Monday, August 29, 2011

Kahwin dekat vs Kahwin jauh..apa kaitannya dengan raya??? heheheh

HARI Raya Aidilfitri adalah satu-satunya hari dalam setahun yang mana seseorang tidak melalui kehidupan seharian seperti biasa.

Bagi kebanyakan orang Melayu di Malaysia, bila celik mata di pagi Hari Raya, mereka bukanlah di rumah masing-masing. Kebanyakannya tentulah di kampung halaman.

Bagi yang bernasib baik, pagi Hari Rayanya adalah di rumah ibu bapa sendiri, tempat di mana mereka dibesarkan.

Tetapi tidaklah semua orang bernasib baik seperti itu. Kebanyakan orang tidak akan dapat pergi lagi ke tempat rumah kelahiran mereka.

Mungkin rumah itu pun sudah tiada ataupun ibu bapa sudah pindah ke rumah yang lebih baik.

Bagaimanapun, bagi mereka yang terpaksa berhari raya di rumah mertua, apa yang boleh dikatakan ialah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Pada zaman ini, tahukah kalian bahawa banyak orang Melayu yang terpaksa duduk di rumah mertua mereka banyak hari semasa Hari Raya?

Ini kerana orang Melayu sekarang kahwin dengan orang jauh-jauh dan bukan lagi satu kampung.

Kalau dahulu, orang kahwin satu kampung atau sekurang-kurangnya satu daerah. Tetapi sekarang yang selatan kahwin dengan orang utara. Yang barat kahwin dengan orang timur. Malah tidak kurang pula yang Malaysia Barat kahwin dengan Malaysia Timur.

Maka kalau dahulu dalam masa Hari Raya, bolehlah bergilir-gilir tidur di rumah ibu bapa sendiri dan mertua, sebab kedudukannya tidak jauh. Sama ada satu kampung, mahupun satu daerah.

Tetapi jika rumah ibu bapa sendiri dan mertua jauh, beratus batu, maka tentulah menyambut hari raya perlu dibuat bergilir. Kalau tahun lalu di rumah ibu bapa sendiri, maka tahun ini terpaksalah mereka berhari raya di rumah mertua.

Ia juga bermakna mereka terpaksalah tinggal di rumah mertua berhari-hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah ibu bapa sendiri.

Gejala orang Melayu kahwin jauh-jauh ini adalah petanda pembangunan dan kemajuan negara.

Ia banyak berlaku hanya selepas merdeka apabila rakyat negara ini berhijrah ke tempat-tempat lain untuk belajar dan bekerja.

Umpamanya jika mereka belajar di Kuala Lumpur, maka akhirnya berkemungkinan jodoh mereka adalah orang yang jauh dari kampung halaman mereka.

Maka setelah 54 tahun merdeka, dapat disaksikan generasi anak-anak Melayu yang kahwin di luar negeri masing-masing.

Dari segi pengembangan baka, fenomena ini adalah baik. Ini kerana tidaklah orang hanya kahwin di negeri masing-masing. Apabila kahwin dengan orang jauh-jauh, baka yang dihasilkan akan lebih baik.

Tidakkah orang Melayu digalakkan supaya kahwin dengan orang di luar persaudaraan mereka? Kahwin sepupu walaupun dibenarkan tidak digalakkan. Sementara bagi mereka yang mengikut Adat Perpatih, kahwin satu suku pun tidak diizinkan.

Kini orang Melayu telah banyak kahwin di luar negeri masing-masing. Generasi yang ada sekarang dan akan datang tidak akan dikenali sebagai orang satu negeri, tetapi dua negeri. Negeri bapa dan ibu mereka berbeza.

Maka muncullah orang Melayu baru yang tidak dikaitkan dengan mana-mana negeri kerana ibu bapa mereka datang daripada negeri berlainan.

Ekoran daripada itu juga orang Melayu lebih pandai dan segak kerana kahwin berlainan negeri

Tetapi berkelana dan merantau adalah sifat rumpun Melayu di Nusantara. Dengan menaiki perahu dan kapal layar, mereka berhijrah ke seluruh pelosok kepulauan Asia Tenggara.

Setelah merantau jauh, mereka mencari rezeki dan bila Hari raya, mereka akan pulang ke kampung masing-masing, memperbaharui hubungan dengan sanak saudara dan jiran-jiran kampung.

Kalau dahulu mereka menyusur sungai-sungai untuk pulang ke kampung, kini mereka menggunakan pula lebuh raya.

Dengan melalui kesesakan yang bertambah buruk setiap tahun, sudah tentu menghadapi Hari Raya adalah berlainan daripada kehidupan seharian.

Semasa Hari raya ketika dalam gelak tawa dengan sanak saudara dan kemeriahan anak-anak kecil, lupalah sejenak segala masalah kehidupan seharian.

Kucing Jantan



http://lhakim-suarahati.blogspot.com/2011/08/kahwin-dekat-vs-kahwin-jauhapa.html


No comments:

Post a Comment