Tidak pulang lebihan bayaran

KAMUNTING – Lebihan bayaran yang didakwa tidak dikembalikan oleh sebuah bank, di sini, menyebabkan seorang pengguna, Abu Hassan Abdul Hamid, 48 merasa tidak puas hati.

Abu Hassan berkata, masalah berkenaan bermula ketika dia menghadapi masalah kewangan sehingga gagal menunaikan perjanjian sewa beli yang telah ditandatangani dengan bank berkenaan.

Menurut Abu Hassan, anak-anaknya masih bersekolah ketika itu menyebabkan keretanya telah dilelong oleh pihak bank.

“Pada 15 September lalu, saya menerima surat daripada pihak bank yang menyatakan hutang tertunggak saya berjumlah RM9,000 dan perlu dibayar sekali gus yang mana tempoh bayarannya sah sehingga 30 Oktober 2011.

“Selepas sebulan surat berkenaan diterima, saya telah menerima sepucuk lagi surat daripada bank berkenaan yang bertarikh 23 September 2011,” katanya ketika ditemui di Wisma Padu, di sini.

Katanya, dalam surat kedua yang diterima, pihak bank telah menyatakan hutangnya berjumlah RM10,945.99 dan tempoh sah surat adalah sehingga 30 September 2011 sahaja.

Dalam masa yang sama, menurut Abu Hassan, dia telah membuat pinja­man­ peribadi dengan sebuah bank lain untuk melangsaikan semua hutang tertunggak dan telah diluluskan.

“Dalam pada itu saya telah menerima sepucuk lagi surat daripada bank sama yang menawarkan pembayaran hutang tertunggak sebanyak RM5,182.91 dan sah sehingga 31 Disember tahun ini.

“Saya tidak puas hati kerana telah membuat ara­han­ kepada sebuah lagi bank untuk membayar semua hutang secara terus kepada bank berkenaan melalui ‘Cashier Order’ sebanyak RM9,000,” katanya.

Penasihat Pengguna, Dr Billy Toh memaklumkan akan membawa aduan Abu Hassan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia.