Monday, February 28, 2011

Awas..!! 45Ribu warga asing nak masuk Malaysia secara halal

Kerajaan lulus kemasukan 45,000 pekerja asing

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Kerajaan bersetuju meluluskan kemasukan 45,000 pekerja asing, kebanyakannya dari India, bagi memenuhi permintaan 13 sektor perniagaan kecil di negara ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam hari ini.

Beliau berkata kelulusan itu dibuat selepas kerajaan melihat masalah dihadapi sektor berkenaan seperti restoran, kedai runcit, dan industri tekstil yang kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.

“Mereka telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan pihak saya melalui Gabungan Dewan Perusahaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) di mana mereka minta kerajaan meluluskan 90,000 pekerja asing.

“Tapi selepas berbincang, buat sementara waktu ini kerajaan bersetuju untuk meluluskan kemasukan 45,000 pekerja,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Wisma Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) oleh bekas presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu di sini.

Subramaniam berkata pekerja itu akan diagihkan mengikut 13 sektor perniagaan itu yang dijangka dibuat dalam tempoh sebulan.

Wisma Primas enam tingkat di Jalan Dato’ Haji Eusoff di sini, telah diubahsuai dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana yang menelan kos RM3 juta.

Selain menjadi pusat pengurusan untuk pembangunan persatuan itu, wisma tersebut turut menempatkan Pusat Latihan Kemahiran Primas untuk melatih pekerja-pekerja restoran dari persatuan itu. — Bernama

No comments:

Post a Comment