Saturday, April 2, 2011

Tiada agenda pindahkan pelajar

ALOR SETAR - Pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak mempunyai agenda memindahkan pelajar Kulliyyah Al-Quran yang menetap di asrama di bangunan Maahad Tahfiz negeri Kedah untuk diberikan kepada Sekolah Bestari.

Rektor Kuin, Profesor Datuk Dr Jamil Osman berkata, apa yang dilakukan oleh mereka kini ialah membaik pulih bangunan itu untuk keselesaan penghuninya, selaras dengan permintaan pentadbiran Kulliyyah Al-Quran sebelum ini.

“Kita tidak ada agenda untuk memindahkan mereka tetapi dijangkakan pada 2012 iaitu selepas kampus Kuin di Kuala Ketil siap sepenuhnya, kebanyakan Kulliyyah termasuk Kulliyyah Al-Quran akan ditempatkan di sana.

“Mereka (mahasiswa Kulliyyah Al-Quran) akan ditempatkan di bangunan yang lebih baik dan ini satu penghormatan kepada mereka. Malah lokasinya terletak berhampiran pintu masuk ke kampus itu,” katanya yang menafikan isu terbabit pernah dibincangkan dengannya.

Menurutnya, Sekolah Bestari adalah antara unit di bawah Kuin yang diwujudkan bagi memudahkan anak tenaga pengajar antarabangsa yang sebelum ini belajar sendiri di rumah, mengikuti pengajaran yang lebih sempurna di sekolah.

“Kini, terdapat 50 pelajar tingkatan satu dan empat sedang belajar di Sekolah Bestari dengan kurikulumnya berdasarkan kurikulum Al-Azhar, KBSM (Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah) dan hafazan.

“Tujuannya untuk menampung keperluan pembelajaran anak-anak kakitangan antarabangsa Kuin. Namun kewujudan sekolah itu di situ tidak bermaksud menafikan hak pelajar tahfiz yang menetap di asrama berkenaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat lebih 300 pelajar Kuliyyah Al-Quran peringkat diploma dan ijazah mengikuti pengajian ketika ini dengan lebih 100 daripadanya menetap di asrama itu.

“Jika dapat kelulusan, kita mungkin menawarkan peringkat sarjana bagi bidang Pengajian Al-Quran dan Pengajaran Al-Quran di Kuin Julai ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment