Wednesday, March 30, 2011

Harusani - Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja

Harussani: Saya tak membisu, pernah kecam video seks aib Anwar

KUALA LUMPUR, 31 Mac — Tan Sri Harussani Zakaria menafikan tanggapan sesetengah pihak bahawa beliau hanya berdiam diri dan tidak bersuara berhubung pendedahan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Mufti Perak itu menegaskan, sejak rakaman video seks itu didedahkan awal minggu lalu beliau telah mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan pendedahan itu telah mengaibkan Anwar yang juga Ketua Umum PKR kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

“Siapa kata saya tidak bersuara? Siapa kata saya tidak ada cakap apa? Sejak hari pertama lagi saya sudah bercakap mengenai perkara ini dan bagi saya rakaman video seks itu telah mengaibkan Anwar kerana tidak saksi yang boleh buktikan.

“Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan... yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja... yang lain-lain tidak keluar,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kata Harussani, rakaman video seks itu boleh dianggap sebagai fitnah dan dosa besar kerana hukuman telah dijatuhkan terlebih dahulu terhadap Anwar tanpa bukti yang sahih.

“Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

“Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi... ini adalah fitnah dan dosa besar,” katanya.

Awal minggu ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Anwar itu.

Menurut Hadi, sikap pemimpin agama yang enggan memberikan sebarang respons terhadap pendedahan rakaman video seks oleh “Datuk T” awal minggu lalu amat dikesali.

Tiga Datuk T iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim — mengakui bertanggungjawab membuat pendedahan tersebut.

Ketiga-tiga individu tersebut terlebih dahulu menayangkan rakaman video seks itu kepad media di Carcosa Seri Negara dan Shazryl secara peribadi yakin lelaki pelacur dari China itu adalah Anwar.

Menurut Harussani, rakaman video seks itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti.

Ini kerana, jelas beliau, menurut perundangan Islam mana-mana jenayah yang membabitkan seks perlu mempunyai empat adil yang menyaksikan peristiwa itu berlaku termasuk perbuatan zina.

“Yang dilihat dalam rakaman video seks itu tidak boleh pakai, ia tidak boleh dijadikan bukti kerana ia boleh diubah atau dimanipulasikan.

“Kalau nak jatuhkan hukuman kita kena ada empat saksi yang benar-benar lihat dengan mata sendiri peristiwa itu berlaku bukan melalui gambar atau video.

“Kalau bawa ke mahkamah, video seks itu tetap tidak boleh dijadikan bukti kerana ia hanya rakaman dan menurut hukum syarak tetap kena ada empat saksi dan kalau tidak kita tidak boleh nak jatuhkan hukuman,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya tetap berpendirian Anwar tidak boleh dituduh terlibat pelakuan seks tersebut kerana tiada saksi yang menyaksikan ia berlaku.

“Dalam soal jenayah seksual Islam menetapkan saksi empat mata dan rakaman tidak boleh dijadikan bukti, di sudut Islam kena ada empat saksi yang lihat peristiwa itu berlaku.

“Tetap kena ada empat saksi hidup yang tengok ia berlaku, kalau tiada atau tidak cukup sebagai contoh hanya tiga mereka kena hukum qazaf (tuduhan zina) kerana menuduh orang lain,” katanya.

Menurut beliau, rakaman video seks yang didakwa milik “Datuk T” tidak boleh dijadikan bahan bukti.

“Rakaman sama sekali tidak boleh dalam jenayah seksual dalam Islam, tetap perlu ada empat saksi dan orang yang jadi saksi juga perlu individu yang berkredibiliti dan tidak akan menukar pandangan mereka.

“Kita tidak boleh ikut rakaman sebab itu dalam Islam hukuman jenayah seksual ini berat dan syarat untuk jatuhkan hukuman juga berat,” katanya.

Tambah Juanda, individu yang membuat pendedahan rakaman video seks itu sepatutnya disiasat terlebih dahulu.

“Yang pertama sebarkan benda lucah orang itu yang harus disiasat dulu, tiada undang-undang atau agama yang membenarkan ia dipertontonkan kepada khalayak.

“Sepatutnya bila dapat rakaman itu mereka kena serahkan kepada polis bukan dedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau juga menggesa agar semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan tuduhan yang bersifat peribadi.

“Tuduhan seperti ini baik di pihak parti politik mana pun kena elakkan tuduh dalam jenayah seksual, tuduhan seperti ini patut dihentikan,” katanya.

Polis telah menahan Abdul Rahim dan Shazryl berhubung pendedahan video seks itu pada Khamis lalu — bahan bukti termasuk rakaman video turut diserahkan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Umno tidak terlibat dalam rakaman video seks itu.

Anwar juga telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan telah membuat laporan polis.

YB Ghani salami masalah peniaga di Pekan Sungai Korok

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0010.jpg  http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/img_0014%2016.jpg

JITRA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, YB. Abdul Ghani Ahmad baru-baru ini meninjau permasalahan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga yang menyewa premis Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) di Pekan Sungai Korok, Alor Biak.

Peniaga-peniaga di situ melahirkan rasa kesal dengan tindakan Bahagian Penguatkuasa dan Tunggakan Hasil MDKP yang menyita premis mereka sebaik sahaja menerima notis daripada MDKP.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Usahawan berkata, notis berkenaan dikeluarkan bertarikh 7 Mac 2011 di mana peniaga/penyewa diberi tempoh bertenang selama dua bulan iaitu sehingga 14 Mei 2011 untuk melangsaikan bayaran atau tunggakan sewa kepada MDKP.

“Mulai 15 Mei 2011, peniaga/penyewa premis yang gagal membayar atau menyelesaikan tunggakan, premis mereka akan disita oleh MDKP,” ujarnya.

Menurutnya, apa yang berlaku, pada 7 Mac 2011, sebaik diserahkan notis kira-kira pukul 9 pagi, premis mereka terus disita bahkan diberi tempoh sehingga pukul 2.30 petang pada 7 Mac 2011.

“Saya akan memanjangkan masalah tersebut kepada Ahli MDKP, Haji Abu Seman Saad untuk dibincangkan dalam mesyuarat penuh MDKP pada 24 Mac 2011,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pegawai Khas Kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (ECXO), Wan Yusuf Wan Jusoh; Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ayer Hitam, Zulkifli Md. Isa, Majlis Ketua Kampung (MKK) Sungai Korok, Johari Omar, MKK Telaga Batu, Abdullah Din dan MKK Gurindam, Roshidi Hamid.

Andai UMNO anjur majlis minum arak, ulamak pakat-pakat tengok saja?

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi5tERdnvPX4dgOWaDeZ_33GLSNry95aTXAU-d5sGM7fUdhfw8zNjpaTehvvrZPp_oj-0VVSTLSAV4tifKa0O1fcD7jDoeY8D0dqX1kAHRFOpDOP3a8vtEWlpvZvCMYQ3-HY-wCX0FPYZ4/s1600/ulama+umno+bodoh.jpg
Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

Dr. Asri bukan orang politik dan bukan juga ulamak dari parti politik. Komen dan kritikan terbuka untuk mana-mana pihak. Tidak kira PAS atau Umno, beliau menegur apa yang dianggap tidak kena berasaskan ilmu yang dimiliki. Sikap itu berbeza dengan ulamak-ulamak yang turut tidak berpolitik namun mereka mengulas hukum menurut versi Umno. Apabila muncul isu kemungkaran yang dicetuskan oleh pihak Umno, maka ulamak-ulamak tersebut mendiamkan diri seperti apa yang disebut ‘syaitan bisu’.

Apabila ulamak dalam PAS, sama ada dari Dewan Ulamak atau Pemuda, yang mengajak rakyat memprotes di jalan raya ia bukan perkara pelik (walaupun jarang dilakukan). Tetapi apabila ulamak seperti Dr. Asri yang mengajak rakyat mengadakan perhimpunan besar, maka tentulah ia tercetus dari sebuah isu yang sangat besar. Ia adalah manifestasi dari kebejatan politik yang melanda negara sehingga ke peringkat mencabar kewibawaan golongan yang mempunyai ilmu agama yang sangat ramai di negara ini.

Qazaf atau menuduh orang berzina termasuk dalam dosa-dosa besar dalam Islam yang jika Hukum Hudud dilaksanakan, maka hukuman mandatorinya ialah 80 kali sebatan. Ia tidak menawarkan hukuman lain menurut budi bicara pemerintah seperti dalam hukuman takzir. Berdasarkan hukuman itu, dosa qazaf menghampiri perbuatan zina yang dikenakan 100 sebatan. Peminum arak dihukum sebat 80 rotan, berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab. Sekali lagi kalau berpandukan jumlah sebatan, dosa qazaf mungkin lebih kurang sama dengan dosa meminum arak. (Hanya Allah yang Maha Mengetahui).

Soalan yang menarik untuk dijawab oleh seluruh umat Islam Di Malaysia; Bagaimana agaknya andainya terdapat segolongan manusia yang mengadakan pesta minum arak di merata-rata tempat. Ia dibuat dengan anjuran rasmi sebuah parti politik. Program maksiat itu diberi permit oleh pihak berkuasa. Ia diiklankan secara meluas dalam semua media massa. Di sesetengah tempat pesta maksiat itu turut dihadiri oleh ulamak-ulamak parti politik yang menjadi penganjur program tersebut. Ulamak-ulamak tersebut tidaklah minum arak bersama, tetapi melopong mulutnya melihat kaki botol meneguk arak. Mereka langsung tidak mencegah. Apa reaksi masyarakat Malaysia, bermula dari alim ulamak sehinggalah kepada umat Islam biasa yang masih mempunyai saki baki iman?

Peliknya, apabila maksiat qazaf dibuat ramai yang hanya melopong menyaksikan perbuatan tersebut, termasuk sebilangan besar ulamak. Tiga tokoh Umno menjadi juara qazaf, bertindak dengan sewenang-wenangnya disokong oleh semua media-media utama negara. Kebencian terhadap pemfitnah zina itu ada tetapi tidak sepadan dengan keangkuhan golongan tersebut mencabar hukum Allah dengan melakukan maksiat qazaf. Hanya segelintir laporan polis dan demonstrasi. Itupun lebih bertumpu kepada persoalan konspirasi fitnah dan video lucah, tetapi bukan kepada isu qazaf. Tidak terkecuali Dewan Ulamak dan Pemuda PAS.

Bahkan terdapat pihak yang bersekongkol dengan pihak lain mendesak diadakan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu fitnah bikinan Umno itu.

Dr. Asri dengan tegas menyatakan, tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Beliau memetik Al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.

Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemungkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: "Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Adab Islam sangat jelas berhubung isu tuduhan melakukan maksiat ini. Mustahil ulamak Umno tidak tahu. Malangnya mereka tidak pernah memberi nasihat kepada golongan bukan ulamak yang besar kepala, membuat segala keputusan dalam Umno sekalipun bercanggah dengan Islam.

Ummi Hafilda diusung ke sana kemari untuk melakukan maksiat qazaf, menuduh secara terbuka Anwar meliwat dan berzina, masyarakat semacam tidak kisah kerana melihatnya seolah-olah upacara politik dari melihat berdasarkan persepsi hukum. Ia dianjurkan oleh Umno dan ada ulamak dari parti itu yang turut hadir mendengarnya.

Saya ingin mengucapkan setinggi tahniah dan penghargaan kepada beratus-ratus anak muda di Taman Wira Mergong yang berjaya menghalang Ummi Hafilda dari melakukan maksiat qazaf di tempat mereka. Mereka mengepung tempat ceramah dan mengusir Ummi dari cuba menghampiri. Mungkin sebahagian dari anak muda tersebut tidak mengerti apa itu qazaf tetapi tindakan mereka lebih berkesan dari alim ulamak dalam menghalang maksiat.

Isu video seks fitnah bikinan juhalak Umno masih belum berakhir. Media talibarut BN makin ghairah, langsung tidak menunjukkan tanda keinsafan. Mereka seolah-olah mahu memaksa rakyat untuk mempercayai bahawa Anwar benar-benar seorang penzina.

