Ada seorang pembaca blog saya (Sakmongkol AK47) menegaskan janganlah menganggap apabila orang Melayu menyokong UMNO dan BN, mereka itu bodoh. Izinkan saya memberitahu terlebih dahulu, saya tidak berkata demikian- yang saya sebut ialah pemimpin memperbodohkan orang Melayu. Ada perbezaan besar antara bodoh dan diperbodohkan. Tapi itu menjadi topik lain pula yang kita tidak akan bahas di sini.
Itu bukan bodoh, itu membalas budi katanya. Mereka hanya membalas budi kepada sebuah kerajaan yang telah memberi mereka banyak nikmat kehidupan. Orang berbudi kita berbahasa, demikian natijah dari pendapatnya.
Saya amat bersetuju dengan pendapat pembaca ini. Kerana ini akan bermakna, orang Melayu yang menyokong kerajaan-kerajaan di negeri Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang mesti dilihat sebagai berterima kasih juga. Mereka pun tidak bodoh tapi sekadar berterima kasih. Mereka berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan yang telah membantu mereka dalam pelbagai cara. Bukan begitu? Mustahil apabila orang Melayu menyokong UMNO mereka berterima kasih, tapi bila mereka menyokong parti lain, perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai berterima kasih?
Saya berharap pembaca tersebut tidak bermaksud hanya UMNO sahaja berhak menerima terima kasih dari orang Melayu. Sudah tentu pandangan seperti ini tidak boleh diterima kerana UMNO tidak ada hakmilik mutlak ke atas sokongan orang Melayu. Malah dalam Pilihan Raya Umum 2008, UMNO tidak mampu menyatakan bahawa mereka mewakili suara majorti orang Melayu. Dalam PRU itu, lebih ramai orang Melayu menyokong parti bukan-UMNO. Bagaimana kita mengklasifikasikan mereka? Murtad Melayu? Tidak mengenang budi?
Di sebalik kenyataan yang pious (alim) ini sebetulnya terkandung cerita mengenai pertalian antara rakyat dengan kerajaan. Tersirat dalam kenyataan tersebut ialah bagaimana orang Melayu melihat peranan kerajaan dalam kehidupan mereka. Kalau di Amerika, mesejnya lebih kurang akan berbunyi- jangan soalkan apa negara kamu boleh buat kepada kamu, tanyakan apa yang kamu boleh buat untuk negara kamu. Negara dalam konteks ini, kerajaanlah. Atau gantikan negara dengan istilah kerajaan. Dari sini kita akan lihat pertalian antara manusia dengan kerajaannya.
Dari komen pembaca itu, kita dapat mengagak bahawa kerajaan dilihat sebagai penjaga dan rakyat dilihat sebagai yang dijaga. Dan itu membawa DUA pengertian besar; Pertama, kerajaan adalah penjaga yang penuh dengan sifat keibuan menjaga anak-anak. Kedua, tanggungjawab menentukan masa depan kita diserahkan ke atas bahu kerajaan.
Mungkin di sinilah, iaitu di dalam cara orang Melayu melihat peranan dan tempat kerajaan dalam kehidupan mereka, terkandung benih-benih kemunduran. Inilah sikap 'kelemahan yang diwarisi' (inherent weakness) yang kita mesti kikis- yakni menganggap kerajaan itu tempat kita bergantung segala-galanya dan tempat sumber rezeki hidup. Sikap seperti ini lah yang menyebabkan pemegang tampuk kerajaan membuli kita, angkuh dan sombong kepada rakyat kerdil. Kerajaan itu penaung dan kita yang bernaung, kerajaan itu tuan, kita hamba. Dan kepada si pengampu, konsep kerajaan seperti ini mahu mereka kekalkan. Selagi kerajaan dilihat demikian rupa, ianya memberi mereka a sense of supremacy dan mungkin juga khayalan godlike.
