Showing posts with label Mujahid Yusof Rawa. Show all posts
Showing posts with label Mujahid Yusof Rawa. Show all posts

Sunday, November 25, 2012

Ke mana PAS selepas muktamar?

Oleh Mujahid Yusof Rawa


Survival PAS

Soalan yang diajukan oleh para penganalisis sejurus selesai Muktamar ialah “ke mana Pas lepas Muktamar?’’ Bagi para analisis, soalan ini menuntut jawapan bagaimana Pas dapat meletakkan dirinya dalam lanskap politik pasca PRU ke 13 yang semakin hampir.


Petunjuk penting ialah bagaimana Pas dapat menguasai kerusi yang dipertandingkan kerana itu akan mengimbas sokongan orang ramai kepadanya dan sekaligus menentukan nasib dan potensi kewujudannya di persada politik tanahair.

Akar umbi PAS

Muktamar bagi pengamat politik adalah sumber penting bagi menilai arah tuju parti melalui ucapan para perwakilan yang membentuk satu mesej atau desakan mewakili hasrat akar umbi parti. Begitu juga dengan kepelbagaian pandangan dari perwakilan, ianya boleh ditafsir sebagai simpang siur pemikiran yang berlegar dalam parti membentuk dinamika sesebuah organisasi politik. Akar umbi penting bagi parti yang berasaskan ideologi seperti Pas kerana mereka adalah pendokong setia yang menggerakkan aktiviti parti. Pemimpin akan terus terdesak untuk memenuhi kehendak akarumbi bagi menggambarkan kesetiaan kepimpinan kepada dasar dan perjuangan parti. Dari aspek ini penganalisa boleh melihat hubungan pemimpin dan akar umbi yang diikat dengan ideologi parti yang begitu mendasar sifatnya. Dalam hal ini tidak diragui oleh sesiapa pun bahawa PAS masih mendahului dari sudut akar umbi yang setia pada kepimpinannya selagimana mereka masih setia dengan perjuangan Islam.


Konservatif dan reformis

Mana-mana parti politik akan terdedah kepada faktor tarik dan tolak antara menjadi kelompok konservatif atau reformis dalam parti. Antara kedua kelompok itu yang paling hangit akan menjadi Radikal dalam mempertahankan dasar dan pada suatu hujung pula akan menjadi Liberal dalam menafsirkan keperluan semasa parti. Pertembungan kelompok ini akan terserlah melalui hujahan perwakilan mempertahankan dasar-dasar parti dalam melaksanakan keperluan strateginya. Apa yang dianggap Liberal atau Radikal terpulang kepada bagaimana kepimpinan PAS menguruskan dan menentukan di atas garisan apakah para perwakilan perlu berada. Ia tidak akan berlaku tanpa penetapan tegas kepimpinan di manakah peringkat PAS pada tahap ini dari sudut keupayaan organisasinya dan kemampuannya untuk mencapai strategi politiknya.

Suasana politik negara

Tidak dapat dinafikan parti politik berusaha untuk mendapatkan kuasa dan untuk tujuan tersebut mereka terpaksa bersaing melalui proses demokrasi berpilihanraya. Di Malaysia persaingan merebut kuasa politik banyak bergantung kepada strategi berpakat dengan parti-parti lain yang di mana pola perkauman membentuk karakteristik penting politk negara. Pas tidak dapat lari dari keperluan strategi ini lantas pendekatan politik pakatannya terus menjadi perbahasan utama para perwakilan.Di sini juga perbahasan menarik mendedahkan kebimbangan perwakilan kepada kepimpinan parti antara memenuhi kehendak strategi Pakatan dan mengekalkan dasar parti. Perwakilan bimbang dalam keghairahan PAS bersama rakan-rakan strategiknya ia terpaksa tunduk kepada kehendak dasar Pakatan lalu mencairkan pegangannya selama ini khususnya tentang Hudud, Negara Islam dll. Muktamar baru-baru ini kelihatan jelas meluahkan kebimbangan ini dan selagi kefahaman tentang konsep kenegeraan dan perundangan tidak digarap dengan baik oleh kepimpinan PAS selagi itu polemik negara Islam dan Hudud akan berada pada menu hidangan para perwakilan semasa dan selepas muktamar.

Negara Islam dan hudud

Penafsiran kepada konsep Negara Islam dan Hudud terserlah dalam ungkapan perwakilan antara golongan tekstualist dan kontekstualist. Jurang ini nampak meluas dengan penafsiran tekstualist menguasai muktamar. Penafsiran tekstualist adalah fahaman literal kepada ayat-ayat Al Quran tanpa meraikan kondisi dan konteks, manakala fahaman kontekstual cuba memahami teks melalui kondisi semasa dan meraikan persoalan applikasi agar perintah Al-Quran tidak menjadi fitnah. Sebagai parti Islam, PAS tidak dapat lari dari menterjemahkan teks Al-Quran dalam bentuk manifesto politiknya untuk meyakini orang ramai. Dalam suasana inilah persoalan Hudud dan Negara Islam diberi sentuhan-sentuhan fahaman yang berbagai. Adalah penting untuk diberi perhatian kepada gaya berfikir ini kerana ia akan membentuk persepsi kepada para pengundi yang mempunyai berbagai kecenderungan sokongannya. Apa yang ironinya ialah, semangat strategik PAS dalam PR ialah berorientasikan kecenderungan kontekstualist manakala semangat akar umbi jelas cenderung kepada tekstualist dalam penafsiran ideologi Islamnya. Kedua-dua jurang ini menuntut kepimpinan PAS melangganinya secara tegas dan berhemah kerana jika tidak ia akan terus menimbulkan berbagai kekeliruan kepada para pengundi yang merupakan aset terpenting PAS menjelang PRU ke 13 nanti.

Keutamaan dipersoalkan

Kehangatan perbahasan dalam Muktamar turut mempertikaikan persoalan keutamaan yang perlu diberi fokus oleh parti. Persoalan keutamaan timbul dalam memahami suasana kompleks yang terpaksa dihadapi oleh PAS dalam mencapai strategi roadmap parti ke Putrajaya. PAS terpaksa berhadapan dengan faktor pengundi yang berbagai segmen dan kecenderungan. Mengadaptasi kecenderungan pengundi dengan tidak menggadaikan prinsip parti adalah isu yang menggarisbawah perbahasan dalam soal keutamaan parti. Contohnya, apakah soal negara Islam yang perlu ditonjolkan ataukah manifesto good governance yang ada dalam Buku Jingga yang perlu ditekankan. Contoh lagi, apakah perbezaan pandangan antara parti PR yang perlu dibahas ataukah menumpukan kepada kepincangan Umno dan BN? begitu juga dalam persoalan dasar PR, apakah menumpukan soal perjanjian bersama yang perlu diperkukohkan ataukah berbincang tentang Hudud dan perlaksanannya yang perlu diutamakan? Sebenarnya perbahasan isu keutamaan adalah mesej kebimbangan perwakilan PAS antara risiko hilang undi Melayu dan mengekalkan undi bukan Melayu.

