Showing posts with label lanH. Show all posts
Showing posts with label lanH. Show all posts

Tuesday, July 3, 2012

Antara getah gelang, pemadam getah dan ‘handset’…

Oleh Lanh



DIDIKLAH anak-anak kamu untuk menghadapi zamannya, bukan zaman kamu, demikian antara lain kata-kata masyhur Sayidina Ali Karramallahu wajhah (k.w.).

Kira-kira 10 tahun lalu, saya perasaan seorang anak saya yang berada di sekolah rendah terbabit dalam sejenis permainan menggunakan pemadam getah.

Kegunaan alat ini adalah untuk memadamkan tulisan pensil tetapi lain pula dibuat oleh anak saya itu dan rakan-rakannya.

Dalam permaianan membabitkan dua orang ini, pemadam getah itu digerakkan dan pemenangnya adalah orang yang berupaya meletakkan pemadamnya di atas pemadam lawan. Si pemenang akan mengambil pemadam rakan yang kalah.

Saya naik angin dengan anak saya selepas menemui berpuluhpuluh pemadam dalam begnya.

Saya jelaskan kepadanya permainan itu tidak wajar diteruskan kerana adalah membazir untuk membeli begitu banyak pemadam lagi pun akiviti itu melekakannya daripada pelajaran. Saya meminta dia berhenti daripada terbabit daripada permainan itu.

Permainan getah pemadam ini adalah baru bagi saya. Pada zaman saya kecil dulu, permainan yang menjadi kegilaan budakbudak adalah getah gelang yang berwarna-warni tetapi sekarang sukar menjumpai getah gelang ini.

Zaman saya adalah ‘zaman getah gelang’ tetapi zaman anak saya itu adalah ‘zaman getah pemadam’.

Tidak pernah terlintas dalam dalam fikiran saya, getah pemadam boleh dijadikan bahan pertaruhan dalam permainan di kalangan kanak-kanak. Apa yang saya tahu adalah getah gelang tetapi zaman sudah berubah; si anak itu sudah bermain getah pemadam tetapi anak zaman sekarang lebih dahsyat lagi… anak-anak bermain ‘handset’ dan pelbagai permainan elektronik lain. Telefon bimbit kini bagaikan permainan saja bagi mereka.

Perkara inilah yang rasanya seperti tidak tertanggung lagi oleh kebanyakan ibu bapa dan guru-guru. Anak-anak zaman sekarang sudah terlalu ke depan dalam teknologi komunikasi ini sehinggakan budak sekolah rendah yang belum sampai 10 tahun pun sudah biasa dengan istilah seperti ‘top up’ dan‘reload’.

Macam mana jantung ibu bapa tak rasa ‘macam mahu putus’ atau guru ‘naik angin’ kerana ada sesetengah daripada anak-anak ini tidak ‘berenggang’ langsung daripada ‘toy’ baru ini. Dulu saya naik angin dengan anak yang bermain getah pemadam tetapi sekarang ‘budak yang masih berhingus’ pun sudah ada ‘handset’ yang dibelinya sendiri dengan menggunakan duit hasil kutipan pada hari raya. Aduh, sungguh canggih ‘toy’ budakbudak zaman sekarang!

Berhubung perkembangan ini, saya tertarik dengan maksud kata-kata hikmah Sayidina Ali k.w. bahawa didiklah anak-anak sesuai dengan zamannya manakala Sayidina Umar Al-Khattab pula mengingatkan ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak berlainan dengan cara mereka dididik sebab Allah melahirkan anak itu berlainan zaman daripada zaman ibu bapanya.

Jika dulu, apabila seseorang itu bercakap seorang diri, kita copnya sebagai gila tetapi sekarang dengan wujudnya pelbagai gajet elektronik ini, kerap benar kita temui anak muda yang bercakap seorang diri. Kadang-kadang kita lihat mereka tersenyum, ketawa dan menjerit ‘sorang-sorang’, jadi bagaimana mak bapak atau cikgu zaman sekarang ini tak ‘tension’ dibuatnya?

Ya, ramai ibu bapa cuba didik anak-anak mereka sebaik mungkin. Apabila bersama anak-anak bolehlah kita pantau kegiatan mereka, tetapi apabila berada di luar persekitaran rumah tangga, anak-anak kerap tergoda dengan pengaruh luar. Tentunya permainan gelang atau pemadam getah bersifat 'mati' (tiada reaksi dan respons) tetapi gajet elektronik cukup bahaya kerana boleh memberi respons (bahan) tanpa sempadan. Ngeri memikirkan jika anak-anak kita dalam usia hingusan itu sudah menjadi ketagih dalam mengakses bahan-bahan lucah dan sampah.

Zaman teknologi maklumat inilah menjadikan ibu bapa dan guru semakin tercabar kerana kerap berlaku apa yang mereka ajar tidak sejajar dengan persekitaran.

Misalnya media massa semakin teruk dengan bahan lucah dan pembohongan, orang politik semakin banyak menyeleweng manakala jenayah semakin menjadi-jadi. Jadi pendidikan anakanak semakin sukar; bagaimana agaknya kita perlu lakukan agar tindakan kita bertepatan dengan ingatan Sayidina Ali - didiklah anak-anak kamu untuk menghadapi zamannya...takkan kita nak suruh anak kita main getah gelang lagi.

Halang anak-anak main gelang dan pemadam getah mudah tetapi bagaimana mahu halang mereka daripada bermain 'toy' masa kini? Sama-samalah kita fikirkan...

Monday, December 26, 2011

Hanya 20% isi rumah berpendapatan lebih RM3,000

Oleh Lanh

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjPIqVnCGNrdi9yOIV9Dtr9W9SFmpzfFtKW0-ke8AffvhDVISTm-pwPeyGc9eMiSVkLXllMBDo_SFd5oz6t8s1-6-IDNhq9WH-s5Go0To3VYKXlhyphenhyphenYMaV15h26jlgK1y8DZweNXo963Jqul/s1600/bantuan500_thumb%255B4%255D.jpgKita mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kerajaan dan rakyat dalam pemberian wang bantuan RM500 sekali beri, tetapi dalam keghairahan pemimpin negara dan media massa membesar-besaran pemberiaan berkenaan kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan; terdedahlah satu hakikat yang perlu direnungkan – hanya 20 peratus saja isi rumah di negara ini yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan!

Kementerian Kewangan menyatakan RM2.6 bilion akan mula dibayar mulai pertengahan Januari depan yang akan memanfaatkan 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada isi rumah di negara ini. Jika 79.5 peratus daripada seluruh isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, bermakna hanya ada 20.5 peratus saja isi rumah yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Sekarang ini pendapatan isi rumah biasanya disumbangkan oleh suami dan isteri; ini bermakna jika sebuah keluarga itu berpendapatan RM3,000 sebulan; masing-masing hanya berpendapatan dalam lingkungan RM1,500. Jika perkiraan begini dilakukan apakah ini bermakna kira-kira 80 peratus daripada rakyat berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan?

Dengan berpendapatan RM1,500 atau kurang daripada itu sebulan, hakikat ini perlulah menjadi bahan renungan kita – benarkah rakyat dalam ambang berpendapatan tinggi seperti yang dicita-citakan sesetengah pemimpin negara ini. Bagi kita perolehan sebanyak RM1,500 sebulan tidak begitu jauh daripada garis kemiskinan apatah lagi jika seseorang itu tinggal di kota dan bandar-bandar besar.

Jika sedar bahawa sebahagian besar daripada rakyat adalah miskin atau golongan sederhana (kira-kira 80 peratus daripada penduduk), maka sewajarnya langkah-langkah drastik dan berkesan dilakukan untuk mengatasi masalah ketidak-mampuan rakyat ini. Dengan pendapatan RM1,500 sebulan di kota sebenarnya tidak banyak perkara keperluan hidup yang boleh dilunaskan. Sewa (bayaran ansuran) rumah, tambang pengangkutan dan bayaran utiliti bulanan sudah cukup untuk melangsaikan wang sebanyak itu

Jadi bagi kita, usaha mengurangkan beban golongan majoriti rakyat golongan miskin dan sederhana ini bukanlah dengan pemberian sekali beri tetapi merancang mengurangkan penderitaan dan kesempitan hidup mereka. Isu jelas yang paling membelenggu rakyat adalah kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan yang sejak akhir-akhir ini seperti tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa.

Memberi rakyat wang tunai RM500, dengan cepat mereka boleh menghabiskannya tetapi dengan berwibawanya kerajaan memastikan harga barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi, tepung, susu, minyak, sayur-sayuran, ikan serta ayam dan daging dalam jangkauan rakyat miskin, inilah seribu kali lebih baik dan mulia.

Demikian juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dan efisien terutama di kawasan luar bandar adalah amat dialu-alukan. Kini krisis pengangkutan awam di kawasan pinggir kota dan kawasan luar bandar menjadi terlalu buruk sehingga ribuan penumpang di Seremban, Temerloh, Shah Alam dan Kuala Selangor terkandas gara-gara penguasaha pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti terpaksa memberhentikan perkhidmatan kerana syarikat mereka mengalami kerugian yang teruk.

Kita sedar syarikat-syarikat ini rugi besar kerana penggendalian perkhidmatan di luar bandar tidak menguntungkan tetapi bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani permasalahan seperti ini. Jika kerajaan boleh berbelanja berbilion-bilion ringgit untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam canggih seperti MRT di ibu kota, mengapa tidak boleh diperuntukkan sedikit sebanyak untuk melegakan penderitaan rakyat luar bandar?

Berkenaan bantuan sekali beri RM500, kita berharaplah ia bukan umpan di kail, tetapi jika betul-betul umpan, harap-haraplah ikan yang ‘bersekolah’ akan mengigit-gigitnya secara bijaksana, jangan mulut tersangkut di kail sudahlah. Biarkah umpan habis tetapi ikan tak dapat-dapat juga!