Sikap melihat kerajaan sebagai deity yang mesti ditaati dan dipuja, paling ketara di kalangan orang Melayu dan UMNO bertanggungjawab memanjangkan sikap yang melemahkan bangsa Melayu. Selagi kita mempunyai sikap yang demikian, selagi itulah kita terus bertongkat kepada kerajaan. Orang Melayu akan jadi tamby yang tertunduk-tunduk tidak ada keyakinan diri. Kita tidak boleh meneruskan ketergantungan sebegini kerana dengan melakukan demikian, memberi peluang kepada pimpinan politik yang licik mengeksploitasi ketergantungan kita itu.Berbalik kepada komen yang diberikan oleh pembaca tersebut, saya tidak menyebutnya demikian rupa- saya hanya memberitahu bahawa pemimpin Melayu membodohkan bangsanya sendiri supaya mempercayai mereka mempunyai banyak kelemahan. Seolah-olah lemah dan tidak bermaya itu adalah kesemulajadian orang Melayu. Mereka diperbodohkan dengan tahyul bahawa jalan selamat ialah melalui bergantung terus kepada kerajaan. Dan bukannya kerajaan yang mana-mana tapi suatu kerajaan yang khusus iaitu UMNO. Tidakkah kenyataan seperti ini self serving?
Ini kenyataan yang self serving sebab kerajaan yang dimaksudkan itu terdiri dari kerajaan yang diwujudkan oleh satu parti politik khusus sahaja. Tidakkah layak kerajaan dari parti bukan-UMNO dijadikan sumber rujukan? Selagi bangsa Melayu terus percaya kepada pembodohan ini, maka bangsa Melayu akan terus menjadi suatu bangsa yang dependent.
Kita mesti konsisten dalam gesaan kita. Jika menyokong UMNO dianggap sebagai terima kasih kepada kerajaan yang memberi faedah serta kemudahan kepada mereka, prinsip yang sama mesti juga diguna-pakai ke atas kerajaan-kerajaan yang bukan-UMNO. Kerajaan bukan-UMNO di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor semuanya menabur budi kepada orang Melayu. Berdasarkan gesaaan pembaca blog yang saya rujuk, maka orang Melayu dalam negeri-negeri ini mesti juga berterima kasih kepada kerajaan-kerajaan ini dan terus menyokong mereka.
Hanya dengan cara demikian, kita konsisten dalam pandangan kita. Jika menyokong itu bermakna berterima kasih, ianya mesti digunakan dalam semua keadaan. Berterima kasih dan mendapat sokongan tidak lagi menjadi hak ekslusif UMNO.
Cuba kita orang Melayu fikirkan. Jika orang Melayu bersikap bergantung kepada kerajaan secara membabi buta, ianya bertentangan dengan piagam seorang manusia yang mereka.
Apakah piagam seorang manusia yang merdeka? Seseorang manusia yang merdeka dan mempunyai jati diri (bukankah pemimpin UMNO sentiasa berkhutbah mengenai jati diri dan yakindiri) meyakini bahawa masa depan mereka adalah tanggungjawab mereka sendiri bukan menyerahkan tanggungjawab tersebut pada kerajaan. Kerajaan bukanlah tuan kepada orang yang menghambakan diri mereka.
Sebuah kerajaan hanyalah suatu wadah dan jalan, bukannya pemberi nikmat dan keistimewaan jauh sekali sesuatu yang mesti disembah. Manusia yang merdeka itu bertanya apakah yang mereka dapat lakukan melalui kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab bagi mencapai matlamat hidup dan yang paling penting sekali melindungi kemerdekaan mereka sebagai manusia.
Ini titik tolak perjuangan orang Melayu sebenarnya. Kerajaan yang dibentuk oleh PAS, UMNO, DAP atau PKR sekali pun bukanlah tuan kepada kita yang hamba. Bukan mereka sesuatu yang harus kita sembah dan takuti. Kerajaan ialah sesuatu yang kita wujudkan melalui persetujuan atau consensus bersama, bukan sesuatu yang wujud di atas kita. Tidak ada wawasan nasional kecuali yang dikongsi bersama oleh rakyat dan matlamat kerajaan adalah matlamat yang diyakini bersama dan yang diperjuangkan bersama. The government cannot impose something over us which we the people find disagreeable.
Dan di sanalah letaknya bahaya kepada UMNO. Sebab UMNO masih kekal dengan mentaliti bahawa dia kerajaan yang menjadi tuan kepada orang Melayu dan bersikap dia pemberi sumber kehidupan kepada orang Melayu. UMNO tiada, orang Melayu mati. Dan UMNO itu Melayu , Melayu itu UMNO.
Mari kita analisis kenyataan yang mengandung 2 bahagian ini- Melayu itu UMNO dan UMNO itu Melayu.
Kedua bahagian kenyataan atau pernyataan tersebut tidak mencerminkan aspirasi seorang Melayu yang berjiwa merdeka. Sama seperti tanggapan orang Melayu terhadap sebuah kerajaan, demikianlah tanggapan orang Melayu kepada UMNO. UMNO itu tunjang kerajaan yang menjadi tuan kepada orang Melayu, UMNO itu penjaga dan kita yang di jaga. Orang Melayu memuliakan UMNO sebagai sesuatu yang mesti ditaati malahan disembah dan apa orang Melayu boleh buat ialah mengharapkan pemberian dari UMNO.
Oleh sebab kepercayaan ini, nilai pemimpin UMNO bersifat sombong, angkuh, membuli dan memandang rendah kepada rakyat. Nilai silai ini diperlihatkan dalam gaya hidup seharian majoriti pemimpin UMNO. Inilah yang membawa kecundang kepada UMNO dalam pilihan raya yang akan datang.
Bagaimana keadaan begini dapat kekal untuk masa yang lama? Ianya kekal kerana tahap kejahilan dan kesedaran sosial dan politik orang Melayu relatifnya masih rendah. Di mana tahap kejahilan berkurang, dan kesedaran politik dan sosial meningkat, pengaruh UMNO menurun.
Nampaknya UMNO hanya mampu wujud dan survive selagi sebahagian besar masyarakat Melayu khususnya kekal dalam kejahilan. Kita boleh lihat di hadapan mata kita sendiri bagaimana kekuatan UMNO menjadi lemah apabila kesedaran rakyat khususnya orang Melayu meningkat. Dalam kawasan bandar di mana kejahilan orang Melayu berkurangan sama ada melalui tahap pendidikan yang di capai atau melalui interaksi sosial yang rancak, sokongan dan keyakinan kepada UMNO merosot.
Hari ini orang Melayu tidak perlu berhijrah ke bandar secara fizikal kerana penghijarahan itu kini sampai kepada orang Melayu. Orang Melayu membaca serta menonton TV satelit dan melayari internet serta anak anak mereka menyedarkan mereka – semua ini sedikit demi sedikit mengurangkan kejahilan orang Melayu.
Apakah kesan terbesar daripada pengurangan kejahilan ini? Kesan terbesar ialah memecah kekangan minda di kalangan orang Melayu. Namun bila ini terjadi, ianya tidak semesti menjadi berita baik kepada parti politik lain. Mereka pun mesti menyesuaikan kepada keadaan di mana kesadaran rakyat mengenai hak-hak mereka dan kejahilan dipecahkan. Mana-mana kerajaan yang dikuasai oleh parti politik yang bukan-UMNO berdepan dengan bahaya yang serupa jika underestimate kemahuan rakyat.
Sekarang, izinkan saya kembali kepada soal penegasan menyokong UMNO itu ialah menyatakan terima kasih.
