Tuesday, August 23, 2011

Anwar: Najib ikut jejak Dr M untuk jatuhkan saya

KUALA LUMPUR, 23 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mengikut jejak mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menggunakan segala institusi kerajaan untuk menghalang keadilan, dakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Disebabkan tidak mempunyai sebarang kepercayaan bahawa beliau akan menerima pembicaraan yang adil, Anwar yang juga saksi utama dalam kes liwatnya telah memilih untuk memberikan keterangan dari kandang tertuduh, di mana beliau tidak boleh disoal balas oleh pihak pendakwaraya.

(Anwar dengan ditemani isteri dan anak-anaknya di mahkamah semalam)

“Seperti yang telah saya katakan, ini bukan satu pembicaraan jenayah. Ini satu episod yang diatur oleh kuasa-kuasa berkenaan supaya saya tidak lagi dapat bergerak, agar mereka boleh kekal berkuasa.



"Pada tahun 1998, Tun Dr Mahathir telahpun berbuat demikian, dengan sikap Machiavellian-nya yang menggunakan segala kuasa, berjaya memenjarakan saya selama 15 tahun untuk kesalahan yang tidak pernah saya lakukan. Dan ini jenis kezaliman dan ketidakadilan yang masih berterusan sehingga hari ini.



"Najib Razak sedang melakukan perkara yang sama seperti mentor beliau, di mana segala apa yang dikuasainya melalui media, polis, peguam negara dan sistem kehakiman akan digunakan untuk menggulingkan perjalanan keadilan dan mengeluarkan saya dari arena politik,” dakwa Anwar dalam kenyataannya dalam kandang tertuduh.



Menggunakan ungkapan yang dipetik dari Nelson Mandela, Shakespeare dan juga al-Quran dalam kenyataannya, Anwar menyifatkan hakim pembicaraan Datuk Mohd Zabidin Mohamad sebagai gagal memastikan perbicaran adil dalam kes Liwat II yang dihadapinya dan sekeras-kerasnya menafikan beliau melakukan seks dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.



Kejayaan Pakatan Rakyat pada 2008 telah menyemarakan usaha untuk membuang beliau kembali ke penjara, kata Anwar.



“Ketakutan mereka disahkan apabila ia menjadi jelas bahawa tempoh ketidak-layakan saya untuk bertanding dalam pilihanraya tamat, dan saya akan bertanding di satu kerusi parlimen, di mana jika saya menang, saya akan diangkat sebagai Ketua Pembangkang.



"Oleh itu, ia bukan kebetulan kerana konspirasi baru itu muncul tiga bulan selepas kemenangan Mac 2008 dan pendakwaan rasmi terhadap saya itu dibuat hanya satu bulan sebelum saya bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh.



"Rentetan peristiwa yang berlaku sebelum pertuduhan rasmi dibuat adalah diambil dari plot yang berlaku pada tahun 1998, yang tiada dalam episod terbaru ini, hanyalah kes mata hitam dan mangsa-mangsa yang dipaksa bawa ke mahkamah sebagai rakan kongsi dalam jenayah,” serang Anwar.



Dalam episod terbaru ini, kata Anwar para konspirator telah mengubah plot untuk membuat pendakwa dilihat sebagai seorang mangsa tidak berkeupayaan, kerana sedar plot 1998 yang menggunakan cara pengakuan paksa dan khianat oleh para mangsa sebagai satu perbuatan taubat susah dipercayai orang awam.



Anwar turut berkata konspirasi ini sememangnya mempunyai kaitan penuh dengan Najib dan isterinya Rosmah apabila Saiful sendiri mengakui pernah berjumpa dengan Najib di kediamannya untuk mengadu bahawa beliau diliwat.



“Kenyataan awal Najib bahawa beliau telah bertemu dengan pengadu untuk berbincang masalah biasiswa adalah penipuan besar, yang selepas itu ditarik balik disebabkan ledakan di media sosial dan juga blog-blog di Internet.



"Ia adalah jelas bahawa Najib dan Rosmah tidak mahu dilihat berkait dengan konspirasi ini, pada masa mereka sendiri turut terlibat dalam pelbagai skandal yang dibangkitkan di parlimen yang sehingga kini tidak dijawab,” kata beliau.



Konspirasi ini akan dimainkan sehingga beliau dipenjarakan, kata Anwar kerana prospek kekalahan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat sudah hampir menjadi realiti.



“Najib ingat dengan memusnahkan karier politik saya, ia akan juga memusnahkan prospek Pakatan Rakyat untuk berkuasa. Dengan itu, tiada yang tidak akan dikorbankan untuk memastikan saya dijatuhkan hukuman supaya kerajaan Barisan Nasional pimpinan Umno akan terus berkuasa,” tegas Anwar.



Anwar mendakwa Hakim Zabidin telah menunjukkan dengan jelas bahawa beliau tidak saksama dalam pembicaraan ini.



“Saya kata sedemikian kerana anda telah berkali-kali menolak untuk mengundurkan diri walaupun dengan pelbagai bukti yang menunjukkan anda bias terhadap saya. Saya kata sedemikian juga kerana anda telah membutakan mata terhadap pencabulan protokol dan prosedur yang dilakukan oleh pihak pendakwaan manakala pada masa yang sama tidak mengendahkan bantahan saya terhadap pelbagai penyelewengan yang terang-bederang, yang mana akan tanpa lebih memberi amaran kepada mana-mana hakim yang adil terhadap niat jahat dan zalim pihak pendakwaan.



"Dalam perkara wajib untuk seorang hakim, Al-Quran mengarahkan agar: ‘Dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, anda mesti berlaku adil’,” tambah Anwar.



Sementara itu, Najib, Rosmah, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodhwan Mohd Yusof yang enggan menjadi saksi pembelaan Anwar akan disepina ke mahkamah.



Sepina juga akan dimohon dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang hanya dikenali sebagai 'Suliati'.



Menurut peguam Karpal Singh yang dipetik Malaysiakini sebagai berkata, pihak pembelaan telah membuat permohonan dan menjangka saksi berkenaan akan tampil di mahkamah.



Ditanya sama ada, mereka boleh menolaknya, Karpal berkata tidak boleh dan sekiranya mereka berbuat demikian, waran tangkap boleh dikeluarkan ke atas mereka.



"Ia hanya boleh diketepikan. Setakat ini, belum ada permohonan untuk berbuat demikian,” katanya.



http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5074-anwar-najib-ikut-jejak-dr-m-untuk-jatuhkan-saya

No comments:

Post a Comment