Showing posts with label Harian Metro. Show all posts
Showing posts with label Harian Metro. Show all posts

Saturday, October 29, 2011

Wan Jamak Digantung

Oleh AZIMAN ROSDI

DI SEBALIK tumpuan kepada final bola sepak Piala Malaysia semalam, tercetus kekecohan di kalangan peminat bola sepak tanah air dengan berita mengenai kemungkinan jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan bakal digantung 18 perlawanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Wan Jamak sebelum ini disiasat FAM berikutan kritikan pedasnya terhadap pengadil perlawanan selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 menentang Perak pada aksi terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman sekali gus menyebabkan mereka gagal ke suku akhir.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, hukuman itu belum diputuskan Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin badan induk bola sepak negara itu.

“Hukuman belum dijatuhkan lagi, Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM baru meminta Persatuan Bola Sepak Kedah dan jurulatih untuk membuat keterangan.

“Mereka diberi hingga 14 November ini untuk berbuat demikian," katanya.

Sementara itu, Wan Jamak yang dihubungi Arena Metro mengesahkan sudah mengetahui perkara itu namun belum menerima sebarang surat rasmi dari FAM.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut perkara ini. Ramai yang menghubungi saya bertanya benarkah saya digantung 18 perlawanan.

“Saya belum terima surat FAM dan cuma mendapat berita dari kenalan dan media saja. Jika benar saya digantung, saya akan cuba membuat rayuan," katanya.

sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WanJamakdigantung/Article/artikelMA (30/10/2011)




Friday, October 7, 2011

Kelaku Bapak Haram Bejadah telah mula wujud dibumi Malaysia..

Isteri dalam pantang, bapa liwat bayi 23 hari

October 08, 2011

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Berang isteri dalam pantang enggan melayan kehendak seksualnya, seorang lelaki berusia 28 tahun bagaikan dirasuk syaitan apabila sanggup meliwat bayi lelakinya berusia 23 hari di dalam bilik di rumah mereka di Taman Sunway, Batu Caves di sini kelmarin.

Laporan media menyebut lebih kejam apabila tangisan bayi malang yang menahan kesakitan itu langsung tidak diendahkan si bapa durjana, sebaliknya dia menjadi lebih rakus dengan bertindak menutup mulut anaknya itu menggunakan tangan dengan kuat, sekali gus menambah derita si kecil.

Bapa yang kejam itu berbuat demikian untuk mengelakkan tangisan bayi malang itu didengari isterinya yang ketika kejadian dilaporkan sedang berehat di ruang tamu rumah.

Dipetik Harian Metro hari ini, sumber polis berkata, tindakan keji dan kejam itu hanya disedari ibu mangsa berusia 39 tahun kira-kira pukul 4 petang apabila melihat mangsa tidak bermaya ketika mahu memandikannya.

“Si ibu terkejut apabila melihat bahagian mulut mangsa lebam. Pemeriksaan wanita itu kemudian mendapati bahagian dubur mangsa turut cedera.

“Dia mula curiga suaminya melakukan sesuatu yang buruk terhadap bayinya kerana sedar sebelum itu lelaki berkenaan bermain bersama anaknya itu di dalam bilik,” katanya.

Sumber berkata, tanpa pengetahuan suaminya wanita terbabit bergegas membawa mangsa ke sebuah klinik sebelum doktor mengarahkannya melakukan pemeriksaan semila di Hospital Selayang.

“Pemeriksaan doktor yang mengesahkan mangsa diliwat. Berang dengan perbuatan terkutuk suaminya itu, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Selayang,” katanya lagi.

Sumber itu berkata, sebelum kejadian suspek mengajak ibu mangsa melakukan hubungan seks, namun wanita itu enggan kerana dia masih pantang kerana baru 23 hari melahirkan anak.

Lelaki itu ditahan malam kelmarin dan sedang direman selama empat hari.

Sumber juga berkata bayi itu berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan penahanan lelaki berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Saturday, October 1, 2011

Salah Siapa..Pengadil kah, Wan Jamak kah atau FAM kah..???

Wan Jamak Wan Hassan
Wan Jamak Wan Hassan

GARA-GARA kritikan pedasnya terhadap pengadil perlawanan, jurulatih Kedah Wan Jamak Wan Hassan mungkin bakal berdepan hukuman berat apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat luahan rasa beliau selepas tamat perlawanan menentang Perak dalam saingan Piala Malaysia, Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Datuk Mohd Taufik Abd Razak berkata, FAM sedia maklum dengan kenyataan Wan Jamak itu dan meneliti sama ada akan membuka kertas pertuduhan ke atas jurulatih itu

“Perkara ini diuruskan urus setia FAM terlebih dulu untuk menyemak kenyataan Wan Jamak itu sama ada ia kenyataan yang berasas ataupun melanggar kod etika FAM.

“Kami tahu kenyataannya itu disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan serta laporan berita televisyen. Malah ia juga disiarkan secara langsung selepas tamat perlawanan ketika ditemubual Astro Arena tapi perkara ini akan diteliti terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam

Wan Jamak, 53, melahirkan rasa tidak puas hati selepas menyaksikan anak buahnya sekadar seri 1-1 menentang Perak dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darulaman sekali gus menyebabkan mereka gagal mara ke suku akhir.

Beliau yang ditemui pemberita berkata: “Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi dirompak pengadil yang membatalkan dua itu pada babak pertama. Pengadil membuat keputusan yang tidak masuk akal.” Taufik berkata, mengikut peraturan baru Kod Tata Tertib FAM 2011, jika Wan Jamak disabitkan bersalah, beliau bakal berdepan hukuman penggantungan minimum enam bulan sehingga dua tahun serta denda wang tunai sekurang-kurangnya RM6,000.

“Semua ini bergantung kepada sejauh mana seriusnya kenyataan Wan Jamak itu kepada FAM, jika kami menganggap ia kenyataan berasas, makan kes itu akan digugurkan,” katanya.


Untuk rekod beberapa kes membabitkan penggantungan jurulatih kerana kelantangan bersuara berlaku sebelum ini membabitkan bekas jurulatih B Sathianathan (Kelantan), Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor (T-Team) dan Reduan Abdullah (Felda United).

Sathianathan dijatuhkan hukuman penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 oleh Jawatankuasa Tata Tertib dan Disiplin FAM, Oktober tahun lalu kerana mempertikaikan pemilihan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sebagai gelanggang pertemuan Perlis dan Terengganu ketika Stadium Utama Negeri di Kangar tidak dapat digunakan.

Turut menerima nasib sama, Che Ku Marzuki yang menjalani penggantungan enam bulan dan denda RM2,000 bermula 21 Oktober tahun lalu.

Reduan pula didakwa celupar apabila memperkatakan mengenai ujian yo-yo walaupun banyak pihak mengaku kebenaran kenyataan bekas pemain Selangor itu.

Beliau digantung selama setahun dan denda RM4,000 namun selepas rayuan dibuat, Jawatankuasa Rayuan dipengerusikan C Gnanarajah mengurangkan tempoh penggantungan itu kepada tiga bulan tetapi dendanya ditambah RM2,000 kepada RM6,000.

Saturday, August 20, 2011

Bagi Anak kepada Gereja : Kompom satgie puak-puak samdol tu ka bapak tu ahli PAS..!!

Bapa hantar lima beradik ke rumah amal gereja
Oleh HADZLAN HASSAN dan SHAMRAN SARAHAN

metahad@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak sampai dua minggu lagi, lain pula dengan nasib lima beradik beragama Islam yang terpaksa menyambut 1 Syawal di bawah pengawasan sebuah gereja, dekat sini.

Semuanya gara-gara tindakan bapa mereka menyerahkan lima beradik terbabit kepada gereja itu selepas dia dikatakan mengalami masalah rumah tangga dengan isterinya.

Yang menyedihkan, lelaki itu yang juga doktor, enggan menyerahkan anaknya kepada pusat jagaan kerajaan atau organisasi swasta beragama Islam biarpun pihak gereja bersedia berbuat demikian.

Menyedari masalah itu, sebuah badan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini berusaha mengeluarkan lima beradik berusia lima hingga 15 tahun itu daripada jagaan gereja.

Kes itu terbongkar selepas pengurusan gereja menghubungi pusat kebajikan terbabit kerana tidak mahu berlaku isu berbangkit, terutama selepas isu serbuan di Gereja Methodist, Damansara Utama, dekat sini, dilaporkan 4 Ogos lalu.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Baitul Fiqh (Baitul Fiqh), Juhaidi Yean Abdullah, berkata pengurusan gereja memaklumkan kehadiran lima beradik itu kepadanya dan ingin menyerahkan mereka kepada rumah kebajikan Baitul Fiq.

“Selepas beberapa kali membuat perbincangan dengan pengurusan gereja, mereka bersetuju menyerahkan kanak-kanak terbabit, namun hasrat itu dihalang bapa mereka dengan alasan tidak mahu anaknya diserahkan kepada pihak lain.

“Pihak gereja pula tidak mahu kehadiran kanak-kanak itu menjadi isu sensitif dan meminta mereka diserahkan kepada pihak lain (pengurusan beragama Islam),” katanya.

Menurutnya, pendirian bapa kanak-kanak terbabit menyebabkan pengurusan gereja dalam dilema dan meminta jalan penyelesaian daripada pengurusan Baitul Fiqh.

“Inilah permuafakatan yang wujud dalam konteks bebas beragama di negara kita, tetapi masalah lain pula timbul apabila waris kanak-kanak itu enggan menyerahkan anaknya kepada pihak kita.

“Sebenarnya, saya tidak pasti apa lagi yang boleh saya lakukan kerana tidak pernah mengendalikan kes seperti ini selain tiada kuasa mengambil hak penjagaan daripada waris yang memberi amanah kepada pihak lain.

“Yang saya khuatir ialah soal akidah lima beradik itu dan saya sedih dengan tindakan si bapa menempatkan mereka dalam gereja,” katanya.

Juhaidi Yean berkata dia bersedia memberi maklumat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) jika diminta berbuat demikian, malah pengurusan gereja turut bersedia memberi kerjasama jika diperlukan.

Katanya, lebih menyedihkan, anak sulung keluarga itu bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), tahun ini, dan kemelut yang berlaku dikhuatiri turut menjejaskan persiapan peperiksaannya.

Difahamkan, setakat ini lima beradik terbabit masih beragama Islam tetapi dikhuatiri menukar agama jika waris atau penjaga mengarahkan mereka berbuat demikian kerana hak menentukan agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun terletak di tangan waris.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bapahantarlimaberadikkerumahamalgereja/Article/artikelMA

Thursday, May 19, 2011

Hina Sangatkah Sekolah Agama Rakyat wahai Mashitah..???

Minda: Kemampuan dipersoal
Dr Mashitah Ibrahim

KIRA-KIRA 10 tahun lalu, seorang pelajar sekolah agama di Kelantan dipukul gurunya kerana kesalahan kecil. Muhammad Jamaluddin, berusia 14 tahun ketika itu ditempeleng dan ditendang sebelum kepalanya dihentak dengan kerusi. Dia dikejarkan ke hospital dan kulit kepalanya terpaksa dijahit.

Kes Saiful Syazani Saifu Sopfidee pula lebih tragis. Murid berusia tujuh tahun ini meninggal dunia April lalu akibat dipukul dan didera gurunya yang kini menunggu hukuman mahkamah. Dia murid Sekolah Rendah Islam Al-Furqan di Perlis, salah satu daripada ratusan sekolah agama persendirian.

Ini adalah antara banyak kes penderaan yang kita dengar berlaku di sekolah sebegini, selain kekerapan berlakunya kebakaran dan kehilangan nyawa. Kita masih ingat kebakaran sekolah di Yan, Kedah pada 1987 yang meragut nyawa 20 murid.

Berikutan itu, beberapa pihak menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pengendalian sekolah agama persendirian. Yang perlu dikaji bukan saja soal keganasan dan keselamatan murid, tapi juga kelayakan dan tahap kemahiran guru, kurikulum dan perkara yang diajar kepada murid, serta prestasi sekolah. Saya sendiri menyokong cadangan ini demi masa depan pelajar dan kepentingan masyarakat.


Saya masih ingat betapa kecohnya ketika kerajaan membuat keputusan memberhentikan bantuan per kapita kepada sekolah agama rakyat (SAR) sekitar 2003. Ada pihak menjaja isu ini sampai langit hampir runtuh hingga kerajaan dituduh anti-Islam.


Pihak berkenaan juga beriya-iya mempengaruhi Majlis Raja-Raja menyebelahinya, tapi apabila Raja-Raja Melayu tidak mempersetujuinya, pihak terbabit sanggup membuat pertemuan dengan kumpulan Dong Jiao Zhong yang terkenal sebagai kumpulan ultra-Cina dalam soal pendidikan.

Kerajaan kemudian mempelawa SAR diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan. Pihak berkenaan akhirnya akur kerana kelemahan sekolah agama persendirian begitu nyata.

Kajian meliputi 49 sekolah agama persendirian mendapati 90% guru tidak ada sijil perguruan. Sekitar 26% hanya ada Sijil Sekolah Menengah Agama atau SPM atau Empat Thanawi saja. Di kalangan pengetua pula, 47% tiada ijazah dan 57% tiada skim perkhidmatan yang jelas. Lebih 90% sekolah agama rakyat tiada makmal sains, 68% tiada padang, 45% berkeadaan daif dengan bilik darjah kecil dan 25% tiada perpustakaan.

Mungkin ada yang mendakwa sekolah agama persendirian kini ada yang dimodenkan, tapi hakikatnya sekian ramai murid Melayu-Islam masih berada dalam satu sistem pendidikan jumud, di luar pentadbiran Kementerian Pelajaran.

Pengajian sains dan teknologi, bahasa peradaban dan ilmu semasa tidak digalakkan atas alasan ia sekular, sedangkan dalam masa sama ramai anak-anak pihak yang menentang kerajaan menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dan luar negara mengambil pelbagai kursus yang tiada kaitan dengan pengajian al-Quran, syariah atau perundangan Islam.

Kita tidak sepatutnya bersubahat dengan mana-mana institusi pendidikan yang menyalahgunakan agama, apatah lagi yang tidak menghiraukan kebajikan dan pencapaian pelajar mereka. Kita memahami bahawa di peringkat awal dulu, keperluan pendidikan masyarakat Melayu adalah terbatas. Sebilangan kecil saja dapat melanjutkan pelajaran. Di zaman penjajah, orang biasa hantar anak ke sekolah Melayu yang terhad bilangannya manakala pembesar menghantar anak ke sekolah Inggeris.

Ada juga yang hantar anak ke sekolah pondok yang popular di kalangan penduduk Melayu luar bandar. Tetapi tidak ramai yang boleh berbuat begitu. Graduan sekolah pondok adalah daripada keluarga berada, sebab itu mereka boleh sambung pelajaran ke Mesir atau Makkah.

Lazimnya mereka buka pondok. Mereka digelar tok guru dan dihormati. Graduan yang tidak ke Timur Tengah akan pulang ke kampung sebagai tok lebai mengajar al-Quran atau mengetuai upacara keagamaan seperti tahlil dan urusan jenazah.

Dalam masyarakat tani yang miskin dan buta huruf sebelum merdeka, peranan tok guru dan tok lebai hanya mengajar al-Quran dan keperluan hukum-hakam. Mereka tidak peduli soal migrasi kaum pendatang ke Tanah Melayu, eksploitasi kekayaan negara oleh penjajah atau kemerdekaan tanah air.

Kesedaran ini ada pada graduan yang pulang dari Timur Tengah dan mendapat percikan kebangkitan Islam dipelopori Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh. Mereka tidak digelar tok guru, tidak buka pondok malah lebih tertumpu kepada gerakan kemerdekaan negara dan pembaharuan bangsa.

Selepas merdeka, pencapaian masyarakat Melayu dalam bidang ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan perumahan sangat banyak dan kompleks. Malaysia maju dalam pelbagai aspek. Dalam sebuah negara semakin maju seperti Malaysia, kebolehan bertahlil dan mengajar fardu ain saja tidak cukup untuk mencapai kemajuan dan menghadapi cabaran.

Tanpa berniat memperlekeh keupayaan mereka, hakikatnya tok guru dan lebai yang lahir daripada sistem pendidikan persendirian yang menentang kerajaan tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah penurunan mata wang akibat kemelesetan ekonomi atau mengurus negara di tengah kemelut politik nasional dan global.

Umat Islam tidak akan dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan membentuk acuannya yang maju dengan sekadar keupayaan tok guru dan tok lebai. Mereka mesti menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan masyarakat kepada bimbingan dan petunjuk agama.

Tugas dan peranan ulama memang besar, terutama dalam membimbing masyarakat dalam soal agama dan kehidupan. Justeru, mereka perlu hadapi cabaran ini dengan penuh kesedaran. Mereka sewajarnya melengkapkan diri dalam pelbagai bidang ilmu agar dapat memberi pandangan dan bimbingan berkesan dan dinamik agar dapat membantu membina semula tamadun Islam.

Hakikatnya, tidak ramai ulama yang antikerajaan sanggup terima cabaran ini atau sanggup membina kekuatan ilmiah dan keintelektualan. Oleh itu, mereka tidak mampu memberi bimbingan, pandangan atau panduan yang dinamik. Mereka menjadi tidak relevan dalam menghadapi cabaran semasa dan global. Ketiadaan keupayaan ini menyebabkan mereka kembali kepada peranan lama. Mereka lebih cenderung menghadapi kemelut kehidupan zaman ini dengan doa dan wirid semata-mata daripada mendalami pengetahuan Islam.

Hari ini, usaha pihak berkenaan mengembalikan pengajian Islam dan membentuk minda masyarakat Islam supaya kembali ke zaman pendidikan jumud adalah satu malapetaka kepada masyarakat Islam. Jika begini, bagaimana generasi akan datang akan menghadapi cabaran baru serba canggih?

Pihak terbabit sepatutnya mempelajari tuntutan al-Quran dan memahami petunjuk dinamiknya dan bergerak dengan kebenaran. Minda quranik tidak bersifat putus asa. Ia tidak menarik masyarakat ke belakang semata-mata kerana tidak mampu melengkapkan diri dengan kekuatan baru.

Al-Quran sentiasa relevan. Justeru, petunjuknya mengenai ilmu, bukan hanya ilmu hafalan al-Quran dan ilmu berkaitan hukum yang ditekankan. Lebih jauh ialah ilmu sains dan teknologi, kejuruteraan, perubatan, teknologi maklumat, geografi, astronomi dan sebagainya.

Pakar dalam ilmu ini tidak harus berasa bersalah kerana kurang pengetahuan dalam bidang syariah. Mereka tidak harus melepaskan rasa bersalah itu kepada anak-anak dengan menghantar mereka ke pusat asuhan atau sekolah persendirian yang tidak sealiran dengan kerajaan dan meminggirkan mereka daripada arus pendidikan negara. Anak-anak akan menjadi mangsa kepada kelemahan dan kepincangan pendidikan yang dicipta oleh khayalan individu mengenai pendidikan Islam mithali.

Sebaliknya, kekurangan mereka dalam bidang Islam kerana mengambil jurusan profesional ditampung dengan berkhidmat secara jujur di lapangan mereka bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah dan menjadikan kerja mereka di lapangan sebagai ibadah. Peluang anak-anak belajar mesti dibuka luas. Tindakan menutup peluang mereka belajar adalah satu penganiayaan.

Sebenarnya masyarakat Islam kita tidak perlu bergantung kepada sekolah persendirian yang bercanggah dengan sistem dianjurkan kerajaan untuk mendapat pendidikan Islam. Sekolah kebangsaan mampu memberi pendidikan bermutu dan seimbang di antara tuntutan fardu kifayah dan fardu ain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Kemampuandipersoal/Article/index_html

Saturday, March 19, 2011

Negeri Pakatan Rakyat antara negeri yang terbaik terima pelaburan tertinggi..

Selangor terima pelaburan tertinggi RM46.2b
Oleh Micheal Sering
am@metro.com.my

KUCHING: Statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mendapati Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan Sarawak menerima pelaburan tertinggi di negara ini dari 2006 hingga Januari lalu.

Selangor dalam tempoh itu mencatatkan pelaburan keseluruhan tertinggi sebanyak RM46.2 bilion, Johor (RM42.8 bilion), Pulau Pinang (RM35.2 bilion), Kedah (RM30 bilion) dan Sarawak (RM29.5 bilion).

Dari segi projek pelaburan asing pula, Johor mencatatkan kemasukan pelaburan asing tertinggi sebanyak RM27.1 bilion, Selangor (RM24.7 bilion), Pulau Pinang (RM24 bilion), Sarawak (RM23.1 bilion) dan Kedah (RM13 bilion).

Pada masa sama, Selangor mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 131,661, Johor (93,633), Pulau Pinang (75,825), Sarawak (25,782) dan Kedah (24,403).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan ketika mengumumkan statistik itu berkata, sebanyak 43 projek membabitkan pelaburan RM3.95 bilion diluluskan bagi Sarawak tahun lalu.

“Daripada RM3.95 bilion pelaburan di negeri ini pada tahun lalu, sebanyak RM3.55 bilion adalah pelaburan asing manakala selebihnya pelaburan domestik. Projek pelaburan itu dijangka mewujudkan 7,083 peluang pekerjaan,” katanya pada di pejabat Miti, semalam.

Saturday, March 5, 2011

Mahkamah dapati ADUN UMNO Lenggeng RASUAH.. tapi kenapa jatuh hukum 1 April 2011.. ini jawapannya..

Adun BN dari Lenggeng bersalah terima suapan kontraktor pasir RM2,000

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhZVg2-kxlb57GY1IUFOWj5CbXwOk3x20MhuQDcWkIWMLrWsWLhYW2Zpufx6gau_fjRyzgEMf1yaQE5rtnVs7Jge6zgiRVUeTcpb6q8zlGpQQE3W5zp-6Y4dgLU2ayZvMsTaRYqZGDbGVw/s320/UMNO+RASUAH.jpg
SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Mustafa Salim didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menerima suapan daripada seorang kontraktor berkaitan surat sokongan permit menjual pasir, dua tahun lalu.

Mustafa, 53, yang memakai kot hitam, bagaimanapun tenang apabila keputusan itu dibacakan Hakim Amran Jantan.

Dia yang dilantik sebagai Adun Lenggeng pada 2008 didapati bersalah menerima rasuah RM2,000 daripada M Manimaran, 38, di Restoran Jabrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin, Seremban, kira-kira jam 5 petang, 31 Ogos 2008.

Wang berkenaan didakwa diterima Mustafa sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 (a) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Namun, Mustafa dibebaskan atas dua pertuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000.

Perbuatan itu masing-masing dilakukan di Lot 1321, Mukim Pantai dan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Dato’ Kelana Makmur, di sini, pada 28 dan 30 Ogos 2008.


Amran dalam penghakimannya berkata, melalui keterangan bersumpah, tertuduh mendakwa tidak menerima atau meminta wang berkenaan daripada pengadu.

“Seorang saksi pendakwaan iaitu anggota SPRM yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun mendengar perbualan mereka berkaitan surat sokongan mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk.

“Selain itu, tertuduh mendakwa tidak mengambil dan hanya mengusik wang berkenaan dalam satu sampul surat di atas meja dan memberitahu dia tidak selesa dengan tindakan pengadu terbabit.


“Namun, satu rakaman video oleh SPRM menunjukkan tertuduh masih duduk di situ dan dilihat berbual sambil menghisap rokok,” katanya.

Mahkamah menetapkan tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh pada 1 April depan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.

JAWAPAN : PUNCANYA ADALAH 1 APRIL 2011 ADALAH TARIKH CUKUPNYA TEMPOH 3 TAHUN USIA PARLIMEN DAN BILA DAH BERUSIA 3 TAHUN MAKA SETIAP PILIHANRAYA KECIL TIDAK PAYAH DILAKUKAN LAGI KERANA DALAM TEMPOH NAK CUKUP 5 TAHUN INI PM ADA HAK BOLEH MELAKUKAN PILIHANRAYA UMUM BILA-BILA MASA.. JADI DEPA TAKUT DAH NAK BUAT PILIHANRAYA MAKA DEPA BAWA TARIK KE 1 APRIL 2011.. DALAM ERTI KATA RAKYAT MALAYSIA KENA APRIL FOOL LAA

Friday, March 4, 2011

Jika TUNISIA jatuh Kerana "PENJUAL SAYUQ" adakah MALAYSIA juga akan jatuh dek kerana "PENJUAL BURGER"

‘Susah nak cari makan’
Oleh Norasikin Daineh dan Shuhada Mansor
am@hmetro.com.my

MAHAL...harga daging meningkat mendadak.
MAHAL...harga daging meningkat mendadak.

KUALA LUMPUR: “Harga minyak naik, harga barang pun naik, susah peniaga nak cari makan,” keluh peniaga burger, Asraf Ahmad, 24 berikutan kenaikan beberapa harga barang yang memberikan kesan kepada perniagaan yang diusahakannya di sini.

Katanya, harga sedozen roti burger yang dibelinya sebelum ini RM9, namun baru-baru ini ia naik sehingga RM12.80 sedozen.

“Selain itu, harga sos, mayonis dan kicap turut mengalami kenaikan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di sini mendapati beberapa barang kegunaan harian mengalami kenaikan harga, malah ada beberapa barang makanan utama mengalami peningkatan harga sehingga menyebabkan peniaga serba salah untuk menaikkan harga.

