Sunday, November 20, 2011

Umuq rakyat Malaysia semakin pendek...

No.1 yang tidak boleh dimegahkan
Oleh : ABDUL JALIL ALI
Tarikh : November 17, 2011

Tidak ada apa hendak dibanggakan walaupun fakta dengan jelas menunjukkan Malaysia sekarang berada pada kedudukan No.1 dalam kalangan negara-negara Asean. Sebab ini bukan tempat pertama dalam pertandingan tandas terbersih, atau terunggul dalam bola sepak.

Seperti diumumkan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, di Parlimen Isnin lalu, kita juara dalam masalah obesiti di Asean, dan tempat keenam di rantau Asia Pasifik.

Dengan penduduk 28 juta, negara kita paling ramai orang bertubuh sendo @ gempal @ debab @ gedempol @ tembam, atau apa sahaja istilah seerti dengannya. Satu kajian pada 2006 mendapati 43.1 peratus orang dewasa kita mengalami masalah berat badan, 14 peratus daripadanya obes.

Tentu sekali No.1 jenis ini bukan membanggakan, sebaliknya membimbangkan. Hakikatnya ialah obesiti selalu dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik, terutama kencing manis. Seperti dijelaskan Rosnah, kini tiga juta orang menderita penyakit kencing manis, peningkatan dua kali ganda berbanding 1.5 juta pada 2006. Tidak sahaja kencing manis, kegemukan juga selalu dikaitkan dengan darah tinggi, lemah jantung dan kanser.

Walaupun tidak disebut di Parlimen, semua orang mengakui gemuk meningkatkan belanja hidup. Sekiranya menempah pakaian, tukang jahit akan mengenakan upah lebih tinggi sebab kain yang digunakan lebih dari biasa. Di pusat-pusat membeli belah, saiz ‘XXL’ lebih mahal berbanding ‘L’, ‘M’ atau ‘S’. Lagi banyak ‘X’, lagi mahal.

Maaf cakap, obesiti juga boleh menafikan hak orang lain. Contoh: tempat duduk dalam bas yang boleh isi dua penumpang, hanya muat seorang penumpang bertubuh besar, maka seorang penumpang lagi terpaksa berdiri.

Sebenarnya obesiti lebih dari sekadar saiz coli, saiz seluar dalam atau tempat duduk dalam pengangkutan awam. Ini soal hidup dan mati. Seperti yang diketahui kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung adalah antara pembunuh utama di negara kita. Sebab itu kita kena elakkan kegemukan.

Pengambilan gula berlebihan telah dikenal pasti sebagai salah satu punca kegemukan. Malangnya dulu, kini dan selamanya, orang kita memang suka bermanis-manis. Sebahagian besar makanan kita bergula – tepung pelita, kuih lapis, lopes, pengat, dan banyak lagi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula tidak melebihi 10 peratus atau bersamaan dengan 200 kalori daripada jumlah tenaga harian, iaitu untuk orang dewasa tidak melebihi 10 sudu teh sehari yang bersamaan dengan 50 gram.

Orang kita terlebih gula. Kajian pada 2002 dan 2003, mendapati jumlah pengambilan gula kita mencecah 51 gram iaitu 21 gram gula pasir dan 30 gram susu pekat manis dalam minuman. Kempen kerajaan mengurangkan pengambilan gula sejak 1991, belum berkesan.

Saya teringat salah satu slogan kempen tersebut: ‘Kurangkan gula dalam minuman, tambahkan manis dalam senyuman.’ Ternyata sehingga kini senyuman kita tidak bertambah manis – malah semakin masam! – seperti dipamerkan di kebanyakan kaunter yang berurusan dengan pelanggan.

Selain terlebih gula, pada hemat saya, orang kita juga sejak akhir-akhir ini terlebih makan.

Di KL orang makan sepanjang 24 jam. Banyak gerai memulakan perniagaan pada tengah malam, untuk memenuhi selera warga kota yang kebulur tanpa mengira waktu.

Ada bistro, cafe, dan sekian banyak restoran mamak yang semakin kerumuni selepas lewat malam. Malah ada yang tidur awal, tetapi terjaga tengah malam, makan di restoran, kemudian pulang semula ke rumah untuk menyambung tidur.

Bayangkan pada jam 2 tengah malam orang kita boleh makan besar – nasi kandar, nasi minyak, nasi lemak, sup tulang, sup kambing, roti canai, tose, kebab, rojak, ABC, teh tarik, kopi Tongkat Ali, pendek kata apa sahaja.

Tentu sahaja dengan makan semewah itu berguni-guni kalori masuk ke dalam tubuh. Sekiranya selera besar larut malam itu diteruskan setiap hari, jumlah kalori yang dikumpul tentu berlori-lori. Jadi tidak menghairankan tubuh orang kita besar seperti guni.

Makan tengah malam sudah menjadi gaya hidup sebahagian orang kota. Mereka tahu makan tengah malam ada bahayanya. Mereka tahu pengambilan gula berlebihan boleh mempercepat kemungkinan mati. Tetapi, tanda-tanda semakin jelas bahawa orang kita tidak takut mati.

Maka saya ucapkan selamat menjamu selera!

No comments:

Post a Comment