Thursday, August 25, 2011

MADA bagi 'duit raya' kepada petani mangsa banjir Mac lalu...

363 pesawah MADA dapat 'duit raya'



Mohd. Johari Baharum (dua dari kanan) menyampaikan cek bantuan banjir kepada wakil PPK Bahagia MADA C-1 Kangar di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang, Jerlun, semalam.



JERLUN 25 Ogos - Seramai 363 pesawah di kawasan utara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang ditimpa musibah banjir Mac lalu, bakal menyambut 1 Syawal dengan ceria apabila mendapat bantuan wang ihsan berjumlah RM726,000 hari ini.

Kerajaan Persekutuan yang prihatin dengan nasib mereka meluluskan bantuan tersebut pada kadar RM1,800 sehektar memandangkan tanaman padi yang musnah akibat kejadian itu adalah di peringkat masak dan sedia dituai.

Ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan dari 28 hingga 30 Mac lalu mengakibatkan tanaman padi bagi musim 2/2010 seluas 403.38 hektar ditengelami air dan rosak.

Bantuan wang ihsan tersebut masing-masing melibatkan seramai 99 petani di Wilayah I MADA di Perlis dan 264 orang di Wilayah II di Jitra.

Ia merupakan bantuan kali kedua yang diterima para pesawah terbabit selepas mendapat bantuan ihsan penanaman semula padi sebanyak RM876 sehektar apabila tanaman mereka yang baru tumbuh musnah akibat banjir besar yang melanda negeri ini, November tahun lalu.

Seorang petani, Mohammad Amri Salleh, 39, berkata, sebelum ini dia agak risau memikirkan perbelanjaan menyambut Aidilfitri kerana gagal mengutip hasil tanaman padi bagi musim lalu setelah lebih satu hektar sawah yang diusahakannya di Kampung Gobir, Perlis musnah akibat banjir.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan perancangan perbelanjaan bulanan terjejas dan terpaksa menggunakan sumber kewangan lain bagi menampung perbelanjaan harian.

''Keadaan bertambah rumit kerana hasil padi bagi musim ini pula belum dituai.

''Mujurlah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani prihatin dengan nasib kami yang memerlukan wang apatah lagi menjelang Aidilfitri minggu depan," katanya ketika ditemui selepas menerima wang ihsan sebanyak RM2,278.80 daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) A-2 Kodiang di sini hari ini.

Seorang lagi petani, Hashim Choh, 69, berkata, dia bersyukur dengan bantuan wang ihsan tersebut yang bukan sahaja dapat membantu menyediakan kelengkapan Aidilfitri tetapi membolehkannya membaiki jentera yang rosak.

"Bantuan ini sudah pasti dapat meringankan beban saya untuk menyambut Hari Raya dan membuat persiapan bagi musim penanaman berikutnya," katanya yang menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM13,053.

Seorang penerima dari Tambun Tulang, Perlis, Lias Salim, 44, pula mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan meluluskan bantuan wang ihsan kepada para peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akibat bencana alam berkenaan.

No comments:

Post a Comment