Wednesday, October 3, 2012

Pecahkan ruyungnya dahulu sebelum mendapatkan sagunya

 oleh Aspan Alias,


Kenapa kita mendengar rakyat bercakap dan berbincang tentang politik tidak henti-henti sehinggakan jarang-jarang kita mendengar orang ramai bercakap pasal lain. Keadaan sebegini tidak pernah berlaku sampai ketahap ini dan ini sahaja menunjukkan rakyat sedang dalam pencarian. Kehidupan rakyat tentulah ada masa pasang dan surutnya dan ia bergantung kepada siapa yang mentadbir dan memerintah kita. Setiap rakyat ditadbir oleh badan kerajaan secara ‘direct’ atau ‘indirect’ di dalam mana-mana negara yang berkerajaan.

Rakyat ditadbir oleh kerajaan sehingga dikampung-kampung dan mereka ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). JKKK itu adalah struktur pentadbiran kerajaan yang terendah sekali. Selalunya apabila sampai rakyat biasa bercakap ditempat-tempat awam tentang politik, tidak akan ada perkara lain yang berlaku selain dari berlakunya perubahan. Dalam politik dini hari rakyat Malaysia setiap peringkat bercakap politik dan politik kepartian.

Perubahan itu tetap berlaku dan ini adalah hakikat yang tidak boleh di nafikan oleh sejarah. Kita tidak terlepas daripada angin perubahan ini dan sememangnya perubahan itu sudah sampai untuk berlaku. Kalaulah Muhammad SAW dahulu tidak berhijrah Islam itu susah untuk berkembang kerana masalah tentangan dari kaum mushrikin Makkah. Kemajuan dan perkembangan Islam sendiri terpaksa melalui perubahan dalam bentuk hijrah

Penghjrahan Muhammad SAW dengan sahabat-sahabat baginda ke Madinah telah mengembangkan makallah Islam sehingga Islam itu merebak ke merata pelusuk dunia sehingga ke Cina. Jika Muhammad masih kekal di Makkah Islam tidak mungkin berkembang dan menempa kemajuan kerana kekalutan keadaan di Makkah itu sendiri. Tetapi apabila Muhammad SAW sampai ke Madinah baginda telah di sambut oleh kaum ansar dan kawarij dengan begitu mesra, maka Muhammad SAW berjaya mengembangkan makallah Islam itu dengan jayanya dan berkembanglah agama suci kita itu di Madinah tanpa halangan yang besar.

Begitu jugalah kita di negara ini yang inginkan perubahan itu. Kekalutan politik di negara kita tidak akan dapat diperbaiki selagi kita tidak mahu melakukan hijrah itu dengan berani. Yang penting bagi kita ialah untuk meninggalkan kekalutan yang kita sedang hadapi oleh kerana masalah-masalah yang kita semua tahu dan telah selalu di sebut dan di tulis oleh banyak penulis dan pemikir kita.

Hanya yang menjadi masalah sekarang di negara kita ialah perubahan itu terpaksa melalui usaha yang sangat rumit kerana kita belum pernah lagi melalui perubahan sejak merdeka dahulu. Tetapi di atas kerumitan inilah datangnya perjuangan dan dalam usaha yang sebegini ia tidak mungkin boleh di capai dengan mudah kerana bukan perkara senang untuk memecahkan budaya yang songsang yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita. Bak kata pepatah, ‘pecahkan ruyungnya dahulu sebelum kita mendapat sagunya’.

Sekarang ruyungnya sudah hampir pecah dan sagunya sudah kita nampak. Hanya menunggu masanya sahaja bagi rakyat negara ini merasakan nikmat pembaharuan yang sedang berlaku dengan derasnya di kalangan kita di sini.

Barulah sekarang kita lihat dengan jelas yang perubahan itu agak pasti akan berlaku dan ianya sudah begitu hampir dengan kenyataannya. Tidak ada sesuatu kuasa yang boleh bertahan selama-lamanya termasuklah mereka yang sedang berkuasa di negara kita ini. Tanda-tanda perubahan sudah di tunjukkan dalam pilihanraya yang lalu dengan bertambahnya pengaruh parti-parti alternatif sehinggakan BN telah kehilangan majoriti tradisi 2/3 di Dewan Parlimen dan lima Dewan Legislatif negeri-negeri dalam persekutuan ini telah di ambil alih oleh pihak alternatif.

Ramai yang berharap dengan berusaha keras untuk melakukan ‘follow through’ kepada apa yang di capai oleh pihak alternatif dalam pilihanraya yang lalu. Angin perubahan ini bertiup begitu kencang sehinggakan pihak pemerintah sekarang terpaksa bertahan dengan berbagai-bagai cara kerana pihak pemerintah sekarang belum pernah mengalami perubahan selama ini. Namun benteng pertahanan mereka itu tidak akan mampu menahan ombak perubahan yang sedang melanda kita pada masa ini.

Tentang dari penyokong-penyokong BN pada hari ini tidak perlu di risaukan kerana mereka itu adalah dikalangan mereka yang berada di dalam ‘comfort zone’ dan payah untuk membawa mereka berjuang. Semasa mereka perjuangkan kemerdekaan oleh pimpinan terdahulu itu, ramai pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang makan gaji dengan pentadbiran British dahulu amat takut menerima kemerdekaan ini

Ramai di antara mereka berkata yang kita tidak akan berjaya mengendalikan sebuah negara yang kita tadbir sendiri kerana kita tidak ada kemampuan apa-apa. Mereka berkata, hendak membuat jarum pun kita tidak boleh lakukan, masakan kita berdaya untuk mengendalikan kemerdekaan negara.

Tetapi apabila kita mencapai kemerdekaan kumpulan ini jugalah yang telah mendapat nikmatnya dan menjadi pembesar-pembesar negara dan negeri kita. Begitu jugalah dengan apa yang kita hadapi sekarang. Ramai di antara penyokong kerajaan pada hari ini berkata belum tentu lagi PR akan berjaya memerintah negara dengan baik jika di berikan mandat dalam pilihanraya ini.

Tetapi itu merupakan masalah yang biasa apabila kita hendak melakukan perubahan. Kemampuan PR untuk mentadbir negara kita adalah lebih baik dari apa yang ada pada hari ini. Yang sudah pasti UMNO dan BN tidak mampu lagi mengendalikan rakyat dan negara dengan baik kerana UMNO dan BN tidak berkemampuan untuk menguruskan kejayaan.

Mereka telah merosakkan semua kejayaan yang kita telah capai dengan jayanya dahulu. Hakikatnya jika BN masih di berikan mandat ia bermakna kita telah gagal untuk berubah yang sangat-sangat perlu bagi rakyat negara kita sekarang ini.

Tetapi jika kita timbang dari sudut keinginan rakyat untuk berubah pada hari ini, insyaallah kita akan mencapainya dalam pilihanraya yang akan datang ini. Bersedia sahajalah untuk hidup dalam ‘ambience’ politik yang baru untuk kehidupan yang jauh dari kemelut yang kita hadapi sejak beberapa lama dahulu.

Kita terpaksa jauhkan diri kita dari kemelut ini. Jangan sekali-kali kita menzalimi diri kita dengan membiarkan kita masih berada bersama pentadbiran yang telah melakukan kemungkaran politik dan ekonomi serta sosial negara kita.

No comments:

Post a Comment