Saturday, April 2, 2011

Hentikan lambakan cerita tahayul - Mufti Perlis

SHAH ALAM – Filem, drama atau penulisan cerita berunsurkan tahayul perlu disekat daripada terus dilambakkan kepada masyarakat kerana ia antara faktor mempengaruhi akidah.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, media berperanan mendidik pemikiran masyarakat bagi memahami sesuatu.

“Apabila media memaparkan cerita karut seperti hantu dan tahayul dalam kemalangan, pemberita bertanya mengenai ‘tanda-tanda’ sebelum kematian, ia akan mempengaruhi akidah.

“Akidah tidak boleh dipandang remeh. Ia adalah tanggungjawab setiap individu bagi memastikan pegangan umat Islam terpelihara,” katanya.

Mengenai penglibatan tokoh agama tempatan dengan ajaran sesat, beliau menyelar tindakan itu dengan menyatakan golongan berkenaan tidak layak digelar tokoh agama.

“Perkara inilah yang menjadi masalah dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun berpendidikan, sentuh sahaja mengenai isu agama, mereka tidak boleh berfikiran logik.

“Sedangkan, ukuran agama diukur melalui neraca al-Quran dan hadis. Inilah tanda mereka jahil mengenai agama,” katanya.

Katanya, ajaran sesat di negara ini bukan perkara baru,. Ia mula berkembang secara bersembunyi menyebabkan pihak berkuasa sukar membuat penilaian mengenainya secara terperinci.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman (gambar). berkata, terdapat enakmen khas bagi menentukan perjalanan untuk sabitkan kesalahan ajaran sesat.

“Jika ada aduan mengatakan ada ajaran sesat, jawatankuasa penguat kuasa agama akan siasat sebelum bawa kepada mufti. Kemudian, mufti bincang dengan ahli jawatankuasa fatwa atau pihak perundingan hukum syarak.

“Siasatan perlu dilakukan sebelum seseorang pengamal ajaran sesat ditahan, malah, pihak penguat kuasa perlu ada waran tangkap dari mahkamah terlebih dahulu. Jika disabitkan kesalahan, barulah pihak pendakwa agama boleh bawa perkara itu kepada mahkamah,” katanya.

Abdul Rahman berkata, dari segi hukuman, mereka boleh dikenakan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

No comments:

Post a Comment