Wednesday, October 3, 2012

Kompaun parkir: MBAS beri diskaun



ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melancarkan kempen bayaran tempat letak kereta dengan memberi diskaun kepada pengguna yang menerima kompaun tempat letak kereta (TLK) dan notis peringatan di kawasan majlis bandar raya itu.

Datuk Bandarnya Datuk Mat Noh Ahmad berkata kempen selama sebulan yang bermula Isnin lepas (1 Oktober) bertujuan bagi memberi peluang kepada pemilik kenderaan yang menerima kompaun TLK MBAS menjelaskan bayaran kompaun tersebut pada harga diskaun.

"Dalam tempoh kempen ini, kadar bayaran kompaun TLK sama ada yang semasa atau yang tertunggak telah ditetapkan kepada RM10 bagi setiap kompaun manakala bagi notis peringatan, bayaran kompaun telah ditetapkan kepada RM20," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Media bersama MBAS di Kelab Golf Diraja di sini malam tadi.


Tawaran kompaun asal adalah antara RM20 hingga RM50 bagi kompaun TLK dan RM100 bagi notis peringatan.

Mat Noh berkata bayaran kompaun yang ditetapkan bagi kompaun motosikal pula adalah sebanyak RM5 berbanding tawaran kompaun asal RM10 hingga RM30.

"Kegagalan menjelaskan kompaun bagi notis peringatan untuk tempoh 14 hari akan menyebabkan tindakan pendakwaan mahkamah diambil ke atas pesalah lalu lintas tersebut," katanya.

Mat Noh berkata selepas tamat tempoh kempen tersebut, MBAS akan mengambil langkah lebih agresif kepada pengguna yang engkar menjelaskan kompaun TLK dan kompaun motosikal.

"Sehingga sekarang, jumlah kompaun yang masih belum dijelaskan oleh pesalah lalu lintas ialah kira-kira 47,000. Bagi kes yang kita bawa ke mahkamah, terdapat 13 kes yang telah dijatuhi hukuman denda antara RM70 hingga RM200.

"Mahkamah juga telah mengeluarkan waran tangkap bagi dua kes kerana gagal hadir ke mahkamah, tujuh kes saman belum serah dan 27 kes telah didaftar untuk sebutan di mahkamah," katanya.

"Bayaran boleh dibuat di kaunter bayaran pejabat MBAS pada hari Ahad hingga Rabu dari pukul 8 pagi hingga 4.30 petang dan hari Khamis adalah dari pukul 8 pagi hingga 3 petang. Mereka boleh membuat bayaran secara tunai atau kad kredit," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment