Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu perlu balik ke landasan yang betul dan berpegang kepada prinsip taqwa.
Sebagai seorang pemimpin Islam, beliau berkata Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.
Bernama memetik Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan Mat Sabu memutarbelitkan kenyataan adalah satu dosa.
"Kalau dah tersasul dia kena mohon ampun pada Tuhan dan bertaubat supaya tak melakukan sesuatu seperti itu lagi," katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh hari ini.
Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan Mat Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Psikologi politik
Muhyiddin kesal dengan kenyataan Mat Sabu dan menyifatkan pemimpin PAS itu lebih berpolitik dan tindakan Mat Sabu menafikan membuat kenyataan itu dan berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia hanyalah psikologi politik bagi memperbetulkan keterlanjurannya.
"Bagi saya, saya tak tahu ini gambaran PAS yang sebenarnya atau perlakuan peribadi Mat Sabu tetapi yang pastinya apabila seseorang seperti beliau berucap, beliau bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Presiden (PAS)," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata kalau itu menjadi trend PAS pada masa akan datang, ia telah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan.
Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya Isnin lalu berkata laporan Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".
"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.
"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," katanya.
Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.
"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan mendengarnya," kata Mohamad.
http://malaysiakini.com/news/174528
No comments:
Post a Comment