Tuesday, May 8, 2012

Tak perlu tender terbuka sebab bukan projek kerajaan negeri

ALOR SETAR – Projek Aman Central, iaitu usaha pembangunan semula Plaza Tunku Yaakob yang terbengkalai selama 30 tahun berjalan dengan lancar, dan kini segala proses telah selesai.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, proses undang-undang juga telah selesai, begitu juga dengan pampasan kepada pemilik tanah telah dijalankan.

Namun, terdapat sedikit masalah teknikal berhubung dengan Madrasah Salahiah, yang dicetuskan oleh pihak pembangkang.

“Aman Central dah clear semuanya, proses undang-undang dah selesai, pampasan yang kita bagi kepada tuan tanah dah selesai, dan sekarang Belleview dalam proses pengambilan tanah di kedai seberang sana.

“Cuma kita ada sedikit masalah teknikal berhubung Madrasah Salihiah, Majlis Fatwa benarkan setelah kita bagi penerangan kepada mereka tentang syarat-syarat yang kita nak buat, dan mereka bagi pandangan balik untuk kita bina surau di situ juga, bayar kepada Majlis Agama mengikut harga pasaran,” jelas beliau pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Aman.

Berhubung permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi bagi menghalang madrasah itu dirobohkan, beliau menyifatkan ianya sesuatu perkara yang pelik, apabila pihak pendakwa menarik balik permohonan tersebut, defendan pula yang perlu bayar kepada mereka.

“Majlis Fatwa telah beri persetujuan, tetapi ada pihak yang tidak puashati nak bawa kes ke mahkamah, selepas itu mereka tarik balik kes ini, kemudian ada orang lain pula yang minta balik, tak pa la dia pergi mahkamah.

“Tetapi masalahnya, apabila mereka tarik balik kes ini, kita (defendan) yang kena bayar sebanyak RM2 ribu, sepatutnya bila mereka yang tarik balik, mereka kena bayar, ini kita pula kena bayar,” jelas beliau.

Berhubung dakwaan Pemuda Gerakan Negeri mengatakan projek ini tidak dibuat secara tender terbuka oleh kerajaan negeri, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan menjelaskan bahawa projek bernilai RM500 juta ini ditanggung sepenuhnya oleh pemaju, Kumpulan Belleview (Belleview).

“Projek ini projek swasta, bukan milik kerajaan negeri, tak perlu buka tender, terpulang kepada pemaju, adalah menjadi dasar kerajaan negeri sejak dahulu lagi, PKNK dilantik sebagai badan yang berkuasa untuk proses pengambilan, yang hanya memegang ekuiti sebanyak 20 peratus sahaja.

“Segala kos projek ini ditanggung oleh pemaju, kerajaan negeri sekupang pun tak bagi, jadi tak timbul ia projek kerajaan negeri,” jelas beliau.

Menurut beliau, Aman Central bakal menjana pendapatan kepada banyak pihak, termasuk penduduk setempat.

“Satu pembangunan kepada rakyat Kedah, jadi kita boleh generate income kepada banyak pihak, sediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, surau pun kita buat besar dan begitu juga dengan cukai pintu yang bakal diperolehi oleh Bandaraya Alor Setar sebanyak RM2.4 juta,” ujar beliau.

No comments:

Post a Comment