Sunday, August 28, 2011

Kerajaan Negeri Komited kurangkan kemiskinan

MENTALOON - Kerajaan Negeri komited untuk menurunkan kadar kemiskinan di negeri ini melalui pelbagai pendekatan bersesuaian mengikut bidang-bidang tertentu.



Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, walaupun agak mustahil untuk menghapuskan kemiskinan secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha ke arah itu.



“Sudah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan peruntukan untuk golongan kurang berada dan kurang bernasib baik. Ini tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan semua rakyat mendapat hak atas kemakmuran negeri ini,” katanya, ketika berucap mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada majlis berbuka puasa Menteri Besar bersama ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan mualaf di Dewan Seri Mentaloon.



Seramai 940 orang ibu tunggal, anak yatim, fakir miskin dan mualaf diraikan dalam majlis itu.



Phahrolrazi berkata, selain bantuan Kafalah yang disasarkan kepada golongan kurang berada, sumbangan lain turut diagihkan antaranya sumbangan Aidilfitri, bantuan persekolahan, termasuk peruntukan membina atau membaiki rumah.



“Golongan kurang berada sebenarnya bukan bebanan kepada negeri atau negara, malah mereka juga mempunyai peranan dan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya dengan adanya golongan ini, memberi ruang kepada yang berada untuk membuat kebajikan,” katanya.



Menurutnya, tidak mustahil desakan kemiskinan ada kalanya mendorong seseorang mengambil pendekatan negatif dengan mencuri, menipu atau melakukan jenayah.



“Setiap yang ALLAH anugerahkan mempunyai cabaran tersendiri. Kalau yang kurang berada cabarannya kemiskinan, manakala yang berada cabarannya tanggungjawab, amanah dan keadilan,” katanya.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9469993.asp

No comments:

Post a Comment