Thursday, August 25, 2011

Kerajaan Negeri tidak lupa tunai tanggungjawab sosial



ALOR SETAR,– Seramai kira-kira 940 orang ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf telah diraikan dalam majlis berbuka puasa di Dewan Seri Mentaloon di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi, dalam ucapannya mewakili Menteri Besar berkata, menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan peruntukan untuk golongan kurang berada dan kurang bernasib baik.

“Selain dari bantuan Kafalah yang disasarkan kepada golongan kurang berada, sumbangan-sumbangan seperti untuk menyambut hari raya, persekolahan, bina atau baiki rumah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah demi mempastikan semua rakyat mendapat hak di atas kemakmuran negeri,” katanya lagi.

Tambah beliau, golongan kurang berada sebenarnya bukan bebanan kepada negeri atau negara, malah mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya dengan adanya golongan yang kurang berada ini, memberi ruang kepada yang berada untuk membuat kebajikan.

“Allah menjadikan manusia ini dalam pelbagai golongan. Ada yang miskin, sederhana dan kaya. Ini merupakan struktur masyarakat yang telah diatur oleh Allah kerana setiap yang dijadikan ada sebab musababnya.

“Oleh sebab itu memang mustahil kita boleh hapuskan kemiskinan secara keseluruhannya,walau bagaimana pun, kerajaan sentiasa berusaha menurunkan kadar kemiskinan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian dalam bidang-bidang tertentu,” tegasnya lagi.

Phahrolrazi mengingatkan hadirin, kemulian seseorang bukan terletak kepada kekayaan harta benda yang dimilikinya tetapi mulia di sisi Allah di atas ketaqwaannya . Walau bagaimana pun, Allah mengingatkan kita, kemiskinan juga kadang kala boleh mendekatkan diri seseorang itu dengan kekufuran.

“Kadang kala kerana desakan hidup, ditambah dengan ilmu agama yang cetek, tidak mustahil pendekatan negatif akan diambil, seperti mencuri, menipu atau melakukan jenayah yang lain.

“Tetapi perlu juga diingat, golongan kurang berada ini sebenarnya mempunyai banyak peluang beribadah kepada Allah kalau hendak dibandingkan dengan orang yang berada,” celah beliau lagi.

Tambahnya lagi, setiap yang Allah anugerahkan kepada kita mempunyai cabaran tersendiri.Kalau yang kurang berada cabarannya kemiskinan, manakala yang berada cabarannya tanggungjawab, amanah dan keadilan.

Dikesempatan itu, beliau juga mengingatkan hadirin agar jangan lupa menunaikan tanggungjawab membayar zakat fitrah dan mengucapkan selamat hari raya serta berharap dipanjangkan usia agar dapat menyelesaikan ibadah puasa untuk tahun ini.

Majlis sumbangan dan berbuka puasa bersama ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan muallaf itu merupakan acara tahunan dan diselenggara sepenuhnya oleh pejabat Menteri Besar sendiri. Selain memberi sedikit sumbangan, mereka juga berpeluang berbuka puasa bersama-sama pimpinan kerajaan negeri.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Speaker DUN, ADUN-ADUN dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment