Friday, October 7, 2011

Pendang - Padahnya apabila balai bomba terletak berjauhan.

Memo Editor
Penjual kuih hilang punca rezeki

TOBIAR – Sepasang suami isteri di Kampung Balik Bukit di sini hanya mampu menitiskan air mata selepas rumah dua tingkat yang didiami musnah dalam kebakaran pagi, semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 11 pagi itu menyebabkan Kamal Muhammad, 56, juga hilang sumber pendapatan apabila dua motosikal yang digunakan untuk menjual kuih dari rumah ke rumah sekitar kawasan Pendang turut hangus.

Kamal berkata, ketika kejadian dia dan isterinya tiada di rumah manakala semua anak bekerja dan sekolah menyebabkan semua kelengkapan rumah termasuk pakaian, wang simpanan dan dua motosikal tidak dapat diselamatkan.

“Saya pulang dari berniaga kuih kira-kira jam 9.30 pagi dan kemudiannya ibu saya mengajak saya dan isteri membawanya ke Pekan Pendang untuk membuat bayaran daging kerana ibu saya mahu mengadakan kenduri esok (hari ini) sempena ibu ingin menunaikan umrah pada tahun ini.

“Sebelum kami keluar rumah saya dan isteri sudah memeriksa semua suis elektrik dan dapur namun, tidak sampai setengah jam saya sampai ke Pekan Pendang tiba-tiba menerima panggilan daripada jiran memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia kerugian lebih RM40,000.

“Saya sedih apabila duit simpanan saya, isteri dan anak-anak yang dianggarkan lebih RM1,000, telefon bimbit anak dan peti sejuk yang baru sahaja dibeli hampir dua bulan turut hangus.

“Saya kini tiada lagi sumber pendapatan kerana motosikal yang digunakan untuk menjual kuih itu hangus dan tidak tahu bagaimana lagi cara mencari rezeki menanggung keluarga walaupun sumber pendapatan menjual kuih hanya RM20 sehari,” katanya.

Isterinya, Khalijah Abu, 44, berkata, lebih 50 helai baju tempahan jahitan pelanggannya turut musnah.

“Semua baju itu ditempah pelanggan untuk digunakan pada perayaan Aidiladha nanti namun turut musnah kerana baju itu berada di penjuru rumah bahagian atas, “ katanya.

Jiran mangsa, Puteh Airiffin, 62, berkata, dia maklumkan mengenai kebakaran itu oleh cucunya Mohd Amshad Shah Bandar, 6. Ketika itu dia berada di rumahnya dan baru sahaja ingin memasak untuk makan tengah hari.

“Saya keluar dan mendapati asap tebal dari rumah itu.

“Saya segera menjerit meminta pertolongan jiran lain untuk membantu menghubungi bomba dan membantu menyelamatkan beberapa tong gas yang masih berisi gas berada di hadapan rumah namun, gagal menyelamatkan barang dalam rumah itu kerana berkunci,” katanya.

Sinar Harian difahamkan ketika pihak bomba tiba hampir keseluruhan rumah itu sudah terbakar.[SinarHarian]

No comments:

Post a Comment