Friday, April 22, 2011

Telefonlah ibu anda sekarang juga!

oleh MUHAMAD MAT YAKIM

http://2.bp.blogspot.com/-6BTm0KRFhvY/TanJP7T2jsI/AAAAAAAAC9c/GoSR0VIS55c/s1600/farish-noor_ibu.jpg

Ya, dengarnya ramai yang menitik air mata baca Kelab 40 minggu lalu. Tidak! Saya bukan mahu masuk bakul angkat sendiri. Kisah saya dengan Maksu hanya sekadar satu cerita, satu momento dalam lipatan sejarah hidup kami, yang kini hanya tinggal saya untuk mengenangi.

Jika benar ia menyentuh hati - sebagaimana reaksi yang banyak saya terima menerusi panggilan, SMS, Facebook dan sebagainya - ia adalah kerana apa yang saya kisahkan itu sama saja dengan apa dilalui ramai orang lain.

Ini bukan semata-mata kisah ‘Muhamad dengan Maksu’ tetapi adalah realiti hampir semua orang.

Daripada maklum balas ini, jelas bagi saya bahawa amat ramai dalam kalangan kita yang hidup memandang enteng akan keluarga. Saya bukan bermaksud kita sengaja tidak peduli tetapi kerana sikap diri kita sendiri yang sering berlebihan pada perkara lain, hingga akhirnya tanpa sedar, kita telah melukakan hati mereka yang sebenarnya amat dekat dengan kita. Mereka yang sentiasa mengalir kasih sayangnya untuk kita tanpa jemu dan putus asa.

Mereka yang seumpama sungai, yang meskipun tebing dan perutnya telah sobek di sana-sini lantaran dikaut pelombong pasir, namun airnya tetap juga menghilir tanpa putus ke kuala.

Mereka boleh jadi sesiapa saja, terutama ibu dan ayah kita, datuk, nenek, adik-beradik, emak atau bapa saudara. Mereka adalah darah daging kita, yang hatinya amat dekat dengan wajah kita, kebimbangan dan rasa resahnya sentiasa untuk kita, yang sering tertanya-tanya sama ada kita selamat, sakit atau bagaimana!

Lazimnya, penyesalan dan rasa insaf hanya akan hadir setelah mereka tidak ada lagi dunia. Tidak! Saya bukan paku dulang atau paku serpih. Saya marahkan diri sendiri juga. Seorang rakan, dalam SMS selepas baca kisah saya dengan Maksu, mengakui tulisan itu mengingatkan dia kepada ibunya yang meninggal beberapa tahun lepas. Kepada saya, dia mengadu: “sampai sekarang aku tak boleh maafkan diri aku...”

Apabila saya tanya mengapa, rupa-rupanya apa yang membuatkan dia diburu rasa berdosa yang tak kunjung padam itu adalah keadaan ibunya ketika menghembuskan nafas terakhir. Rupa-rupanya si ibu pergi dalam keadaan seorang diri, tanpa anak atau sesiapa pun di sisi ...

Saya faham, bukan niat si anak mahu membiarkan ibunya pergi dalam keadaan seperti itu, namun ada sebab tertentu yang membuatkan takdir mereka jadi begitu.

Kepada si rakan, saya nasihatkan, apa lagi yang boleh kita buat untuk satu perkara yang sudah berlalu melainkan jangan putus niat menghadiahkan segala pahala kebajikan dibuat agar ganjarannya dapat dikongsi si ibu. Itu saja yang termampu!

Memang, keengganan seseorang ibu terutama yang memegang ‘title’ balu untuk berpindah tinggal bersama anak atau sekurang-kurangnya tinggal dalam tempoh agak lama di rumah anak, bukan perkara luar biasa. Saya sendiri mengalami dilema serupa. Namun apa lagi yang boleh dibuat? Hendak dipaksa, ibu kita. Nanti terluka hatinya, akan menyalalah neraka. Hendak dibiar, kita sendiri pula yang sengsara.

Hendak pulang menjenguk setiap minggu, soal masa, belanja, harus difikirkan juga. Walau apa pun, mahu tidak mahu, sebagai anak, kita hanya boleh menarik rambut dalam tepung. Inilah ujian sebenarnya!

Mengenai ibu, jika seseorang anak mengakui sentiasa mengingati ibunya, si ibu, saya percaya sepuluh kali, malah mungkin seratus atau seribu kali ganda mengingati anaknya. Manakala jika hatinya pula yang terluka, seseorang ibu akan lebih cenderung untuk memendam rasa. Dia tidak akan bercakap atau bersuara secara terbuka. Anak tidak pulang menjenguk untuk satu tempoh yang lama, atau tidak bertelefon tanya khabar, hati ibu mana yang tidak terluka?

Itu yang saya percaya ada dalam diri ramai ibu di muka dunia ini. Kerana itu, meskipun ibu kita tidak mempunyai akaun Facebook, tidak mampu untuk melayan kita bersembang mengenai Justin Bieber, apabila berjalan bersama, dia selalunya tertinggal jauh di belakang lantaran langkah yang sudah perlahan, atau sekurang-kurangnya tidak boleh untuk kita ajak berborak mengenai Krisdayanti yang mengakui hamil empat bulan, sebulan selepas bernikah, jangan tunjukkan rasa bosan di hadapannya!

Ingatlah, dialah ibu yang dulu menyuapkan kita nasi kepal berkicap, atau yang hanya digaul dengan ikan tamban masin tergeliat, yang hari ini membuat kita terus hidup untuk dapat merasa makan hidangan ikan patin masak lemak tempoyak yang harganya RM13,000. Tanpa ibu, tanpa keluarga, tiadalah kita. Oleh itu, pulanglah menjenguk mereka barang seketika, mengambil sebahagian daripada masa emas kita. Untuk sementara ini, ayuh, telefonlah ibu sekarang juga!

No comments:

Post a Comment