Jika menyokong UMNO bererti menyatakan terima kasih, maka dalam PRU 2008, lebih besar jumlah orang Melayu tidak berbahasa. Kerana dalam PRU 12 itu, daripada 5.7 juta pengundi Melayu, hanya 2 juta Melayu mengundi calon-calon UMNO. Berdasarkan kriteria yang digunakan, adakah ini bererti 3.7 juta Melayu tidak tahu berterima kasih sebab mereka tidak menyokong calon UMNO? Lebih dahsyat, jika menyokong UMNO itu berterima kasih dan bukan bodoh, boleh atau tidak kita menyatakan 3.7 Melayu yang tidak menyokong UMNO dan tidak tahu berterima kasih itu bodoh belaka?
Ada beberapa perkara yang saya dapati objectionable dengan pertuduhan ini. Pertama, adakah berterima kasih itu bersifat umum atau hanya khusus kepada UMNO? Ianya hanya dianggap berterima kasih dan berbahasa jika diberi kepada UMNO dan tidak jika diberi kepada parti plitik lain? Jika hanya kepada UMNO, maka prinsip berterima kasih itu bersifat politik dan khusus dan tidak boleh dipakai sebagai prinsip yang sejagat atau universal. Ertinya, pembaca berkata, ianya terima kasih jika diberi kepada pihak tertentu (UMNO), bukan terima kasih jika diberi kepada pihak lain.
Kita jangan terperangkap dalam hujah sedemikian. Tidak ada orang yang menganggap orang Melayu bodoh kerana menyokong UMNO atau BN.
(1) berterima kasih bukan ertinya bodoh dan tidak menyokong UMNO atau kerajaan tidak bererti tidak tahu berterima kasih atau tidak berbahasa. Jadi, teruskan membuat pilihan yang bebas kerana jika tidak menyokong tidak bererti kamu bodoh atau tidak berbahasa
(2) berterima kasih bukanlah perbuatan yang tidak bersyarat dan
(3) berterima kasih dari segi pengucapan dan tidak boleh sama dengan beterima kasih dari segi perbuatan.
Yang dikatakan berterima kasih dari segi perbuatan ialah menyokong pihak yang terlah berbudi. Berterima kasih jenis ini memerlukan syarat. It’s a qualified gratitude. Untuk apa kita berterima kasih? Mangsa kecurian mesti berterima kasih kepada pencuri? Rakyat yang ditindas mesti berterima kasih kepada kerajaan yang korap dan zalim?
Ini ertinya, perbuatan terima kasih itu mesti dipadankan dalam konteks. Adakah kita berterima kasih kepada kerajaan yang zalim? Jika kita bersikap demikian, maka mustahil berlakunya pemberontakan di Mesir, Tunsia dan sekarang ini Libya. Kesemua kerajaan tersebut telah menabur budi yang banyak kepada rakyat. Jika rakyat memberontak adakah itu bermakna mereka tidak berterima kasih?
Contoh yang kita berikan di atas menunjukkan bahawa perbuatan berterima kasih mesti dipadankan dengan konteks. Terima kasih yang kita beri terutama dalam konteks politik, mestilah terima kasih yang bersyarat.
Adakah prinsip berterima kasih itu tetap dipakai untuk semua kerajaan atau hanya untuk kerajaan UMNO? Jika ianya prinsip yang bersifat kekal dan konsisten, maka ianya dipakai dalam semua kes tanpa pengecualian. Oleh yang demikian, berdasarkan prinsip tersebut, rakyat harus juga berterima kasih kepada kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah, kerajaan DAP di Pulau Pinang dan kerajaan PKR di Selangor. kerajaan dalam negeri-negeri ini telah juga berbakti kepada rakyat dalam negeri masing.
Will the same principle then be applied in all cases without exception? Atau terima kasih itu hanya dikususkan untuk kerajaan UMNO dan BN sahaja?
Jelaslah terima kasih kepada kerajaan bukannya mutlak dan semudah pengucapan terima kasih dalam interaksi sosial. Terima kasih kita kepada kerajaan mestilah dan pada setiap masa, terima kasih yang qualified. Its always a qualified gratitude bukan gratitude secara sembrono dan membabi buta.
No comments:
Post a Comment