Kenaikan itu dakwa mereka kerana harga ditawarkan pemborong amat tinggi berbanding harga sebelumnya.

“Payah sebab kami nak jaga pelanggan, tapi harga daging naik pula,” kata Kamarulzaman Ghazali, 55, yang kini berada dalam dilema untuk menaikkan harga daging dalam pasaran.

Menurut Kamarulzaman, harga borong bagi sekilogram daging tempatan RM18 dan harga daging import antara RM12 hingga RM13, namun berlaku perubahan harga yang mendadak baru-baru ini.

“Harga baru kami terima dari pemborong semalam RM24.50 bermakna harga daging tempatan naik RM6.50,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kenaikan harga barang membebankan mereka. Menurut Rafei Jamil, 32, harga makanan mentah utama tidak perlu dinaikkan kerana ia akan membebankan.

“Sepatutnya harga makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan tidak perlu naik kerana harga sekarang pun membebankan,” katanya.

Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketika mengulas isu kenaikan harga barangan, berkata keadaan ini sukar untuk dikawal memandangkan sifat tamak sesetengah peniaga yang mengaut keuntungan mudah menaikkan harga barang sesuka hati.

Katanya, sifat tamak peniaga sukar untuk dikikis memandangkan mereka tahu pembeli pasti akan membeli barangan keperluan harian berkenaan.

Menurutnya, bagi menangani masalah ini pengguna mempunyai hak bagi membasmi penularan kenaikan harga barang.[Harian Metro]

Wednesday, February 9, 2011

AWAS..BERBOGEL kerana dadah...

[HM] KUALA LUMPUR: Tindakan seorang wanita warga Afrika berbogel dan berjoget di tepi jalan raya di Cheras di sini, kelmarin dipercayai bukan disebabkan gangguan mental secara semula jadi, sebaliknya ia kesan sampingan selepas satu daripada puluhan bungkusan kecil dadah ditelannya, pecah dalam perut.

Sumber polis berkata, perkara itu terbongkar selepas hospital membuat imbasan X-ray pada bahagian perut wanita terbabit yang kelihatan agak buncit.

Berikutan itu, polis percaya wanita terbabit ‘keldai dadah’ digunakan sindiket penyeludupan dadah ke negara ini dan dia menelan puluhan bungkusan sebesar ibu jari mengandungi dadah jenis heroin bertujuan menyoroknya daripada dikesan pihak berkuasa.

“Besar kemungkinan satu daripada bungkusan dadah berkenaan terpecah atau bocor di dalam perut wanita itu menyebabkan dia menjadi tidak siuman dan hilang kawalan diri,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam, wanita terbabit yang dirujuk ke Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (PPHUKM) bagaimanapun masih dalam keadaan tidak siuman dan gagal memberi kerjasama ketika keterangannya hendak diambil.

“Setakat ini, hospital memberikan ubat khas bagi membolehkan suspek mengeluarkan bungkusan dadah itu daripada perutnya. Proses mengeluarkan dadah berkenaan masih dilakukan sehingga petang ini (semalam) dan jumlah sebenar dadah dalam perut wanita terbabit juga tidak diketahui,” katanya.

Difahamkan, sehingga petang semalam, lebih 10 bungkusan plastik kecil dadah dikeluarkan dan bakal dihantar ke Jabatan Kimia bagi menentukan jenis dadah berkenaan dan beratnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang yang dihubungi mengesahkan penemuan dadah berkenaan, namun enggan mengulas lanjut berikutan belum mendapat laporan penuh berhubung identiti wanita terbabit.

Menurutnya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada wanita Afrika berkenaan, namun polis meminta bantuan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti identitinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin, wanita berusia 20-an itu mencetuskan kegemparan apabila muncul dalam keadaan telanjang bulat sebelum berjoget dan menjerit-jerit di bahu jalan berhampiran persimpangan Taman Cheras menuju Jalan Lingkaran Tengah II, di sini.

Selepas kira-kira 15 minit dipujuk anggota polis dan orang awam, baru dia bersetuju memakai pakaiannya semula sebelum dibawa menaiki kereta peronda polis untuk dihantar ke PPHUKM bagi pemeriksaan kesihatan.

http://kafesantai.blogspot.com