Kepimpinan ulamak

Kepimpinan Ulamak dilihat sebagai peneraju utama kepada kejayaan yang dikecapi hari ini. Perwakilan turut menegaskan sokongan padu supaya gagasan itu berterusan. Seolah-olah ada pertikaian tentang kepimpinan ulamak, seluruh muktamar secara konsensus mempertahankan kesinambungan kepimpinan ulamak. Bagi para penganalisis gagasan kepimpinan ulamak menjadi sebahagian daripada kayu pengukur kepada potensi PAS untuk menjayakan misinya ke Putrajaya bersama rakan-rakannya. Sejak tahun 1982, kepimpinan ulamak adalah cetusan daripada proses transformasi PAS yang berusaha keluar dari krisis semasa kepimpinan Datok Asri Hj Muda dan nama kepimpinan ulamak adalah kerana wujudnya satu badan tertinggi parti yang dianggotai keahliannya oleh para ulamak yang dinamakan sebagai Majlis Syura Ulamak. Gagasan itu penting bagi membawa parti ke tahap baru dan memulihkan parti dari perpecahan akibat krisis yang melanda parti waktu itu. Ia bukan sahaja transformasi tetapi berlaku proses pembudayaan organisasi sehingga ia menjadi sebati dengan kejayaan yang ada hari ini. Kepimpinan ulamak sifatnya adalah organisasi dan kritikannya juga bersifat organisasi dan bukan sesuatu yang bersifat kedudukan. Salah faham berlaku ialah apabila kritikan kepada kepimpinan ulamak dianggap mempertikaikan keilmuan dan kedudukan seorang yang bergelar ulamak dan tanpa disedari wujud ruang antara yang bergelar ulamak dan yang tidak ulamak. Kritikan juga berlaku kepada aspek pengorganisasian yang kemudiannya disalahtafsir sebagai pertikaian kepada satu gagasan besar parti yang telah membawa kejayaan hari ini. Apa pun keputusan yang dilahirkan secara konsensus untuk mempertahankan keberlangsungan kepimpinan ulamak pasti akan memberi impak kepada tercapai atau tidaknya hasrat ke Putrajaya nanti.

Sampaikah hajat PAS?

Sebelum ini PAS cuma membawa slogan menawan beberapa negeri sahaja seperti Kelantan, Terenganu dan Kedah tetapi kini PAS seolah-olah bersedia untuk berada pada tahap penguasaan nasional. Ia tidak mungkin melahirkan hasrat itu tanpa kekuatan strategi pakatan politik yang dimetraikan dengan DAP dan PKR. Lagipun suasana dan mood rakyat untuk berubah adalah tinggi sekaligus membuka ruang kepada PAS berada dalam proses ini. Persoalan samada hajat PAS untuk ke Putrajaya akan tercapai atau tidak terpulang kepada aksi imbangan yang perlu dibuat oleh PAS antara tuntutan perwakilan yang mahukan ketegasan dasar-dasar Islam dilaksanakan dan keperluan strategi Pakatan yang lebih pragmatik dan akomodatif. Semua itu adalah rumusan kepada perbahasan di dalam dewan PUTIK tempoh hari. Walaupun artikel ini tidak menjawab secara tepat ke mana PAS selepas Muktamar tetapi sekurang-kurangnya artikel ini dapat membantu memahami persimpangan sukar yang sedang dilalui oleh PAS. Betapa sukarnya usaha PAS menjadi salah satu parti yang akan memerintah di peringkat nasional kelak, namun tidak mustahil bagi PAS mencapainya bersama kemunculan politik baru yang fajarnya sudahpun mula menyinari negara Malaysia.

Wednesday, August 29, 2012

Mujahid Yusof Rawa - Syawal dan hudud

Oleh Mujahid Yusof Rawa

Saya mengambil masa yang panjang untuk menulis sesuatu tentang perkara serius kerana tidak mahu tersasar dari intipati tajuk. Saya lebih selesa tajuk santai sambil menceritakan keadaan dan peristiwa. Tajuk serius memerlukan pentakrifan dan pengkategorian yang jitu dan mantap manakala bersantai gambarannya adalah longgar dan bersahaja.

Saya belum mencuba menulis dengan kombinasi kedua-dua cara serentak, pasti ia sesuatu yang menarik apabila pembaca mendapati dalam bersantai ada keseriusan dan dalam keseriusan ada santai.

Adakah harapan?

Saya mendapati ruang yang baik untuk saya menulis dengan cara santai dengan saya membicarakan persoalan hudud yang muncul di ambang Syawal.

Apakah mesejnya bahawa hudud muncul di ambang Syawal dan pada penghujung umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, Allah sahaja yang mengetahui, namun Syawal adalah bulan kemenangan, adakah ini membawa petanda bahawa isu hudud yang sekian lama dibahaskan di seluruh dunia Islam akan muncul di Malaysia dalam suasana penuh kemenangan, yakni orang ramai dapat menerimanya?

Inilah yang menjadi persoalannya, dapatkah orang ramai menerimanya?


Nasha

Nama Ustaz Nasha bukanlah baru, tokoh ini muncul semasa Ustaz Fadhil Mohd Nor menjadi Presiden PAS malah disebut-sebut sebagai bakal kepimpinan PAS yang hebat. Kemunculannya di pesada parti PAS sebagai Setiausaha Agung dilihat sebagai satu karier politik yang ada potensi kerana jawatan itu adalah merupakan keutamaan Presiden untuk mencadangkan nama penjawat yang sesuai.

Karier beliau terus meningkat dengan pencalonan sebagai Timbalan Presiden dan menang mengalahkan tokoh veteran PAS Ustaz Harun Taib. Dalam pemilihan baru-baru ini, Nasha kalah dengan ayam sabung PAS, Mohammad bin Sabu aka Mat Sabu. Kekalahan itu dilihat sebagai titik tolak hubungannya yang renggang dengan PAS.

Tapi apa yang lebih menarik ialah Nasha menggemparkan dunia politik dengan membuat kenyataan terbuka di TV supaya PAS keluar dari Pakatan, alasannya kerana DAP tidak menghormati hudud, ekoran kenyataan Karpal Singh yang mengatakan hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

Secara praktikalnya kepada PAS khususnya kenyataan Nasha itu tidaklah mengejutkan kerana Karpal Singh memang konsisten mengatakan demikian, apa yang mengejutkan saya ialah Nasha tidak pula menyeru Umno supaya melaksanakan hudud sebagai parti yang berkuasa tetapi menyanggah Karpal Singh yang sememangnya menolak hudud daripada awal lagi.

Bukankah ini sesuatu yang ironi? Apakah saya memahami Nasha membuat ulangan fakta yang dia sudah mengetahuinya sejak dulu? Bezanya kali ini ialah ia menyebutnya di TV arus perdana dengan sedikit nilai tambah iaitu “PAS harus keluar PR kerana DAP tolak hudud”.

Isu sebenarnya

Kita tidak dapat lari dari berfikir tentang masa kenyataan ini dibuat khusus semasa isu Perpaduan Melayu Islam menjadi mentera Umno yang terdesak untuk menggamit sokongan Melayu dan memecahbelahkan sokongan bukan Melayu yang menyokong Pakatan.

Kita juga tidak dapat lari dari membuat persoalan tentang motif isu hudud ini diaktifkan pada saat-saat ini. Hudud menjadi manipulasi isu dan bukan lagi persoalan sistem penguatkasaan kesalahan jenayah dalam Islam yang dibicarakan secara serius. Cara isu hudud ini dimanipulasikan untuk apa? Sokongan politik atau kejujuran untuk melaksanakannya? Mungkin Nasha boleh menjawabnya.

Hudud dan perlaksanannya

Saya sempat bergoogle untuk melihat pandangan-pandangan tentang persoalan hudud pasca Kebangkitan Revolusi Rakyat di negara-negara Arab. Saya ingin tahu apakah sikap parti Islam yang menang dalam perubahan iklim politik di benua sebelah sana kerana dari sudut geopolitiknya umat Islam adalah majoriti di sana, pasti persoalan hudud akan jadi perdebatan hangat.

Apa yang saya temui ialah jawapan yang menarik antara lainnya ialah jawapan Fahmi Huweidi penulis profilik Mesir tentang kontemporari Islam yang menyatakan persoalan perlaksanaan hudud perlu difahami dalam kerangka keutamaan demokrasi dan kebebasan.

Ghanochi tokoh parti An Nahdah yang muncul pemenang terbanyak kerusi Parlimen Tunisia menyatakan “menjamin kebebasan dan kematangan demokrasi adalah lebih utama buat masa ini dari perlaksanaan hudud”.

Seorang ulamak dunia Islam yang pandangannya banyak membentuk sikap Gerakan Islam dunia dan Ikhwan secara khusus menyatakan kemenangan puak Islam bukan untuk menghukum rakyat dengan hudud sebelum isu pengangguran dapat di atasi dan kehidupan yang baik kepada rakyat dapat dijamin.

Beliau adalah Syeikh Yusof Al Qaradhawi dan beliau menghujahkan bahawa Rasulallah s.a.w datang membawa kebahagaiaan hidup pada manusia dengan keadilan sebelum hudud dilaksanakan pada tahap penghujung kerasulannya. Pengajaran ini perlu diberi perhatian supaya hudud diletakkan pada tahapnya yang sepatutnya.

Lebih menarik kenyataan-kenyataan ini disimpulkan dengan penuh bijaksana dan hikmah oleh Datuk Seri Haji Hadi Awang, Presiden PAS bahawa hudud akan diteruskan melalui kaedah demokrasi. Kenyataan ini penting kerana ini bermakna demokrasi itu sendiri perlu diperkukohkan dan dimatangkan supaya hudud dilihat dalam kerangka yang memungkinkan perlaksanaannya berlaku dalam konsensus rakyat.

Presiden PAS menjadikan harapan pengeksploit hudud dan mangsanya seperti Nasha dalam keadaan kebingungan kerana jawapan itu mematikan “stim” semua pihak yang berkepentingan. Tahniah Datuk Seri Haji Hadi Awang!

PRU dah dekat

Saya menolak isu hudud menjadi bahan politik kerana ia isu serius yang perlu ditangani dalam kesedaran yang tinggi mengikut standard fiqah yang layak. Hudud bukan untuk dipertikaikan kerana ia sebahagian daripada penguatkuasaan jenayah Islam, yang menjadi perbalahan adalah bagaimana ia hendak dilaksanakan dan dalam suasana apa?

Jika soal boleh atau tidak diperdebatkan ia mestilah dalam rangka Fiqh Maslahah dan Fiqh Siyasah bukan kerana perkiraan sokongan politik untuk terus berkuasa atau meraih undi. Jika hudud adalah tentang mengundi ia hanya jadi bahan kempen tetapi jika ia adalah keperluan dan masalah manusia ia akan jadi sebahagian daripada pendidikan untuk membentuk kerajaan yang berkebajikan dan menjamin kehidupan rakyat yang selesa serta meletakkan keutamaan masyarakat yang demokratik dan bebas.

Hudud bukanlah satu isu yang berasingan tetapi ia sebahagian daripada gambaran menyeluruh sebuah ide tentang masyarakat madani yang membudayakan keterbukaan dan menjunjung prinsip moral dalam kepemerintahan. Langkah yang diambil sesetengah pihak dalam isu hudud seolah-olah mempermudahkannya sehingga ia terdedah pada keadaan manipulasi politik murahan.

Apakah ini tanda PRU akan menjelang tidak lama lagi? Sekali lagi mungkin Nasha boleh memberi jawapannya.

Thursday, June 7, 2012

Fenomena Hijau: Fitnah "anti-Islam" disanggah dengan lautan manusia

WARNA ALAM

Hijau adalah warna yang paling sesuai untuk semua kerana ia melambangkan kemesraan manusia dan alam sedangkan alam adalah lambang jiwa besar yang mampu menampung apa sahaja yang di dalamnya.  Apabila melihat lambang hijau ia memaparkan satu lambang tanggungjawab untuk memastikan alam ini terus menjadi tempat untuk didiami oleh semua.  Ingat hijau kita akan ingat impian kedamaian, keseimbangan dan ketenangan, ia adalah impian yang dikongsi oleh semua orang di alam ini.

EKSPRESI HIJAU

Di Alor Setar pada 1 Jun yang lalu Hijau menjadi tema di mana-mana namun ia bukanlah pertemuan menyelematkan alam ini dari dicemari dan dirosakkan, ia adalah pertemuan yang tidak kurang pentingnya dari menyelamatkan alam, ia adalah pertemuan menyelamatkan negara dari pencemaran warna Biru Pekat yang kini berasa tidak selamat lagi untuk meneruskan usaha pembiruan mereka ke atas sesetengah bahagian negara ini yang telahpun bertukar menjadi Hijau.
Sesiapa yang hadir dalam pertemuan Hijau di Alor Setar baru-baru ini tidak dapat menafikan bahawa Hijau bukan lagi satu kuasa yang boleh dipandang ringan, Hijau telah membuktikan juga bahawa ia berjaya mencapai matlamat 100 ribu yang disasarkan dan sekaligus ia mewakili sokongan padu rakyat kepada pejuangannya.

KEGILAAN HIJAU


Saya berada di Alor Setar satu hari lebih awal untuk meninjau bagaimana keadaan orang ramai yang hadir.  Saya membayangkan ia menjadi seperti aturcara tahunan biasa seperti Muktamar, namun mulai tengahari 1 Jun itu, suasana menjadi luarbiasa di mana bandar Alor Setar sesak dengan pengunjung dari seluruh negara.
Ada yang datang dengan bas rombongan, kereta, motor dan hampir semua kenderaan membawa bendera hijau dengan bangganya.  Bandar Alor Setar khususnya di sekitar stadium telah "ditawan" oleh gerombolan Hijau, satu "kegilaan" telah berlaku sejak tengahari tadi, semua berpakaian hijau membawa bendera hijau, memakai topi hijau dan bas dan kereta dihiasi dengan bendera hijau.

BERSIAP SEDIA
Paginya semua kepimpinan dari Dewan-Dewan dan Kawasan-Kawasan seluruh negara berhimpun di Kota Sarang Semut untuk mendengar ucapan dari Presiden parti dalam rangka menyiapkan para petugas dan jentera parti berhadapan dengan PRU 13.  Dewan Markaz PAS Kedah itu dipenuhi dengan para peserta yang bersemangat.  Lagu Negaraku berkemundang pada permulaan majlis disertai dengan lagu PAS "Bersatulah!" cukup untuk membangkitkan semangat siapa sahaja yang mendengarnya.
Lagu PAS sendiri meremangkan bulu roma orang yang menghayati senikata lagunya, khususnya pada penghujungnya mengingatkan semua petugas dan pendokongnya: "Selamatlah Parti Islam melangkah, membimbing umah ke medan siasah, berpedomankan Al Quran dan Sunnah, suburlah hidupnya dan pasti berbuah".  Buah yang hendak dipetiknya kali ini bukan calang-calang hasil, PAS mengidamkan mara ke Putrajaya untuk menyelamatkan negara ini dan membebaskannya dari terus dinodai angkara gerombolan Biru Pekat yang menjadi "penjajah" baru negara.

MESEJ

Malamnya, banjiran manusia di tempat duduk stadium Darul Aman dan di atas padangnya menunjukkan parti PAS tetap menjadi pilihan orang ramai walaupun ia difitnah dengan berbagai tohmahan oleh musuh tradisinya dari parti UMNO.  Antara yang menjadi mentera di mulut pemfitnahnya ialah tuduhan bahawa ia telah lari dari perjuangannya dan sanggup bersengkongkol dengan parti "anti Islam". Mentera itu guna untuk menjauhkan orang Melayu daripada menyokong PAS.
Gambar dari Facebook.
Namun pada perhimpunan malam itu, dakwaan dan dakyah itu telah berjaya disangkal oleh PAS dengan kehadiran begitu ramai orang Melayu khususnya yang seolah-olah mahu membalas hujah fitnah itu dengan tindakan mereka hadir beramai-ramai di Stadium Darul Aman malam tersebut.  Inilah yang menggerunkan musuhnya, seolah-olah taktik fitnah sebegitu sudah tidak boleh digunakan lagi kerana orang Melayu pun sudah mual dengan pembohongan UMNO ke atas PAS.  Perhimpunan malam itu bukan sekadar perhimpunan tetapi ia adalah "bahasa badan" PAS untuk mengatakan "mentera kamu sudah tidak terpakai lagi, carilah cara lain untuk berhadapan dengan kami".

PARTI NASIONAL


Patriotisma jelas terserlah pada malam itu, kibaran bendera hijau diselangseli dengan jalur gemilang di mana-mana.  Suasana malam itu adalah sesuatu yang menggalakkan pada PAS kerana ia telah meletakkan dirinya bukan sebagai parti lokal tetapi ia menjadi parti yang mencetuskan inspirasi nasional yang melihat kerangka Malaysia sebagai fokusnya dan bukan sekadar kerangka kedaerahan seperti hanya Kedah, Perlis atau Kelantan.

Bagi membuktikan kesungguhannya melahirkan patriotisma ini, PAS telah membariskan semua kelompok berpengaruh dalam masyarakat untuk berucap menyatakan pendirian sokongan kepada PAS.  Pernyataan ini penting kerana PAS mahu membawa mesej bahawa ia telah bersedia untuk memimpin negara ini.  PAS bukan parti eksklusif untuk kelompok tertentu sahaja atau PAS bukan lagi parti "menumpang" populariti orang lain, tetapi PAS kini parti nasional yang merangkul semua pihak berada di bawah payungnya.  Artis, sasterawan, bekas pegawai tinggi Polis dan bekas pegawai tinggi pentadbiran awam dan ramai lagi yang hadir adalah simbol penerimaan semua pihak kepada PAS.  Malam itu adalah malam PAS menasionalkan dirinya tanpa disedari dan ia sesuatu yang terbaik untuk PAS.

GENDANG DIPALU


Pengacara Mahfuz Omar malam itu menunjukkan PAS tidak akan mengalah dengan tohmahan musuhnya, Naib Presiden PAS itu memberi amaran bahawa himpunan hijau akan digerakkan ke seluruh negara dan rakyat akan dimobilisasikan untuk hadir bagi menunjukkan sokongan kepada PAS dan rakan-rakannya.  Timbalan Presiden PAS pula memberi amaran, "jangan 'paksa' rakyat turun ke jalanraya dengan mencemarkan demokrasi kerana jika pilihanraya yang tidak telus tidak dibaiki, rakyat terpaksa ke jalanraya!"  Timbalan Presiden itu yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu seolah-olah mahu mengisyaratkan kemungkinan BERSIH 4.0 tidak dapat dielakkan jika regim hari ini masih tiada keazaman politik untuk membaiki sistem pilihanraya negara ini.  Bahasa dan konotasi ucapan adalah umpama paluan gendang yang sudahpun dipalu pada malam hijau tersebut.

KEKUATAN HAKIKI
Tidak ada mana-mana parti politik setakat ini yang boleh menampakkan imej keislamannya lebih daripada PAS.  Walaupun UMNO berusaha sedaya upaya untuk bersaing dengan PAS namun sukar untuk orang menerima bahawa UMNO lebih Islamik dari PAS.  Malam itu dimulai dengan solat maghrib berjamaah dan munajat memohon Allah memberkati usaha PAS mara ke Putrajaya.  Munajat adalah sinonim dengan PAS dan itu lambang kejituan asas keyakinan PAS kepada janji Allah bahawa kemenangan akan tiba akhirnya, kita hanya dituntut bekerja untuk kemenangan.  Inilah uniknya PAS, mereka sesekali tidak pernah kecewa dengan usaha mereka kerana keyakinan mereka disandarkan kepada bantuan dari Allah yang dengan kehendakNya memberikan kemuliaan kepada siapa yang dikehendaki dan memberikan kekuasaan pada siapa yang Dia kehendaki.

Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS membawa mesej tersebut dalam ucapan mereka.  Mursyidul Am PAS pula membaca bait syair Arab yang padat dengan pautan dan sandaran kepada Allah di saat manusia sudah kecewa untuk meminta kepadaNya.  Bagi PAS, inilah kekuatan hakiki yang mengikat gerak kerja parti dan ahlinya mencapai cita-cita politiknya.

PENUTUP

Kita perlu ingat hijau juga adalah lambang kemarahan satu watak kartun marvel yang dipanggil "orang hijau" beliau adalah Hulk yang bertukar menjadi hijau apabila dia marah.  Kata-katanya yang menjadi tagline ialah "anda tidak akan suka saya jikalau saya marah".  Saya harap Ekspresi Hijau bukanlah satu kemarahan kerana UMNO pasti tidak akan suka kalau PAS marah, saya lebih suka menganggap ia lambang tanggungjawab PAS untuk memelihara keseimbangan dan kedamaian bumi tercinta ini.
Untuk mencapai cita-cita tersebut halangan besar mesti diatasi terlebih dahulu, bagi PAS dan majoriti yang hadir malam itu halangan besarnya ialah UMNO dan bahtera BN yang dah rosak teruk.  Selagi UMNO dan bahteranya terus menerus "mencemarkan" bumi Malaysia ini cita-cita kedamaian tidak akan tercapai.  Sememangnya himpunan hijau di Alor Setar baru-baru ini satu mesej untuk rakyat Malaysia dan pastinya UMNO memahaminya dengan baik.

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Saturday, March 31, 2012

Misteri PRU 13: Awal Jun atau tahun 2013?

Soalan ini hampir menjadi soalan bonus di mana sahaja saya pergi.  Bangun pagi berjogging di Dataran Sungai Kerian pasti akan ada pengunjung yang bertanya, pergi ke Pasar Pekan Parit Buntar penjual sayur dan ikan bertanya, di Pejabat Pusat Khidmat pelanggan yang datang akan bertanya dulu soalan ini sebelum mengadu masalah hinggalah di ruang solat surau di taman rumah saya, ahli jamaah pasti akan bertanya bilakah tarikh PRU ke-13?  Saya sendiri selaku ahli politik tidak tahu jawapannya apatah lagi rakyat umum dan inilah uniknya Malaysia dalam konteks demokrasi di mana tarikh PRU menjadi misteri hingga hari ini.

Sesuatu yang misteri memang diminati kerana misteri adalah teka-teki dan kekaburan yang menggoda seseorang untuk merungkaikan dan mencari jawapan.  Ini adalah taktik para pengeluar filem selama ini untuk meraih untung yang besar kerana lagi saspen (misteri) sesuatu jalan cerita lagi bermutu filem tersebut.  Tapi malangnya yang kita perkatakan ini bukan filem tetapi ketelusan sebuah demokrasi yang asasnya ialah mencipta satu padang permainan yang sama rata.  Salah satu cara untuk menunjukkan ianya satu permainan yang adil ialah ketetapan awal tarikh PRU dengan bermulanya penggal baru sesuatu pilihanraya.  Kalau misteri sesebuah filem dikagumi tetapi misteri tarikh PRU adalah sesuatu yang memualkan kerana ia mencacatkan demokrasi dari awalnya lagi.

Walaupun PRU di Malaysia lima tahun sekali namun secara praktiknya ia tidak semestinya berlaku demikian kerana genap tiga tahun sesuatu penggal sudah layak PRU seterusnya diadakan, jadi genap tiga tahun hingga lima tahun, rakyat Malaysia pasti akan bercakap tentang tarikh PRU yang penuh dengan misteri itu.
Sehubungan dengan tarikh PRU ini teringat saya semasa di Palembang baru-baru ini, saya bertemu dengan salah seorang ahli Parlimen dari Republik Chad (salah satu negara di benua Afrika) yang begitu mengkagumi Malaysia dan kemajuannya.  Saya sudah tentu berbangga sebagai perwakilan Parlimen Malaysia dalam sidang Kesatuan Parlimen Negara OIC.  Lalu dia bertanya tentang proses PRU dan tarikh pilihanraya.  Saya secara jujur mengatakan tarikh tidak dimaklumkan awal, ia hanya ada dalam benak PM yang memerintah hari itu, lalu rakan Ahli Parlimen saya ini menjadi terkejut kerana menyangka Malaysia juga turut maju dalam konteks tarikh pilihanraya dimaklumkan lebih awal seperti negara maju yang lain.  Paling memalukan saya ialah apabila dia menyatakan mereka di Republik Chad mengamalkan makluman awal tarikh PRU akan datang sejurus bermulanya penggal baru Parlimen!

Kita perlu meningkat seiring dengan kemajuan yang dikecapi khusus dalam proses mempertingkatkan ruang demokrasi dan ketelusan, antaranya ialah pengumuman awal tarikh PRU supaya tidak berlaku permainan yang berat sebelah dalam persediaan PRU.  Perlu dijelaskan di sini isunya bukanlah sangat ketetapan tarikh PRU kerana SPR akan melakukan pengisytiharan tersebut selepas Parlimen dibubarkan tetapi persoalannya ialah pembubaran Parlimen, bilakah Parlimen akan dibubarkan.  Pembubaran adalah jawapan kepada misteri ini kerana sejurus dibubar akta pilihanraya menetapkan bahawa tarikh melakukan PRU ialah 60 hari dan dengan melihat trend berkempen tujuh hari, kita dapat menjangka tarikh PRU.  Jadi persoalannya ialah bilakah Parlimen akan dibubarkan?

Satu lagi faktor yang mempengaruhi ketentuan tarikh PRU ialah keadaan ekonomi yang dilihat sebagai indikator penting bagi BN kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan orang ramai yang akan mengaitkan kegagalan parti pemerintah mengurus negara.  Dalam hal ini rakyat akan diberikan gambaran seolah-olah keadaan ekonomi negara terkawal dengan baik walaupun keadaannya membuktikan sebaliknya, ini yang selalu disebut sebagai "the feel good factor".

Berpandukan kepada trend yang lampau, semua gula-gula yang disampaikan diharapkan dapat memberi imej yang baik kepada kerajaan, contohnya ialah BR1M dan bantuan yuran sekolah serta kenaikan 13%-7% pelarasan gaji kakitangan awam yang penuh kontroversi itu.  Kerajaan juga harus membuktikan komitmennya untuk menangani salahguna dana awam dengan tegas dan ini dibuat melalui pendakwaan ke atas Pengarah syarikat NFC yang didakwa atas pecah amanah peruntukan RM250 juta untuk projek Fidlot Nasional.  Berdasarkan kepada perkembangan ini, bagi menunjukkan BN bersih, maka pembubaran Parlimen dijangkakan akan berlaku pada penghujung April lalu membuka jalan untuk pencalonan pada 27 Mei dan pengundian pada 3 Jun.

Satu lagi faktor ialah kadar serangan yang dibuat ke atas pembangkang, semakin dekat PRU semakin kuat serangan dibuat ke atas pembangkang dan kepimpinannya.  Isu Anwar Ibrahim walaupun telah melepasi dugaan-dugaan kes liwat 1 dan 2, kini mereka menyerang Ketua Pembangkang itu dengan tuduhan bi-seksual dan saya yakin ia akan menjadi trumpet yang akan ditiup semasa kempen nanti.  Begitu juga dakwaan pro-Israel dan Liberal dalam pegangan agama akan menjadi peluru-peluru terhadap Pakatan Rakyat.  Mereka lakukan demikian untuk meraih simpati undi Melayu dan Najib akan berpuas hati apabila sokongan undi Melayu meningkat dan ketika itu mengisytiharkan pembubaran Parlimen.  Untuk menyerang PAS, mereka sudah mempunyai ayam tambatan iaitu JATI melalui Hasan Ali (gambar kiri) yang akan terus mendedahkan penyelewengan PAS.  DAP akan senantiasa dilabel sebagai anti Melayu dan Islam khususnya di Pulau Pinang.  Isu-isu teknikal dan pengurusan pentadbiran akan dikaitkan dengan dasar anti Melayu dan Islam oleh UMNO Penang dan terus mengelirukan orang Melayu tentang peranan PAS dan PKR.  Melihat kepada kadar intensiti serangannya kali ini, PRU pada awal Jun tidak dapat dielakkan lagi kenyataannya.

Walaupun tidak semua faktor dapat dikawal, namun BN mempunyai "tilam empuk" untuk menerima suasana-suasana yang tidak berpihak kepadanya, antaranya ialah manipulasi media, manipulasi bajet dan manipulasi alat demokrasi berpilihan raya sendiri iaitu SPR.  Tilam empuk ini tidak lagi semudah yang dijangka kerana media alternatif dari media sosial kini bercambah, rakyat lebih bijak dan desakan masyarakat sivil berserta parti politik yang prihatin mendesak proses demokrasi berpilihan raya dipantau, diolah dan dibaikpulih.  Segala perkembangan ini menjadikan keberlangsungan BN dalam persada politik tanahair menjadi semakin sukar.  Ia juga petunjuk kepada lahirnya lanskap baru dengan pemain baru yang diharapkan menjadi pemangkin ke arah transformasi negara yang lebih tulen.

Kini semua petunjuk kepada PRU menjurus kepada awal Jun, ini memandangkan jika tidak dilakukan pada awal Jun yang juga merupakan cuti pertengahan tahun sekolah, ia terpaksa dilakukan pada awal tahun hadapan iaitu tempoh maksima tamat penggal parlimen.  Selepas Jun, sidang Parlimen bermula Julai dan selepas Julai umat Islam akan berpuasa dan September umat Islam akan menunaikan Haji.  Ada kemungkinan ia akan diadakan pada November, namun, jangka itu telah memasuki pembentangan bajet yang akan dibentangkan pada Oktober.  Jadi jikalau kita mengandaikan PRU akan berlaku tahun ini, ia mesti dilakukan pada Jun, jika tidak, hanya Najib yang tahu kunci kepada misteri ini.

*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kanan) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.

Monday, August 15, 2011

Di sebalik fatwa larang baca Al Quran

Oleh Mujahid Yusof Rawa

Pulau Pinang memang mendapat perhatian yang cukup meluas sejak 2008 tapi malangnya tumpuan media ke Pulau Pinang lebih berniat malafide dan kadang-kadang berbaur fithan dan pembohongan. Paling menarik isu Pulau Pinang ialah berligar di sekitar isu Melayu dan Islam di Pulau Pinang dengan mesej perkauman yang rumusannya ialah tentang penindasan kerajaan Dap ke atas orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

Terkini ialah isu larangan membaca Al Quran dengan menggunakann pembesar suara dari corong mesjid dan surau. Sememangnya telah diduga keputusan dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang tentang isu ini akan mengundang kontraversial dan pastinya menjadi bola tanggung bagi Umno dan sekutunya untuk membidas dan melibas kerajaan negeri mengikut tema serangan media

yang sudah ditetapkan oleh sutradara-sutradara di Putrajaya.



Tidak sukar untuk mengenali modus operandi media perdana yang bertaraf longkang di Malaysia ini kerana gaya pemikiran mereka mendatar dan mudah dibaca, apatah lagi latarbelakang perundangan yang mencengkam pengamal media perdana hari ini menyebabkan media di Malaysi tidak berada pada tahap kebebsan yang sepatutnya.



Apapun isu ‘larangan membaca Al Quran dari corong pembesar suara mesjid dari pejabat Mufti Pulau Pinang sekali lagi akan menjadi mangsa media yang bagai harimau lapar menanti sahaja peluang yang ada untuk menyerang mangsanya.



Saya memulakan penulisan ini dengan menyentuh pihak media kerana merekalah yang bertanggungjawab untuk mengkaburkan keadaan dan mengeksploitasikan keadaan untuk melaksanakan agenda menyerang kerajaan negeri Pulau Pinang. Saya kesal kerana isu pokok

pandangan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam kes ini telah dikaburkan manakala tambahan ‘rempah ratus’ menyedapkan golongan pemfitnah terus digembar-gemburkan sehingga asal permasalahan diabaikan. Ini sesuatu yang tidak adil kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri yang dipesongkan niat asal keputusan itu dibuat.



Saya melihat isu ini dalm perspektif yang objektif kerana asas keputusan itu dibuat jauh dari sebarang kepentingan politik atau campurtangan politik. Kedua, keputusan itu dibuat mengikut kerangka dan proses kerja Jabatan Mufti dan bukan dalam kerangka Exco Agama Pulau Pinang dan jauh sekali Pejabat Ketua Menteri.



Dari awal lagi asas keputusan dibuat tiada unsur kepentingan pentadbiran kerajaan negeri. Jabatan Mufti bertindak di atas kes aduan yang dibuat dan Jawatankuasa Fatwa akan berbincang dengan bantuan unit penyelidikan di Jabatan Mufti dengan merujuk kepada kes yang diadukan.

Dalam hal ini kes yang diadukan ialah hukum penggunaan pembesar suara yang memperdengarkan ayat-ayat Al Quran dari corong mesjid dan surau. Aduan ini juga beralasankan bahawa perbuatan itu ‘mengganggu’ suasana sekeliling. Jawatankuasa Fatwa bersidang bagi menjawab persoalan ini. Dorongan keputusan di sini jelas datang dari proses biasa apabila sesuatu kes diadukan untuk mendapatkan hukum Islam dalam hal ini.



Kerakusan media ‘membelasah’ pandangan ini melalui kenyataan-kenyataan yang provokatif telah memburukkan institusi pembuat keputusan dalam Islam dan kedudukan Mufti sendiri sebagai Penasihat Raja-Raja Melayu. Apakah kerana kenyataan keputusan ini datang dari Pejabat Mufti Pulau Pinang maka ia tidak perlu dihormati? Apa bezanya institusi Mufti Pulau Pinang dengan yang lain?



Mengapa Perlis yang sudahpun membuat keputusan larangan ini tidak kecoh dan heboh? Mengapakah Perlis tidak dilabel sebagai negeri yang mahu ‘meminggirkan Islam’ dengan larangan ini, sedangkan Pulau Pinang dicop demikian. Apa beza larangan yang dibuat oleh Pejabat Mufti Perlis dengan yang di Pulau Pinang?



Adapun beberapa pihak yang mendakwa bahawa YDP Agung tidak dirujuk, mereka jahil tentang proses sesuatu keputusan dibuat. Apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang hanyalah pendapat tentang hukum kes yang dirujukkan, ia belum menjadi fatwa selagi tidak dipersembahkan kepada Agung dan selalunya Agung akan menghormati keputusan Mufti yang lebih arif tentang hukum hakam Islam.



Jawatankuasa Fatwa yang meneliti kes yang dirujuk tidak perlu berbincang dengan YDP Agung, hanya setelah hendak diwartakan barulah perlu mendapat perkenan Agung. Sehingga kini status keputusan hanyalah di peringkat Jawatankuasa dan tidak boleh dikuatkuasakan walaupun tanggungjawab pihak yang terlibat ialah mengormati keputusan.



Merujuk kepada soalan mengapa Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan, ia adalah satu lagi kejahilan pihak tertentu tentang proses dan hubungan dengan Fatwa Kebangsaan. Sama kesnya dengan Isu “Pengharaman Poco-Poco” Fatwa Kebangsaan tidak dimaklumkan awal tentang keputusan itu, hanya setelah dibincangkan Fatwa Kebangsaan menolak tetapi menghormati keputusan Mufti Perak.



Maknanya penerimaan atau penolakan Majlis Fatwa Kebangsaan terpulang kepada Muzakarah yang dibuat dan jika ditolak ia hanya di peringkat kebangsaan sahaja dan Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan negeri masing-masing. Mengapa peraturan ini tidak dipakai untuk kes keputusan Mufti Pulau Pinang?



Saya belum sempat lagi menulis tentang dalil keputusan larangan yang bagi saya cukup syar’ie dan ada dalil yang kukoh dan perlu dihormati. Janganlah kita kerana tenggelam dengan garis politik sempit dan dendam sanggup membutakan mata kita dengan perkiraan syari’e yang menjadi asas kepada setiap perkara dalam tindak tanduk kita. Malangnya orang Melayu sendiri yang memperbodohkan diri mereka dalam isu ini sehingga tersingkaplah wajah mereka sebenarnya yang kononya menjadi pembela Islam tetapi untuk Pulau Pinang mereka membelasah institusi Islam semahu-mahunya! Saya amat menyokong pandangan Mufti dan syabas kerana berani berkata benar walaupun pahit.



Mujahid Yusof Rawa

MP Parit Buntar

Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional

Monday, July 18, 2011

Hiburan: Umno bersandiwara di sebalik isu moral

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Umno dan kerajaan BN jelas kelihatan amat tidak ikhlas dalam mengawal persoalan hiburan di kalangan rakyat, sebaliknya hanya bersandiwara dalam menjaga persoalan moral dan agama dalam sistem pentadbirannya.

Perkara itu jelas terbukti apabila diteliti sikap para pemimpin Umno dan BN terhadap langkah baik yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mengenai larangan berhibur pada bulan Ramadhan, tetapi ditentang oleh mereka dari segala sudut.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, lebih ketara lagi, di sebalik tentangan mereka terhadap langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu, mereka tidak pula membantah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh berhibur sehingga jam 3.00 pagi.

Menurut beliau, pada hal tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu, selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Kedah ketika berada di bawah kepimpinan BN dahulu, yang telah pun membuat peraturan itu pada bulan Ramadhan.

Katanya, bezanya, kerajaan BN Kedah dahulu hanya sekadar meluluskan peraturan itu sahaja, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan, manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam erti kata sebenarnya demi kepentingan agama dan seluruh rakyat negeri itu.

"Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mahu melaksanakannya, para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan tiba-tiba bangkit menentangnya, seolah-oleh peraturan itu adalah sesuatu yang asing kepada mereka, pada hal ia telah diluluskan oleh kerajaan Kedah semasa berada di bawah BN dahulu.

"Jika mereka ikhlas, kenapa mereka tidak menentang ketika kerajaan BN Kedah meluluskan peraturan itu dahulu, tetapi hanya menentang apabila Kerajaan Pakatan Kedah yang mahu melaksanakannya?

"Ini jelas memperlihatkan sikap double standard di kalangan para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan dalam perkara ini yang pasti dapat dilihat dengan jelas oleh setiap pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amat menyedihkan, menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu sememangnya amat baik bagi orang ramai terutama di kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan.

Katanya, namun disebabkan kepentingan politik, para pemimpin Umno dan BN sanggup menentangnya, walaupun ia pasti akan mendatangkan kesan amat buruk kepada masyarakat.

Lebih dikesali oleh beliau, ketika Kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk mendidik rakyat agar menjadi lebih berakhlak, bermoral dan mematuhi ajaran agama, kerajaan BN Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Ali Rustam telah mengambil langkah lebih tidak bertanggungjawab.

"Ini amat jelas kelihatan apabila kerajaan Melaka telah melanjutkan pembukaan pusat hiburan di Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.

"Tetapi tindakan kerajaan Melaka itu tidak pula ditentang oleh para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan yang begitu bersungguh-sungguh menentang langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu.

"Jadi amat jelas, mereka sebenarnya hanya bersandiwara dengan rakyat. Mereka sebenarnya bertindak sedemikian bukanlah untuk kepentingan moral rakyat, tetapi hanyalah untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja," ujarnya.

Dalam dalam hubungan ini, beliau memuji langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kerana mengambil pendekatan tepat setelah mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP yang menentang larangan hiburan pada bulan Ramadhan.

"Tindakan DAP itu sebenarnya berpunca dari ketiadaan kefahaman para pemimpin DAP mengenai perkara itu. Setelah diadakan perbincangan, pemimpin DAP dan pengusaha-pengusaha pusat hiburan di Kedah sendiri akhirnya bersetuju untuk melaksanakan larangan itu di kalangan umat Islam.

"Setelah diberikan kefahaman, orang-orang bukan Islam sendiri turut memberikan komitmen untuk menguatkuasakan larangan itu. Ini kerana larangan memasuki pusat-pusat hiburan pada bulan Ramadhan itu sendiri bukanlah untuk orang bukan Islam, tetapi hanya untuk orang Islam.

