak beritahu bila..??

2012 - TAHUN PILIHAN RAYA DUNIA

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiE4lTmzV3fHsDr3QTteTOMw5-wavsp0M4vPzOaWC73WDR_GuaMlT4HObL3cTZE-voL9yvGVAkMO7hzq3pvr38Bw8HP8U0WiLEvR1zjf78Y6TsYlInHH6WRALbbpxwwGXI2SXcugFxq7K_f/s1600/January+4th%252C+2012+-+World+Elections.JPG

DI MANA-MANA sahaja kini, orang bercakap tentang pilihan raya seolah-olah tidak sabar menanti tarikh pengumuman pembubaran parlimen.

Terbaru orang menyebarkan cerita kononnya menjelang pertengahan Februari parlimen akan dibubarnya bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum yang ke-13 berlangsung.

Penulis sendiri beberapa hari yang lalu telah menerima satu teks pesanan ringkas daripada salah seorang pemilik agensi perhubungan awam bertanya apakah ada asas untuk perdana menteri mengemukakan tarikh pembubaran parlimen kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada pertengahan bulan ini untuk membolehkan pilihan raya diadakan Mac depan.

Katanya, terdapat khabar angin mengenai perkara tersebut yang berligar di kalangan mereka. Jawapannya kita tidak tahu tetapi yang pasti ialah semua orang kalau boleh mahukan perdana menteri dengan segera memilih tarikh yang sesuai untuk kita semua keluar mengundi.

Pilih

Sebenarnya, orang ramai sudah bosan dengan politik dan mahukan penentuan siapakah yang berhak memacu kerajaan akan datang ditentukan dengan segera supaya kita semua dapat kembali meneruskan kehidupan normal kita.

Masalahnya cuma satu - di Malaysia tarikh pilihan raya terletak di tangan perdana menteri. Jadi tidak ada siapa pun yang tahu melainkan perdana menteri seorang bilakah tarikh pilihan yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

Sudah tentulah pula, tarikh yang menjadi pilihan perdana menteri kelak adalah tarikh yang kena pada masa dan ketikanya yang akan memberi kelebihan kepada parti yang diterajui olehnya mencapai kemenangan dan kejayaan besar.

Jika silap pilih tarikh dan masa, isu besar dan sensasi masih lagi berlegar-legar di padang ceramah pembangkang, ini hanya akan membawa malapetaka kepada parti yang memerintah.

Oleh yang demikian perdana menteri kena bijak memilih tarikh yang sesuai untuk memastikan kemenangan dan kelebihan berada di pihaknya.

Sebenarnya, sukalah penulis memaklumkan bahawa tahun ini bukanlah tahun pilihan raya bagi negara kita Malaysia sahaja. Ia adalah tahun pilihan raya bagi beberapa buah negara lain.

Bezanya, tidak seperti negara kita, negara-negara lain secara perlembagaannya telah pun menetapkan bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan.

Amerika Syarikat

Kita ambil contoh Amerika Syarikat. Mereka telah menetapkan pilihan raya presiden pada 6 November. Mereka juga telah menetapkan tarikh debat pilihan raya di antara calon-calon presiden dan naib presiden.

Keunikan sistem pemerintahan Amerika ialah mereka mengasingkan institusi presiden dengan dewan perwakilan dan senat. Oleh hal yang demikian, mereka akan mengadakan dua bentuk pilihan raya iaitu pilihan raya presiden dan pilihan raya dewan perwakilan serta senat.

Di peringkat negeri mereka juga mengadakan pilihan raya yang berbeza untuk jawatan gabenor dan naib gabenor. Jawatan ini di Amerika samalah seperti jawatan menteri besar atau ketua menteri di negara kita.

Cuma yang membezakannya ialah di Malaysia kita memilih parti dan parti yang menang akan menentukan siapakah calon perdana menteri atau menteri besar/ketua menteri sedangkan di Amerika pemilih melakukan pemilihan secara langsung untuk menentukan siapakah bakal menjadi presiden di peringkat nasional dan gabenor di peringkat negeri.

