Tuesday, May 8, 2012

Isu Insaniah - Menteri Besar jawab Mahdzir Khalid

ALOR SETAR – Pelarasan gaji baru sebanyak 13 peratus adalah tertakluk kepada Pekeliling Perbendaharaan dan Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang hanya melibatkan kakitangan di sektor awam dan tempatan, bukannya swasta.

Kolej Universiti Insaniah (INSANIAH) merupakan institusi pengajian tinggi swasta, maka kakitangannya merupakan kakitangan swasta, yang tidak tertakluk dalam pekeliling tersebut.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, walaupun kerajaan negeri memberi sumbangan kepada INSANIAH, ianya masih dibawah sektor swasta.

“Kalau ianya institusi pengajian tinggi awam, tertakluk kepada pekeliling tersebut yang melibatkan pelarasan gaji baru 13 peratus.

“Tetapi INSANIAH merupakan institusi pengajian tinggi swasta, yang tak tertakluk kepada pekeliling tersebut, ianya bergantung kepada persetujuan ahli lembaga pengarah, begitu juga umur persaraan, yang mana kita tak tetapkan kepada 60 tahun,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian bagi menjawab tohmahan oleh Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid (ADUN Pedu) yang mengatakan beliau menerima rungutan daripada kakitangan INSANIAH tidak menikmati pelarasan gaji 13 peratus.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan meminta ADUN Pedu datang berjumpa beliau bagi mendapat penjelasan lanjut sebelum bertindak.

YB Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid juga sudah semestinya lebih arif tentang hal ini kerana juga merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH.

“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau (Mahdzir Khalid) kerana rajin pergi siasat masalah INSANIAH, tapi beliau perlu datang jumpa saya, saya boleh terangkan, jangan buat kenyataan yang salah.

“Takkan beliau tak tahu tentang hal ini, sedangkan beliau merupakan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah INSANIAH,” jelas beliau.

No comments:

Post a Comment