Sunday, April 3, 2011

Tukang kebun tunggu jawapan KEDA

PENDANG – Seorang tukang kebun masih lagi menunggu jawapan permohonan rumah Lembaga Kemajuan Kedah (Keda) yang dimohonnya kepada pihak terbabit memandangkan tidak sanggup untuk terus berhadapan masalah banjir yang sering melanda rumahnya di Kampung Batu Hampar dekat sini.

Sinar Harian difahamkan sebuah keluarga ini tidak sanggup untuk terus berpindah-randah setiap kali kawasan itu dilanda banjir memandangkan kedudukan rumahnya itu berhampiran kawasan Sungai Pendang.

Md Nor Hamid, 61, bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah terpaksa menjalani hidup serba kekurangan di rumah itu memandangkan permohonan rumah Keda masih lagi belum mendapat jawapan.

“Saya sudah membuat permohonan rumah sejak 2008 lagi dengan sokongan Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Safian, namun sehingga kini saya masih lagi belum mendapat maklum balas mengenai permohonan yang dikemukakan itu.

“Selepas membuat permohonan itu, sehingga kini masih lagi tiada apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan dan mereka tidak berkunjung ke rumah saya bagi menyiasat kehidupan keluarga saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia terpaksa menjalani kehidupan di rumah kecil itu bersama 10 ahli keluarganya dan sering resah terutamanya pada musim hujan memandangkan air sungai sering naik.

“Lebih lima kali rumah ini ditenggelami air setiap setahun menyebabkan kami terpaksa berpindah dan sering juga berhadapan banjir kecil.

“Ketika banjir kecil saya terpaksa meredah air untuk ke pekan bagi membeli keperluan makanan,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Ramlah Sahaba, 51, berkata, dia menetap di rumah itu lebih 20 tahun, namun tidak mampu untuk membaikinya memandangkan gaji suaminya sebanyak RM500 sebulan hanya mencukupi untuk keperluan makan sahaja.

Menurutnya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang ada juga menawarkan bantuan untuk membaiki rumah itu, namun dia menolak memandangkan tanah rumah itu adalah tanah rizab yang ditumpang sementara sahaja.

“Apabila kawasan rumah sering dilanda banjir menyebabkan tiang dan kedudukan rumah ini menjadi tidak stabil menyebabkan kami bimbang dan berharap supaya jawapan permohonan itu diketahui dengan segera.

“Selain keadaan rumah daif, kami sekeluarga juga tidak pernah merasakan kemudahan bekalan air paip seperti penduduk lain memandangkan suami tidak mampu membiayai kos pemasangan air paip yang begitu tinggi seperti yang diminta pihak berkenaan,” katanya.

Ramlah berkata, dia hanya mengharapkan bekalan air perigi sahaja dan ia menimbulkan masalah apabila kawasan itu sering dilanda banjir menyebabkan keadaan air itu menjadi semakin keruh.

Selain itu, Sinar Harian difahamkan juga Md Nor pernah memohon bantuan bulanan daripada JKM memandangkan dia tidak mampu lagi melakukan kerja disebabkan menghidap pelbagai penyakit, namun gagal.

No comments:

Post a Comment