Dan tidak sepertimana negara kita (satu penggal lima tahun), presiden Amerika cuma berkhidmat untuk tempoh empat tahun sahaja atau maksimum lapan tahun iaitu selama dua penggal. Selepas itu, dia tidak lagi layak untuk menawarkan diri untuk jawatan presiden.

Perancis

Selain Amerika, sebuah lagi negara yang akan mengadakan pilihan raya presiden pada tahun ini ialah Perancis.

Negara ini juga telah menetapkan tarikh pilihan raya presidennya siang-siang lagi iaitu pada April nanti.

Penyandang jawatan presiden berkhidmat untuk tempoh lima tahun dan negara ini sepertimana kebanyakan negara Eropah mengamalkan satu sistem yang agak unik.

Keunikan itu ialah jika undi yang diperolehi oleh mana-mana calon tidak mencapai majoriti kukuh untuk menentukan pemenang yang jelas, pemilihan pusingan kedua akan diadakan.

Perancis telah menetapkan jika ini berlaku, pemilihan pusingan kedua akan dilakukan pada bulan Mei iaitu di antara dua calon yang mendapat undi terbanyak sahaja.

Selepas itu, rakyat negara tersebut akan mengundi dalam pilihan raya perwakilan (Parlimen) pada Jun.

Korea Selatan

Rakyat Korea Selatan sepertimana rakyat Amerika dan Perancis juga akan memilih presiden dan kerajaan baru tahun ini.

Tetapi parti-parti di Korea Selatan mempunyai satu tabiat suka menukar nama parti menjelang tahun pilihan raya. Ini telah berlaku baru-baru ini apabila parti yang memerintah Korea Selatan menukar nama mereka selepas seterus utama mereka berbuat demikian bulan lalu.

Parti konservatif yang memerintah Korea Selatan - Parti Kebangsaan Utama - telah mengumumkan pertukaran nama kepada Parti Saenuri atau Dunia Baru. Nama ini dipilih dari 10,000 cadangan yang dibuat menerusi Internet.

Antara nama lain yang dicadangkan tetapi tidak mendapat perhatian ialah "Parti Harapan Baru" dan "Parti Satu Rakyat".

"Kita berharap dengan penjenamaan semula parti ini, kita akan kembali memperolehi kepercayaan rakyat bagi membolehkan kita terus melakukan perubahan dan reformasi," kata pemimpin parti itu Park Geun-Hye, yang juga disebut-sebut sebagai bakal calon presiden dalam pilihan raya yang akan berlangsung Disember nanti.

Pilihan raya parlimen pula akan diadakan lebih awal iaitu pada April depan. Parti itu kini mempunyai 166 daripada 299 kerusi di parlimen termasuklah kerusi presiden.

Parti Kebangsaan Utama itu dipaksa untuk melakukan reformasi dan perubahan selepas calon mereka untuk jawatan datuk bandar Seoul tewas dalam pemilihan Oktober lalu.

Kini parti berhaluan kiri, Parti Demokratik Bersatu sedang mencuri populariti dengan memperolehi 39.7 peratus sokongan berbanding 29.1 peratus sahaja yang dinikmati oleh Parti Kebangsaan Utama itu.

Parti-parti politik di Korea Selatan mempunyai kecenderungan untuk menukar nama pada tahun pilihan raya sama ada dengan cara bercantum dengan parti lain atau berpisah dengan sekutu lama.

Malah Parti Demokratik Bersatu sendiri baru sahaja menukar namanya kepada nama sekarang sebulan yang lalu selepas mereka bergabung dengan parti yang mendapat sokongan kesatuan sekerja dan lain-lain parti kecil yang berhaluan kiri. Ini adalah pertukaran nama kali ketiga parti tersebut dalam tempoh lapan tahun.

Rusia

Rakyat Rusia juga akan keluar mengundi pada bulan Mac untuk menentukan presiden yang baru.

Sistem demokrasi Rusia yang lahir hasil daripada kematian regim Soviet komunis adalah mirip seperti Amerika.

Cuma sepertimana Perancis, Rusia juga mengamalkan sistem pilihan raya dua pusingan seandainya pada pusingan pertama tidak ada pemenang yang jelas.

Pilihan raya presiden Rusia akan berlangsung pada 4 Mac depan.

Sepertimana Amerika, undang-undang Rusia juga tidak membenarkan seorang presiden memegang jawatan melebihi dua penggal tetapi membenarkan seorang bekas presiden kembali bertanding dalam penggal berikutnya.

Presiden Rusia bertanggungjawab melantik perdana menteri yang merupakan penggerak jentera harian kerajaan pusat.

Presiden bagaimanapun berkuasa penuh ke atas urusan diplomatik dan juga ke atas urusan keselamatan negara.

Pilihan raya dewan perwakilan atau lebih dikenali sebagai Duma telah pun selesai hujung tahun lalu.

Iran

Iran juga akan mengadakan pilihan raya tahun ini tetapi hanya untuk perwakilan parlimen sahaja. Tarikh pilihan raya telah ditetapkan pada 2 Mac depan.

Sistem pemilihan di Iran agak unik. Mereka yang ingin bertanding haruslah terlebih dahulu mendaftarkan diri. Tempoh yang dibuka untuk pendaftaran ialah selama seminggu.

Selepas tarikh pendaftaran calon ditutup, sejumlah 5,395 calon telah mendaftar dan pencalonan mereka akan ditapis terlebih dahulu oleh satu badan yang akan menentukan sama ada mereka layak bertanding atau tidak.

Pilihan raya pada 2 Mac depan mempertaruhkan 290 kerusi parlimen.

Timor Leste

Sebuah lagi negara yang akan menyaksikan pilihan raya umum Mac ini ialah Timor Leste atau suatu ketika dahulu dikenali sebagai Timur-Timor.

Ini adalah pilihan raya umum yang kedua untuk Timor Leste.

Timor Leste telah pun mencapai usia 10 tahun sebagai sebuah negara yang merdeka. Ia dahulu adalah sebahagian daripada wilayah Indonesia sehinggalah 2002.

Indonesia menduduki wilayah itu pada tahun 1975 sebaik sahaja Portugis meninggalkan Timur-Timor selepas 400 tahun menjajahnya.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 10 orang calon telah pun menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut termasuklah ketua pembangkang, Francisco "Lu Olo" Guterres dan bekas panglima angkatan tentera Major Jeneral Taur Matar Ruak.

Para pemerhati politik bagaimanapun berkata, pilihan raya presiden itu akan tertumpu kepada tiga calon utama iaitu penyandang jawatan Ramos Horta, Lu Olo dan Ruak.

Sejak 2006, Timor Leste telah dilihat mencapai tahap kestabilan sebagai sebuah negara baru yang mana sebelum itu tunjuk perasaan, pergaduhan antara puak dan rusuhan menjadi ancaman harian.

Pilihan raya parlimen dan pilihan raya presiden yang pertama berlangsung pada 2007.

Pada tahun itu, Ramos-Horta yang merupakan pemegang anugerah Nobel 1996 untuk keamanan bertanding sebagai calon tanpa parti tetapi menerima sokongan daripada Parti Kongres pimpinan Perdana Menteri Xanana Gusmao.

Gusmao adalah bekas pemimpin gerila yang menentang kerajaan Indonesia untuk kemerdekaan Timor Leste. Ramos-Horta mengalahkan Lu Olo dalam pilihan raya presiden 2007.

Pilihan raya ini akan dijalankan dalam dua pusingan. Jika tidak ada calon yang memperolehi majoriti kukuh untuk diisytiharkan sebagai pemenang, pemilihan pusingan kedua akan dilakukan pada bulan April - hanya untuk dua calon paling banyak memperolehi undi dalam pusingan pertama.

Timor Leste mempunyai kira-kira 1.1 juta penduduk.

Aceh

Sebagai sebuah wilayah dengan status autonomi di Indonesia, Aceh juga akan mengadakan pilihan raya gabenor pada 9 April ini.

Yang uniknya, setiap calon gabenor Aceh perlu terlebih dahulu menjalani ujian membaca Al-Quran di hadalan khalayak ramai sebagai pra-syarat layak bertanding.

Dan baru-baru ini tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor telah pun menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh.

Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka telah lulus ujian membaca Al-Quran.

Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.

Hakim dalam ujian bacaan al-Quran adalah wakil dari Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran.

Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.

