Tuesday, August 23, 2011

Siling Hospital Jitra runtuh tiba-tiba

JITRA-Beberapa orang petugas unit pesakit luar Hospital Jitra gempar setelah menyedari siling bumbung yang menempatkan tangki air di bangunan berkenaan runtuh awal pagi semalam.



Jurucakap hospital berkata, kejadian hanya disedari sekitar jam 6.30 pagi semalam apabila mereka sedang bersiap-sedia memulakan tugasan seperti biasa namun sebaik sahaja masuk ke dalam bangunan itu kelihatan air memenuhi ruangan lantai bangunan berkenaan.



Menurutnya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada tangki air yang berada di atas bumbung tidak mampu menampung muatan sepatutnya hingga menyebabkan air melimpah dan kesan limpahan turut meruntuhkan siling di bahagian bawah.



“Bagaimanapun kami tetap bersyukur kerana tidak ada sebarang kemalangan jiwa berlaku berikutan kejadian berkenaan awal pagi dan semasa itu tidak ada pesakit yang menerima rawatan dalam bangunan ini.



“Jika diikutkan kawasan itu turut terlibat dengan proses menaik taraf bangunan dan kerja-kerja membaik pulih kembali kerosakan siling serta bumbung diteruskan bagi membolehkan operasi bangunan berjalan seperti biasa,” katanya.



Usaha pihak media untuk mendapatkan kenyataan daripada pengarah hospital bagaimanapun tidak berhasil setelah beliau enggan memberi sebarang komen berhubung insiden itu.



http://www.sinarharian.com.my/sh/utr/content/story9456718.asp

No comments:

Post a Comment