"PAS sebenarnya tidak menyekat orang bukan Islam berhibur, tetapi PAS menyekat orang Islam dari berhibur sehingga keterlaluan, lebih -lebih lagi pada bulan puasa dan ini tentunya berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam sendiri dalam menyambut Ramadhan," katanya.

Dari kejadian itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar secara jelas menegaskan perbezaan Pakatan Rakyat dan BN, apabila para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata lebih bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjaga isu moral.

"Ini jelas terbukti apabila para pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa mengambil sikap berterus terang, berbanding para pemimpin Umno dan BN yang sering bermuka-muka dengan rakyat untuk menjaga kepentingan politik masing-masing," tegas beliau.

Wednesday, July 13, 2011

Bersih tetap aman

Oleh Mujahid Yusof Rawa

Ada satu perkara yang kurang difahami oleh kebanyakan orang dalam hak untuk berhimpun. Mereka tidak dapat membezakan antara perhimpunan aman dengan http://dinmerican.files.wordpress.com/2011/06/bersih-2-01.gifperhimpunan haram.

Istilah “haram” hanyalah satu pengklasan himpunan yang dilabelkan sebagai tidak mendapat permit polis, manakala perhimpunan aman adalah satu istilah yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan sebagai satu hak.

Walaupun tidak mendapat izin ia tetap satu hak yang perlu dihormati oleh semua pihak tidak terkecuali pihak polis. Segala tindakan yang menghalang hak ini adalah satu pencabulan kepada hak asasi manusia secara berperlembagaan dalam konteks Malaysia mahupun dalam piawian antarabangsa.
Oleh itu istilah “perhimpunan haram” lebih merupakan satu pengklasan ciptaan polis bagi menenangkan mimpi ngeri pemerintah yang berada di ambang senja pemerintahan. Memang jelas apa yang berlaku pada 9 Julai adalah manifestasi kepada kebebalan polis yang menjadi alat dan perkakas buruk regim BN bagi mempertahankan kuasanya yang semakin pudar. Rakyat Malaysia seharusnya berkabung semalam kerana polis telah menjadi “alat membunuh” kepada hak berhimpun secara aman di bawah kerelaan pemerintah yang sedang nazak!

Polis seolah-olah memperbodohkan dirinya di hadapan orang ramai kononnya berhujah dengan akta polis. Ya, Akta Polis memang ada tetapi semangat akta itu ialah memastikan perhimpunan berlaku secara aman bukan menghalang hak perhimpunan secara aman. Ketua Polis seharusnya meletakkan jawatan kerana gagal memahami ruh perlembagaan dan kerananya juga Perdana Menteri yang gagal mengawal semangat ini turut wajib meletakkan jawatan dalam kadar segera! Jika tidak, seluruh rakyat dimalukan dan dihina lantas PM tidak menjunjung perlembagaan persekutuan malah memperkakaskan polis menjadi alat pembunuh hak berhimpun.

Memburukkan lagi keadaan, adanya perintah RO (restriction order) yang jelas membataskan pergerakan hak rakyat secara bebas. Sekali lagi polis menunjukkan kebebalannya dengan berhujjah bahawa 91 orang yang diberikan RO itu berpotensi mencetuskan ketenteraman awam kerana menggalakkan orang ramai menyertai “perhimpunan haram”.

Apa yang membingungkan ialah apakah pihak polis bertindak demikian kerana ketenteraman awam ataukah kerana memelihara ketenteraman Umno/BN yang terancam.

Menentang Umno/BN bukan mengganggu ketenteraman awam ia urusan politik yang harus ditangani secara politik jua bukan menggunakan kekerasan polis. Sebab itu polis tidak kurang lebih daripada pencacai yang menjilat-jilat tuannya Umno/BN dan bukan bertindak sebagai pelindung ketenteraman awam.

9 Julai telah menunjukkan wajah polis yang sebenarnya, mereka umpama anjing-anjing yang terjelir lidahnya, jika tidak diberi makan mereka menjelir dan apabila diberi makan mereka menjelir juga. Keganasan mereka umpama robot-robot yang diprogramkan untuk bertindak sehendak hati mereka. Cuma bezanya polis-polis Malaysia ini manusia, dalam cerita-cerita Hollywod mereka adalah robot! Senarai keganasan polis semakin meningkat dan tidak menunjukkan trend menurun. Bayangkanlah apa akan jadi jika keganasan ini tidak diberhentikan, ramailah lagi akan menjadi mangsa. Apakah polis-polis ini lupa mereka juga manusia seperti mangsanya?

Ketua Polis harus membuat satu pencarian roh (soul searching), di manakah salah silapnya sehingga persepsi rakyat kepada polis begitu buruk sekali? Pakaian seragam biru lebih melambangkan sikap tidak professional, ganas dan rasuah walaupun bukan semua yang bersikap demikian. Polis harus mempelajari apa yang berlaku dalam kebangkitan rakyat di Mesir, Syria dan Negara Timur Tengah yang lain, rakyat bangkit kerana kezaliman pemerintah yang memperkakaskan instituisi kepolisian untuk terus kekal berkuasa.

Seorang pejuang rakyat di Mesir memberitahu saya, “kalau dulu polis mengejar kami tetapi kerana kebangkitan rakyat terhadap keganasan polis selama ini, kami pula mengejar polis!”

Ada juga yang menceritakan polis lari lintang pukang sambil buka uniform kerana takut dicari oleh rakyat yang tertindas selama ini dengan keganasan polis. Alangkah baiknya Ketua Polis bertafakur sejenak dan mencari-cari satu ketenangan atau berdoa di hadapan Kaabah supaya jadilah dia orang yang benar-benar menjaga ketenteraman awam yang bergantung kepadanya dan jauhi dirinya dari menjadi penjilat-penjilat regim yang hanya pandai menggunakan polis untuk kepentingan politik sempit mereka.

Polis juga harus sedar bahawa selalunya polis juga dikambing-hitamkan dalam beberapa keadaan apabila kerajaan nazak terdesak dan sebaliknya tidak mungkin berlaku. Untuk selamatkan maruah polis dari menjadi mangsa dikambing-hitamkan , wajarlah polis bersikap professional, bermaruah dan menghormati hak asasi manusia ketika melakukan penahanan.

Hari itu adalah hari hitam untuk kebebasan dan hak berhimpun di negara kita yang tercinta. Hari itu rakyat menangis bukan kerana bahaya gas pemedih mata, mereka menangis kerana sedih pihak polis bertindak ganas dan tidak memelihara maruah rakyat yang ingin berhimpun secara aman. Hari itu hari duka, hari itu hari rakyat akan terus bangkit menuntut hak berhimpun dihormati dan lebih dari itu hari itu akan menjadi sejarah kepada satu tuntutan memohon pilihanraya yang adil dan bertanggungjawab. Pastinya hari itu hari kebangkitan rakyat!M/I