Kemahiran membaca al-Quran merupakan syarat wajib bagi calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon-calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Israel

Kemenangan besar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada minggu lalu sebagai pemimpin Parti Likud iaitu parti yang memerintah sekarang telah sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa pilihan raya umum negara tersebut akan dilangsungkan pada November tahun ini dan bukannya 2013 sepertimana yang dirancang.

Netanyahu, memperolehi 80 peratus undi berbanding lawan tunggalnya Moshe Feiglin.

Kemenangan besar itu memberi kekuatan kepada Netanyahu untuk mengemblingkan seluruh tenaga parti untuk menghadapi pilihan raya umum lebih awal.

Mesir

Pilihan raya dewan perwakilan bebas yang pertama di Mesir telah pun selesai Januari lalu dengan kemenangan besar buat kumpulan Ikhwan Muslimin yang sebelum ini merupakan satu gerakan bawah tanah sehinggalah ia mencapai status halal selepas kejatuhan Hosni Mubarak setahun yang lalu.

Kini rakyat Mesir sedang menunggu untuk mengundi dalam pilihan raya presiden pula yang dijadualkan Julai depan.[MstarOnline]

Wednesday, November 2, 2011

Seksualiti Merdeka: PAS Enggan Dikait Dengan Ambiga

KUALA LUMPUR: PAS tidak mahu penglibatan Pengerusi Gabungan PilihanRaya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga pada Program Seksualiti Merdeka 2011 dikaitkan dengan parti itu kerana penganjurannya jelas bertentangan dengan Islam.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, walaupun pembangkang dilihat sentiasa bekerjasama rapat dengan Ambiga dalam pembagai isu, namun kali ini mereka menegaskan tidak akan menyokong pendirian bekas Presiden Majlis Peguam tersebut.

"Itu adalah pendirian beliau, ia tak ada kena mengena dengan PAS, PKR atau DAP. Ia pendirian beliau sendiri.

"Bagi kami ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Kami tak akan bersama atau sokong Ambiga," katanya kepada mStar Online di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran Program Seksualiti Merdeka anjuran beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut mendapat sokongan Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Program berkenaan yang bermula hari ini sehingga 13 November depan dianjurkan bagi memperjuangkan kesaksamaan jantina termasuk untuk golongan homoseksual dan lesbian.

Difahamkan Ambiga akan merasmikan program yang berlangsung di Galeri Annex, Kuala Lumpur pada 9 November depan.

Sementara itu diminta mengulas sama ada PAS akan menganjurkan bantahan mengenai penganjurannya, Khalid berkata, parti itu memilih untuk tidak menggunakan kekerasan dalam mendidik golongan tersebut.

"Nak didik bukan dengan cara halang atau demonstrasi tapi beri penjelasan.

"Kita akan cuba mempengaruhi masyarakat supaya tidak memberi sambutan kepada program seperti itu...kita tak boleh atasi dengan kekerasan atau paksaan," katanya.

Thursday, August 25, 2011

Awat tetiba ja Pengerusi SPR nie tengok macam demam jaa..???

SPR Kaji Semula Penggunaan Dakwat Kekal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal pada hari pengundian bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini dilaksanakan dengan telus dan adil selepas dibatalkan penggunaannya pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu akan mengkaji dengan terperinci cadangan berkenaan sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem plihan raya sedia ada.

"Kita memang akan pertimbangkan semula penggunaan dakwat kekal secara serius. Kalaulah itu (dakwat kekal) yang paling baik dan selamat... kita boleh guna.

"Tapi pelbagai aspek perlu diambil perhatian sebelum kita benar-benar mahu melaksanakan penggunaannya bagi mengelakkan sebarang pertikaian dibuat," katanya pada sesi taklimat dan soal jawab bersama media mengenai sistem pilihan raya Malaysia dan tuntutan Bersih 2.0 di Wisma Bernama, di sini, Khamis.

Isu penggunakan dakwat kekal merupakan salah satu daripada lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Pada PRU-12, SPR mengumumkan untuk menggunakan dakwat kekal buat pertama kali pada hari pengundian bagi meningkatkan sehingga "ke tahap 100 peratus" keyakinan rakyat terhadap ketelusan suruhanjaya itu dalam melaksanakan proses demokrasi di negara ini.

Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan beberapa hari sebelum pengundian atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun Abdul Aziz berkata, pada masa yang sama SPR juga tidak menolak kemungkinan untuk turut menggunakan sistem biometrik seperti yang dicadangkan suruhanjaya itu baru-baru ini bagi mengelakkan pertikaian mengenai dakwaan wujudnya 'pengundi hantu'.

Menurut beliau, penggunakan sitem biometrik yang dilihat lebih terkini dan selamat boleh mengelakkan pertikaian kerana bacaan cap jari pada setiap individu adalah berbeza.

"Ada kemungkinan juga kita gunakan kedua-duanya sekali (dakwat kekal dan biometrik). Ini bagi membuktikan ketelusan SPR untuk memastikan sistem pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.

"Kalau terpaksa guna dua-dua kita akan pertimbangkan. Sekiranya ia terjadi, maka ia sudah pasti dapat puaskan hati semua pihak," katanya.

Namun beliau mengakui penggunaan kedua-dua kaedah berkenaan akan meningkatkan kos pengendalian pilihan raya.

Mengulas lanjut mengenai penggunaan dakwat kekal, Abdul Aziz berkata kajian yang menyeluruh perlu dibuat terutama dari segi perundangan.

Jelasnya, pihaknya perlu mendapatkan nasihat daripada pihak pejabat Peguam Negara sama ada penggunaan dakwat kekal perlu dijadikan undang-undang yang diwajibkan atau hanya sebagai pilihan kepada pengundi.

"Aspek perundangan perlu jelas sebab kita tak mahu nanti ada pengundi yang datang mengundi tapi tidak mahu jari atau kuku mereka dicalit atau dicelup dengan dakwat atas pelbagai alasan.

"Sebab itu kalau kita putuskan untuk menggunakan dakwat kekal, ia perlu dijadikan sebagai undang-undang," katanya.

Friday, August 19, 2011

Apahal nie JAIS.. Takan buat Operasi sampai PENGARAH sendiri pun tak tahu nie..??

Periksa Gereja: Pengarah JAIS Tak Tahu Wujud Operasi



Oleh ARIFFUDDIN ISHAK



PETALING JAYA: Kontroversi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan terhadap Gereja Methodis Damansara Utama (DUMC) terus berlarutan apabila kini timbul dakwaan Pengarahnya, Marzuki Hussin tidak tahu-menahu mengenai operasi itu.



Sumber dalaman JAIS menyatakan bahawa Marzuki tidak dimaklumkan mengenai operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguat kuasa JAIS dan polis pada malam 3 Ogos lalu.



"Pengarah tidak dimaklumkan tentang operasi itu. Sebab itu operasi malam itu dibuat tanpa persedian rapi," kata sumber berkenaan.



Justeru menurut sumber itu lagi timbul tanda tanya berhubung pihak yang mengeluarkan arahan atau memberi kelulusan agar operasi itu dilaksanakan.



Selain itu difahamkan juga jumlah 12 individu Islam yang dilaporkan menghadiri majlis makan malam anjuran komuniti gereja di DUMC itu tidak tepat berdasarkan fakta bahawa hanya sepuluh daripada mereka diwakili peguam dari firma guaman Tetuan Lee Hishammuddin.



"Dua lagi individu itu 'tidak formal', tapi kesemua 12 yang diperiksa itu memang hadir beri keterangan agar tidak menimbulkan syak," katanya lagi.



Sumber berkenaan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai apa yang dimaksudkan dengan 'tidak formal'.



Baru-baru ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mendakwa mempunyai bukti bahawa Umno mendalangi pemeriksaan JAIS terhadap DUMC.



Mustafa turut mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan JAIS yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja tersebut.



http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/8/18/mstar_berita/20110818162516&sec=mstar_berita

Sunday, June 19, 2011

Mahthir tak layan saranan Khairy Jamaluddin

Tun Mahathir Enggan Ulas Pandangan Khairy Supaya LID Dihentikan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhBlf50cRSvUm9mskJOkouTw4iWfwL7Q-82Pw7j0MoeX7IIMQWGFCdd56tPD2nPxbCwjv8P5dFYPEdA9LXHrCu_bJ3tLqY6l2qouDj7rT-5dCaeYyS_14l6QzantuNYtXZfIbBoeXprNxaJ/s1600/mahathir.jpghttp://samsulsaid.files.wordpress.com/2009/03/samsulsaid_pwtc250317.jpg?w=331&h=440
PUTRAJAYA: Pengasas Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terganggu dengan pandangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar supaya dialog itu dihentikan.

"Orang ramai mempunyai pandangan yang berbeza, mereka berhak mempunyai pendapat sendiri, setiap orang berhak memiliki pandangan sendiri," katanya kepada Bernama.

Bekas Perdana Menteri itu ditemui selepas berakhir majlis perasmian LID 2011 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad.

Khairy dalam kenyataan di Twitter berkata:"Robert Mugabe (Presiden Zimbabwe) tiba di Malaysia. Apa yang kita dapat dengan menjemput pemimpin macam dia? Dah lama dah... patut berhenti dialog cam ni."

Zami Ismail Meninggal Dunia Akibat Masalah Jantung

KUALA LUMPUR: Pelawak veteran, Zami Ismail, 67, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad akibat kegagalan jantung.

Anak ketiga Allahyraham yang juga pelakon dan pengarah Opie Zami, 37, berkata ayahnya sempat berpesan kepada semua anaknya agar berbuat baik sesama manusia.

"Keadaan dia (Allahyarham) berada dalam keadaan biasa saja dan pergi dengan tenang. Dia sempat berpesan kepada kami semua agar berbuat baik sesama manusia," katanya yang ditemui di perkarangan rumah mayat Institut Jantung Negara (IJN), di sini, Ahad.

Menantu sulung Allahyarham, Azizah Amdih, 35, berkata, Allahyarham yang dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dilaporkan tenat pada malam Sabtu dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan mesin perubatan.

"Doktor memberitahu jantungnya sangat lemah dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Kritikal (CCU) sehinggalah pada malam tadi (Sabtu) keadaanya menjadi semakin tenat. Bagaimanapun Allah lebih sayangkan dia," katanya kepda mStar Online ketika dihubungi di sini, Ahad.

Jenazah Allahyarham dibawa keluar dari rumah mayat Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk disemadikan di kampung halamannya di Tapah, Perak, petang Ahad. - Foto BERNAMA

Azizah berkata, pihaknya reda dengan pemergian Allahyarham dan berharap semua peminat dapat mendoakan kesejahteraannya.

Allahyarham yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Pai Tang Tu pada tahun 1980-an hingga 1990-an turut berlakon hampir 20 buah filem termasuklah dua filem yang belum ditayangkan lagi iaitu Husin Mon Dan Jin Pakai Toncit (arahan Mamat Khalid) dan Shh...Dia Datang (Saiful Apek).

Allahyarham juga pernah memenangi anugerah Pelakon Komedi Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) pada tahun 1991 menerusi filem Mak Som.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak dan dikebumikan selepas solat Asar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan orang anak iaitu Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Opie Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24 dan Zahid Albukhman, 21.

Friday, June 10, 2011

PEKIDA nie kumpulan gangster kaa.. yg nak saman David teoh nie..???



PEKIDA SAMAN TOKEY FILEM KONGSI ?

Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) berhasrat menyaman penerbit dan pengarah filem Kongsi dan KL Gangster kerana mendedahkan beberapa perkara sulit yang digunakan dalam pertubuhan tersebut melalui filem mereka.

Ketua Ahli Majlis Negeri Pekida Wilayah Persekutuan, Shikin Begum berkata antara dialog dalam kedua-dua filem berkenaan telah menggunakan kata kunci pertubuhan tersebut yang selama ini dianggap rahsia.

"Kami melihat filem Kongsi dan yang terbaru ini KL Gangster telah melampaui batas apabila menggunakan kata laluan dan kod rahsia Pekida.

"Mereka juga telah membuka banyak rahsia Pekida dengan menerbitkan filem bercorak gengster yang sebenarnya hanya memalu dan menjatuhkan martabat bangsa Melayu sendiri," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Shikin berkata, pihaknya kecewa kerana penerbit filem tersebut iaitu Skop Production dan Metrowealth yang tidak sensitif dengan perkara melibatkan pertubuhan tersebut.

Kedua-dua filem itu juga dilihat telah menjejaskan imej masyarakat Melayu apabila mengaitkan golongan Melayu dalam kumpulan gengster.

"Saya kecewa kerana kedua-dua pengarah iaitu Farid Kamil dan Syamsul Yusof tidak sensitif dengan perkara ini. Jika mereka mahu menghasilkan filem seumpama itu, mereka harus meminta nasihat kami terlebih dahulu.

"Mereka seperti mempermainkan perjuangan pertubuhan ini dan tidak menghormati kami sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Kami sedar ramai yang masih tidak tahu perjuangan Pekida namun mereka seharusnya ada rasa hormat," ujarnya kesal.

Tambahnya, dia memahami kedua-dua pengarah muda ini mempunyai perjuangan dalam memeriahkan industri filem tanah air, namun tidak seharusnya mengambil jalan dengan menjatuhkan imej pertubuhan tersebut.

"Kedua-dua filem itu bukan sahaja tidak menghormati kami, malah memberi pandangan buruk kepada masyarakat tentang perjuangan sebenar Pekida.

"Kami pada awalnya berdiam, namun kemunculan filem KL Gangster membuatkan kami seperti dicabar untuk bangkit mendapatkan penjelasan selain mengambil tindakan," jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada Pengerusi, Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM), Datuk Husin Shafie bagi mendapatkan penjelasan sebenar dan menuntut agar filem yang sedang ditayangkan itu ditarik balik serta merta selain dilakukan penapisan semula.

Pertemuan itu kata Shikin telah diaturkan di pejabat LPFM di Putrajaya, Jumaat (hari ini) pada pukul 4 petang. - mStar

Friday, June 3, 2011

UMNO nak ajak bergabung - PAS kata tak kelapaq aihh

Muktamar Tahunan PAS: Muktamad, PAS-Umno Tidak Akan Bergabung - Abdul Hadi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

GOMBAK: PAS sekali lagi menegaskan bahawa parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Umno khususnya berkaitan dengan penggabungan ataupun kerjasama politik.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaliknya berkata, parti itu tegas dan konsisten untuk terus bersama DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Untuk gabung dalam pilihan raya... tak ada. Tapi kalau nak bincang untuk cari persefahaman mewujudkan satu sistem pilihan raya yang adil, itu boleh," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Muktamar PAS ke-57 di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai polemik yang dibangkitkan Umno khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berterusan mengajak PAS keluar daripada Pakatan Rakyat yang disifatkan gagal memperjuangkan agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mempersoalkan keupayaan Umno untuk berhadapan dengan rakyat khususnya apabila terus membangkitkan isu kerajaan perpaduan terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 .

"Susah sangat ke Umno sekarang ini? Susah sampai nak memerlukan PAS (untuk kerjasama)?

"Kita akan terus dengan Pakatan Rakyat mengikut agenda yang kita atur dan seterusnya untuk berhadapan pilihan raya umum," ujarnya.

Friday, January 28, 2011

Pilihan Raya Kecil Merlimau 6 Mac, Penamaan Calon 26 Februari

24 Safar 1432H.
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

LABIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau telah ditetapkan pada 6 Mac sementara penamaan calon pada 26 Februari ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

"SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

"SPR telah bersetuju melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan," katanya.

Menurutnya, SPR juga telah bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang Pegawai Penguat Kuasa bagi setiap pasukan.

Bagi menjalankan pilihan raya kecil Merlimau, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi Rasmi.

"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan dengan 21 saluran mengundi.

"Seramai 248 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dengan anggaran belanjawan sebanyak RM830,000," katanya.

Abdul Aziz berkata, Daftar Pemilih Induk Pilihan (DPI) 2009 bagi pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Seramai 10, 679 pemilih berdaftatr yang terdiri daripada 10, 643 pemilih biasa dan 36 pengundi pos.

Daftar pemilih pilihan raya bagi pilihan kecil berkenaan akan mula dijual pada 11 Februari 2011.

"Semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengndi boleh dibuat melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas.

"Selain itu pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya dan pejabat pilihan raya negeri Melaka untuk membuat semakan tersebut, " katanya.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu. Mstar/-