Wan Jamak

REDHA dengan hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan, mahu kesnya dijadikan teladan oleh jurulatih lain.

“Saya terima keputusan FAM dengan hati terbuka, jika itu sudah ditetapkan Ilahi. Buat rakan-rakan lain, jadikan ini sebagai pengajaran.

“Sebagai jurulatih, tumpukan sepenuhnya dalam membimbing pasukan dan jangan sekali-kali cuba mempertikaikan apa yang bukan dibawah kuasa kita,” katanya, kelmarin.

Wan Jamak sebelum ini berdepan penggantungan 14 perlawanan dan denda RM9,000, selepas mengeluarkan kenyataan Kedah ‘dirompak oleh pengadil’ yang bertindak membatalkan dua gol skuad Kenari pada aksi terakhir Kumpulan A, bagi merebut tiket ke suku akhir Piala Malaysia lalu, dikenakan separuh daripada jumlah penggantungan dan denda.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu, digantung tujuh perlawanan dan denda RM4,500, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM membuat keputusan dengan pertimbangan, memandangkan ia adalah kesalahan pertama, selain sumbangannya sebagai bekas jurulatih dan bekas pemain kebangsaan.

Walaupun digantung tujuh perlawanan, Wan Jamak tidak melihat itu sebagai pengakhiran kariernya.

Sebaliknya, dia tetap terus memberikan khidmatnya kepada pasukan Kedah dari segi nasihat dan juga latihan.

Turut dikenakan tindakan, dua penolongnya, Radhi Mat Din dan Ahmad Sobri Ismail yang digantung empat perlawanan dan denda RM3,000 setiap seorang, selepas didapati bersalah terhadap tiga tuduhan, termasuk mengeluarkan kata kesat kepada pengadil.