Muzakarah yang disebut-sebut diantara PAS dan UMNO sejak dua tiga hari ini mendapat perhatian juga. Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz berkata tidak ada masalah untuk bermuzakarah dengan beberapa syarat. Pertamanya UMNO mesti terbuka untuk menerima Islam sebagai landasan semua hal tentang negara ini. Syarat yang seterusnya ialah untuk membawa sekali parti-parti pembangkang yang bersama PAS dalam PR untuk mencari penyelesaian terhadap penyatuan umat Islam dan rakyat sekelian dalam negara kita ini.
Beliau (TGNA) berkata dalam muzakarah itu mesti dibawa bersama PKR dan DAP kerana PAS sudah berkawan dengan parti-parti ini dan tidak boleh ditinggalkan. Pandangan TGNA ini amat bermakna dalam kontek menjaga setiakawan politik parti. Kalau hendak bersatu semua mesti bersama…jangan ada yang ditinggalkan.
Tidak terperanjat mendengar respon yang baik dari UMNO kerana sebenarnya UMNO sudah tidak ada pilihan, tetapi terpaksa bersetuju untuk mengadakan muzakarah itu. Sehari dua ini sudah berkurangan penyokong dan pemimpin UMNO menyerang TGNA seperti yang mereka lazim lakukan. Tidak ada pula yang melabelkan TGNA sebagai ulamak kafir seperti yang kita dengar baru-baru ini dari UMNO dan bekas Ketua Polis Negara kita.
Mungkin UMNO serius untuk menyelamatkan parti itu dari runtuh bergelimpangan dalam PRU yang akan datang ini. Itulah sebabnya yang dituduh sebagai kafir itu sudah tidak kafir lagi. Yang penting pemimpin-pemimpin UMNO masih berahi untuk berkuasa. Kalau terpaksa ‘share’ dengan PAS pun tak apa.
Saya tidak tahu bagaimana Tuhan akan melorongkan muzakarah ini kerana kehendak Tuhan tidak ada siapa yang mengetahuinya. Tetapi kalau diikutkan hukum akal kita, muzakarah ini tidak mungkin terjadi kerana ada suara-suara sumbang dari UMNO yang menyatakan yang mensyaratkan PAS supaya tidak mengambil kira pandangan Anwar dan Lim Kit Siang. Sebelum pun perbincangan untuk muzakarah ini, sudah ada syarat yang datang dari pihak yang lemah untuk kepentingan parti UMNO sahaja.
UMNO selalunya beginilah sikapnya. Mereka yang mempunyai risiko ditolak rakyat, mereka pula yang mahu menentukan syarat itu dan ini. Bagaimana hendak mengadakan penyatuan diantara orang Islam jika sebahagian orang Islam yang mempunyai pengaruh tidak bersama dalam perbincangan itu. Bagaimana kita hendak melaksanakan kehendak Islam jika rakan-rakan dari kaum yang bukan Islam tidak dibawa bersama, sedangkan rakan-rakan dari kaum lain pun adalah rakyat Malaysia yang mempunyai ‘legitimacy’ sebagai rakyat negara ini?
Bagaimana hendak bersatu jika kita bersikap ‘sayang bertompok-tompok, benci merata-rata?’ Apakah yang UMNO fikirkan? Adakah UMNO masih mengaku yang parti itu adalah parti yang mewakili kaum Melayu seperti mana yang digembar gemburkan selama ini? Tidak kah UMNO sedar bahawa UMNO sudah tidak lagi mewakili suara orang Melayu? Kalaulah UMNO masih mewakili suara orang Melayu, bagaimana hendak menjawab persoalan kenapa calon-calon UMNO hanya mendapat 2 juta undi sahaja dari jumlah 5.7 pengundi Melayu semasa PRU ke12 yang lalu. Dan diantara jumlah yang melebihi 3 juta yang tidak mengundi calon-calon UMNO itu termasuklah 1.5 juta ahli-ahli UMNO sendiri yang mengundi pembangkang dalam peti-peti undi semasa PRU itu?
Jika pun muzakarah ini berlaku, kita ingin tahu bagaimana kita hendak menyelesaikan isu rasuah yang sudah menjadi stigma kepada UMNO. Jika perundingan ini berlaku tentunya salah satu dari perundingan itu ialah untuk mengambil keputusan yang kita hanya memaparkan mereka dan pimpinan yang bersih dari stigma buruk ini.
Mahukah UMNO mengundurkan pemimpin-pemimpin besarnya sekali untuk berundur dan UMNO mencari pemimpin-pemimpin baru menggantikan semua yang ada dalam barisan kepimpinan tertinggi UMNO itu? Jika UMNO benar-benar bersetuju untuk mengundurkan Najib dan semua barisan kepimpinan UMNO itu, apa perlunya muzakarah kerana keresahan rakyat selama ini ialah dengan kehadiran semua pemimpin UMNO diperingkat tertinggi yang tidak mendapat keyakinan rakyat.
Kalau UMNO sudah mahu mengundurkan barisan kepimpnan hari ini dan digantikan dengan yang lain, saya yakin UMNO akan kuat dan tidak payah hendak berkompromi dangan PAS atau pihak-pihak yang lain. Takkanlah muzakarah yang UMNO inginkan ini semata-mata untuk mengekalkan kepimpinan yang mempunyai stigma yang buruk itu. Kalau untuk mengekalkan pemimpin yang mempunyai stigma yang buruk itu maka rakyat akan hilang keyakinan kepada PAS, DAP dan PKR kerana merelakan pemimpin bobrok UMNO untuk terus bersama menguasai kepimpinan negara.
Muzakarah itu tentunya hendak mencari kepimpinan yang bersih untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya ini. Takkanlah hasil muzakarah itu akan mengekalkan pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan isu Scorpene, NFC, PKFZ dan banyak lagi isu-isu yang ‘scandalous’ untuk bersama-sama menghadapi rakyat nanti, sedangkan perjuanagan PAS, DAP dan PKR ialah untuk melakukan pembersihan kepimpinan dari kekotoran yang menjijikkan rakyat.
Oleh yang demikian saya mempunyai pendapat yang tegas yang muzakarah ini tidak akan menjadi kenyataan. Setakat hendak bermain-main dengan mimpi siang hari itu bolehlah. Berangan pun bukan dikenakan bayaran atau terpaksa mengambil lesen. Beranganlah sekehendak hati dari pagi sehingga ke petang. Tidak ada siapa yang menghalang.
kalau agama diletakkan dihadapan, tentulah manusia lebih rasional, tapi bila agama diketepi, inilah jadinya.
ReplyDelete(ada manusia yang baca ke blog ni, satu komen pun tak dak?)