Bekas Mufti Perlis mungkin tokoh yang tidak berapa disenangi oleh beberapa pihak dalam beberapa isu. Tetapi keberaniannya (sebagai seorang ulamak non partisan) menyanggah politik jijik Umno yang mengetepikan hukum sehingga adalah tindakan sewajibnya bagi golongan yang beriman. Ia mesti dicontohi oleh semua ulamak.

“Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

“Kita tentang semua pelakon politik yang suka menyelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

“Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!” tegas beliau.

Dalam isu qazaf ini ulamak (tidak kira dari golongan mana) sewajarnya berada di saf hadapan untuk memerangi kemungkaran besar UMNO. Lebih-lebih lagilah Dewan Ulamak PAS yang terkenal dengan sifat ‘pemalu dan pendiam’ dalam banyak isu.[@Kedahlanie.info]

Pengerusi MCA Kedah tak percaya janji kerajaan negeri Kedah

Sedia undur jika pembinaan jadi kenyataan

ALOR SETAR - “Saya akan menarik diri daripada politik sekiranya bangunan pusat sembelihan babi yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri menjadi kenyataan,” kata Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.

Katanya, beliau berani membuat kenyataan itu kerana yakin apa yang dijanjikan sebelum ini adalah gimik politik Pas semata-mata.

Menurutnya, keputusan Kerajaan Negeri menawarkan tapak seluas 1.21 hektar di Kampung Sungai Tok Pawang, Kuala Muda untuk dibangunkan pusat sembelihan babi yang baru, menggantikan tapak lama di Kampung Berjaya, Mergong adalah ‘umpan’ pilihan raya untuk memancing pengundi bukan Islam.

“Mereka tidak ikhlas dalam hal ini kerana janji itu dibuat tiga tahun lepas, tahun ini mereka dakwa pusat itu akan dibina. Walaupun tiga pihak terbabit telah menandatangani perjanjian untuk membangunkan projek itu, namun saya tidak yakin ianya akan menjadi kenyataan,” katanya.

Itt Chew berkata, Kerajaan Negeri memang bijak menabur janji manis sejak mengambil alih Kedah daripada Kerajaan Barisan Nasional (BN), namun janji-janji itu tidak ditunaikan, termasuk apa yang terkandung dalam manifesto Pas.

“Ini semua gimik politik. Saya tetap dengan pendirian saya dan sanggup undur diri jika bangunan itu benar-benar siap suatu hari kelak,” katanya.

Mengulas mengenai hasrat Itt Chew itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, Itt Chew tidak perlu berbuat demikian semata-mata untuk mempertaruhkan karier politiknya.

“Tak perlu buat macam itu, saya tak mahu beliau undur diri dari arena politik kerana dia adalah rakan politik walaupun berbeza fahaman parti. Saya harap dia tarik balik kenyataan itu atau kekal dalam politik walaupun bangunan itu siap kelak,” katanya.

Menurutnya, lebih elok sekiranya Itt Chew menyerahkan kepada rakyat untuk memutuskan sama ada masih mahu khidmatnya atau sebaliknya.

“Biarlah diputuskan dalam pilihan raya akan datang. Lebih elok jika kita ‘berlawan’ secara sihat dalam pilihan raya,” katanya.

Isu pusat sembelihan babi di Kampung Berjaya ini berlarutan sejak 1993. Pada Mei 2009 notis merobohkan pusat itu telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan penguatkuasaan dibuat pada Jun 2009. Persatuan bersetuju berpindah apabila Kerajaan Negeri bersedia membantu menyediakan tapak, dan sebanyak enam lokasi disenaraikan sebagai pilihan namun mendapat bantahan penduduk dengan mengadakan demonstrasi.

Akhirnya persetujuan dicapai untuk dibina di kawasan ladang kelapa sawit, jauh dari penempatan di Sungai Tok Pawang.

Kemelut ini turut menyaksikan pergolakan politik apabila DAP bertindak keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) pada 1 Julai 2009 kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri, namun kembali menyertai pakatan setelah jalan penyelesaian dicapai di peringkat Pusat.

April Fool: Hari Umat Islam Dibunuh

Bulan Mac telah melabuhkan tirainya. Bulan April kini menjelma. Terdapat suatu kebiasaan jahiliyah yang harus kita berwaspada sebagai seorang Muslim iaitu 1 April sebagai hari ‘April Fool’. April Fool adalah hari di mana orang-orang diperbolehkan untuk menipu atau berbohong tetapi orang lain. Tetapi tahukah anda apakah itu April Fool yang sebenarnya?

Sejarah April Fool

Sebenarnya April Mop adalah sebuah perayaan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan belaka.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada tanggal 1 April) adalah hari di mana kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiap sahaja, dan mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar pada bengang, bukan betul-betul marah.

Walaupun ia tidak sehebat perayaan tahun baru atau Valentine's Day, budaya April Fool dalam dua dekad ini telah menggambarkan kecenderungan yang semakin menyatu dalam masyarakat ketika ini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa akan datang ia akan merebak ke masyarakat perkampungan. Ironinya, masyarakat dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa kajian dan kritikan terlebih dahulu, sama ada adakah budaya itu baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April's Fool Day, bermula daripada satu episod sejarah tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 M, atau bertepatan dengan 892 H.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 M oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan dalam Perancis. Perancis Selatan dengan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Islam tela hmemberikan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu baik dan rendah hati, ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, namun bersungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islami. Bukan sekadar membaca Al-Qur'an, namun bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad.

Selama itu juga, pihak kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat lelah terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam Sepanyol. Namun, mereka sentiasa menemui kegagalan. Maka dihantarlah sejumlah mata-mata untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluk Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur'an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluk. Penduduk Islam di Sepanyol ( yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan yang bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang masih bersembunyi dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam pada mulanya masih curiga dengan tawaran tersebut. Beberapa orang Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat terdapat kapal yang sudah disediakan untuk mereka, mereka pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah-rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pasukan salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumah mereka. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentara salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bertahan bersembunyi di dalamnya.

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka untuk keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Ribuan umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak mereka yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman.

Tragedi ini bertepatan pada tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April's Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu dan berbohong terhadap orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui cara-cara penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara seiman mereka disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang meraikan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, perhatikanlah di sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahil April Fool tanpa kita sedari. Wallahua’lam.

http://www.mykhilafah.com

Pusat penyembelihan babi bernilai RM5j dibina

Pusat bernilai RM5j dibina

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri telah bersetuju menawarkan tanah seluas 1.21 hektar di Kampung Sungai Tok Pawang, Kuala Muda untuk dibangunkan pusat penyembelihan babi yang baru, menggantikan tapak lama di Kampung Berjaya, Mergong.

Exco Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar & Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, perkara itu sudah lama diputuskan namun projek terbabit hanya akan dimulakan tahun ini.

“Kerajaan Negeri sudah bagi persetujuan dan tapak itu juga sudah di kenal pasti. Cuma tunggu kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja sebaik syarikat terbabit mengemukakan pelan projek, yang dijangka mengambil masa enam bulan,” katanya, ketika menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah dengan Persatuan Murid-murid Tua Sin Min, di Wisma Darul Aman.

Menurutnya, perkembangan projek ini menunjukkan Kerajaan Negeri mengotakan janji yang dibuat tahun lalu, apabila bersetuju memberi sokongan untuk menjayakan projek berkenaan kerana memahami kehendak bukan Islam.

“MoU antara Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah dengan tuan tanah sudah diadakan sebelum ini. Selepas MoU dimeterai, projek akan bermula secepat mungkin,” katanya.

Ir Amiruddin berkata, sebelum ini projek terbabit mengalami kelewatan berikutan masalah kewangan persatuan itu, di mana anggaran kos projek pembinaan mencecah RM5 juta.

“Projek ini mesra alam dan tiada kumbahan daripada pusat akan disalirkan keluar. Ianya akan dirawat menerusi sistem kitar semula, bermakna tidak ada pencemaran alam sekitar. Sekiranya semua proses berjalan lancar, pusat itu akan memulakan pembinaan tahun ini,” katanya.

Menurutnya, teknologi yang diguna pakai adalah sama seperti yang dilaksanakan di Selangor, yang terbukti keberkesanannya.

Ir Amiruddin berkata, ketiga-tiga pihak terbabit akan menubuhkan sebuah syarikat untuk menjayakan projek itu, dan Kerajaan Negeri hanya sekadar membantu dalam proses kelulusan tapak projek.

“Ini projek usaha sama antara mereka, kita hanya bantu segerakan kelulusan. Kos termasuk tapak adalah dibiayai oleh mereka,” katanya.

Tergamam lihat atap terbang

POKOK SENA - Sebuah keluarga di Kampung Telaga Bata, Mukim Limbong tergamam melihat bumbung rumah mereka diterbangkan angin ribut satu demi satu sehingga akhirnya hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin hanya dalam masa setengah jam.

Mangsa, Izwan Shahdan, 26, berkata, dia dan ibu bapanya tidak mampu berbuat apa-apa berikutan tiupan angin begitu kencang.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun pada awalnya melihat keadaan ribut itu sangat luar biasa.

“Paling penting adalah tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa dan kami sekeluarga selamat daripada bencana ini yang mengakibatkan kami mengalami kerugian sehingga RM6,000,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini.

Laung azan selepas lihat angin kencang

Kejadian yang sama turut berlaku di Taman Seri Kota sehingga menyebabkan bumbung surau taman itu diterbangkan angin. Keadaan itu juga memaksa penduduk taman menutup bahagian berkenaan dengan plastik bagi mengelak air masuk ke dalam surau dan merosakkan karpet dan perabot lain.

Penduduk taman, Abdullah Arshad, 50 berkata, dia yang baru sahaja pulang dari bekerja terkejut melihat angin kuat sebelum berlari masuk ke dalam rumahnya yang bersebelahan dengan surau berkenaan.

Menurutnya, angin yang terus bertiup kencang menyebabkan bumbung surau terangkat menyebabkan dia berlari masuk ke dalam surau dan melaungkan azan bagi meredakan keadaan.

“Semasa angin yang kuat itu bertiup, saya seperti terdengar orang berlari-lari kuat di atas bumbung dan saya mengambil keputusan untuk melaungkan azan dalam surau berkenaan.

“Selain bumbung surau ini yang rosak, rumah saya juga mengalami sedikit kerosakan kesan dari ribut ini,” katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Datuk Mohd Roshidi Osman.

Pokok kekabu hempap rumah

Di Kampung Masjid Lama, Mukim Tualang pula, lima sekeluarga di sini terpaksa keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri dan pada waktu yang sama sebatang pokok kekabu berhampiran rumah turut tumbang dan menghempap dapur rumah berkenaan.

Penduduk, Md Isa Abdullah, 57 berkata, mereka sekeluarga terpaksa melarikan diri selepas melihat ribut yang disifatkan sangat luar biasa.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak ada ahli keluarga lain yang berada di bahagian dapur rumahnya dan kesan daripada kejadian berkenaan dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

“Kami sekeluarga berlari keluar rumah dan berlindung di sebuah rumah saudara kami, selepas melihat keadaan rumah kami bergegar,” katanya.

Ribut turut menerbangkan bumbung tapak perhimpunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Barathy, Jalan Stadium dan bumbung tiga bilik darjah sekolah berkenaan.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, K Maniam berkata, akibat kejadian itu bekalan elektrik bagi bangunan tiga buah bilik darjah itu turut terputus.

Menurutnya, kejadian berkenaan tidak membabitkan kemalangan jiwa kerana semua pelajar dan kakitangan pelajar sudah pulang. Kejadian itu turut mendapat perhatian ADUN Derga, Dr Cheah Soon Hai.

Sinar Harian difahamkan terdapat kira-kira 16 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang turut terlibat.

Antaranya Taman Seri Kota, Taman Satria, Kampung Hutan Gelam, Kampung Tebu, Kampung Pengkalan Kerian, Kampung Lengkuas, Kampung Hutan Pulai, Kampung Bohor dan Kampung Telaga Bata dan hanya satu rumah di DUN Bukit Lada iaitu di Derang.