Ketika Malaysia sibuk dengan air mani Mr. Y, bulu dan tuala Good Morning, dunia Arab sedang menyaksikan kebangkitan. Rakyat bersatu dan mengharap sinar baharu menyinari tanah air yang tercinta. Angin yang bertiup telah membawa khabar gembira untuk mereka. Dari Sahara yang kontang, mula bercambah benih-benih demokrasi yang dibajai semangat, keberanian dan kesanggupan untuk berubah. Ketika dunia Arab menyaksikan perubahan mentaliti dan fizikal yang hebat, Malaysia masih jauh ketinggalan dan sibuk dengan urusan liwat dan dubur Saiful yang katanya tidak dicuci selama tiga hari!
"Revolusi tidak pernah gagal kerana tidak ada revolusi yang menghancurkan negara. Negara hancur hanya apabila rakyat hilang kesanggupan untuk memastikan ia ditadbir dengan baik melalui prinsip kebebasan dan keadilan," Mantan Mejar Jeneral tentera Filipina, Jose T. Almonte. Kata-kata ini saya petik dari tulisan Amin Ahmad dalam JalanTelawi.com. Secara peribadi saya berpendapat bahawa revolusi di Timur Tengah ini sangat menggusarkan kerajaan pimpinan Najib Razak disebabkan kepemimpinan beliau langsung tidak mencerminkan integriti dan akauntabiliti. Pembaziran berlaku sewenangnya dan Malaysia tidak ditadbir dengan baik.
Lihat sahajalah bagaimana manusia yang terpalit dengan najis rasuah seperti Isa Samad boleh dilantik sebagai Pengerusi FELDA manakala pendedahan kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya tidak mendapat respon SPRM seperti yang sepatutnya. Adakah Najib terfikir bahawa hati rakyat Malaysia masih lunak dengan pengukuhan nilai ringgit kemudian menyuapkan lagi peruntukan-peruntukan tertentu dalam Belanjawan 2011 yang lalu? Peruntukan RM114 juta kepada pembangunan infrastruktur di Kelantan misalnya dilihat cuma gula-gula politik. Akhirnya yang untung adalah kroni yang mendapat projek.
Telahan Anwar Ibrahim (gambar kiri, tengah) bahawa revolusi di Tunisia sebagai keping domino pertama telah dan sedang menjadi kenyataan. Kebangkitan hampir menyeluruh rakyat di negara-negara Arab pada saat ini seperti sudah tidak tertahankan lagi. Kebejatan pemimpin sudah mencapai klimaksnya. Mereka telah lama berada dalam cengkaman pemerintah yang zalim dan bersifat otoritarian. Dari pengamatan yang dibuat, isunya tetap sama; salah guna kuasa, kemiskinan, penggangguran, sekatan hak bersuara, penyelewengan harta negara, kronisme dan pencabulan hak asasi manusia. Soalan saya, apakah isu-isu tersebut begitu asing dengan Malaysia?
Selesainya urusan terpenting: Kejayaan Revolusi!
Sekali imbas, dunia boleh mengatakan urusan "terpenting" rakyat di Tunisia dan Mesir telah hampir selesai. Kemenangan kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir semestinya memberi solidariti moral dan motivasi kepada tempat-tempat lain. Kini, Bahrain yang pernah menjadi taklukan Empayar Parsi dan pernah berada di bawah jajahan British pula menyaksikan bagaimana rakyat sedang bangkit untuk menggulingkan pentadbiran monarki keluarga al-Khalifa. Jabal ad-Duklan bakal menjadi saksi kebangkitan rakyat Bahrain! Benar kata pujangga Melayu; Raja adil raja disembah, Raja zalim raja disanggah.
Begitu juga apa yang berlaku di Libya. Bumi Umar Mokhtar ini telah menyaksikan lebih 400 rakyat Libya menjadi syahid atas keberahian Muamar Ghadafi (gambar kanan) yang telah memegang tampuk pemerintahan lebih empat dekad lamanya. Rakyat Libya diugut sedemikian rupa dan menjanjikan maut untuk penentangnya. Semua ini merupakan sebuah fenomena yang dahsyat dan menakutkan sesetengah pihak. Menurut Anwar dalam tulisannya di Wall Street Journal bertarikh 26 Januari 2011; apa yang berlaku di Tunisia merupakan fajar baru bagi demokrasi di dunia Arab dan Islam.
Melihat perkembangan di Tripoli. Ghaddafi berucap penuh emosi sambil melaungkan sentimen patrotisme, penuh ego dan dilihat desperado. Beliau meletakkan penentang beliau sebagai pengkhianat negara manakala anaknya Saif al-Islam menuduh protes besar-besaran ini berpunca dari pihak asing untuk menjatuhkan pemerintahan Islam. Saif juga mengancam untuk memerangi penentang sehingga peluru yang terakhir!
Di sini kita dapat melihat hikmah terbesar kebangkitan yang berlangsung di dunia Arab. Semakin lama sesebuah kerajaan itu memerintah, semakin banyak penyelewengan dan penindasan berlaku terhadap rakyat dan negara. Akhirnya, rejim tersebut dijatuhkan oleh tangan-tangan rakyatnya sendiri. Semakin rakyat ditekan dan ditakut-takutkan, semakin mereka bangkit menuntut pembebasan! Saya ingin bersoal, apakah BN mengambil pengajaran dari situasi ini? Apakah BN masih tidak sedar bahawa semakin lama mereka memerintah, harta negara semakin dikikis, salah guna kuasa semakin berleluasa, integriti terhakis, malah kebebasan bersuara juga dirasakan semakin sempit?
Penyelewengan nilai dan makna patriotisme
Saya tertarik dengan apa yang telah diucapkan Ghadafi dan anaknya Saif. Kata-kata sebegini seperti selalu sahaja kita dengari. Lihatlah apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional. UMNO sebagai tulang belakang BN sering sahaja menuduh Anwar Ibrahim dan PKR sebagai pengkhianat negara dan agen asing. PAS pula dicop sebagai pemecah belah "orang Melayu" dan Islam, manakala DAP dianggap sebagai golongan yang memusuhi Islam - Perjuangan parti-parti ini harus ditolak kerana ia berbahaya dan akan memporak-perandakan negara. "Teks" yang diulang saban waktu dan ketika ini adalah 100% tidakpun 99% sama seperti apa yang telah diucapkan oleh Ghaddafi.
Dalam konteks Malaysia, makna dan nilai patriotisme telah diseleweng dan disempitkan. Patriotisme telah dimaknakan seolah-olah mencintai tanah air itu dengan mencintai pemimpin, mencintai parti, mencintai kaum masing-masing. Maka, minda rakyat sedikit sebanyak telah menyimpang dari semangat dan makna patriotisme sebenar. Sepatutnya patriotisme sebenar bermaksud membebaskan tanah air ini dari cengkaman pemerintah yang zalim dan buas. Mengembalikan hak dan maruah negara yang telah lama cacat.
Demokrasi dan Revolusi di Malaysia?
Nilai dan semangat demokrasi telah lama pudar. Lihat sahaja laporan Economist Intelligence Unit yang mencatatkan status Malaysia dalam indeks demokrasi 2010 berada pada tangga ke 71 daripada 167 buah negara berbanding tangga ke 68 tahun 2008. Malaysia telah lama menanti saat baru kebangkitan rakyat. Sama ada melalui pilihanraya mahupun jalan raya, kemenangan rakyat harus difokuskan kepada pembaikan sistem demokrasi dan urus tadbir yang telah lama diperkosa. Kita tidak boleh membiarkan kekayaan negara ini berada dalam kawalan manusia tertentu sahaja. Kekayaan negara adalah hak milik kita yang harus dituntut. Lihat sahaja isu minyak yang semakin naik. Rakyat Malaysia dibebani dengan apa yang mereka ada yang sepatutnya bukan menjadi isu.
Ini merupakan sebuah soalan popular. Akankah Malaysia direvolusikan? Saya pernah bertanyakan soalan ini kepada beberapa orang sahabat saya. Ada yang sinis dan ada yang optimis. Antara lain jawapan mereka ialah tidak mungkin berlaku revolusi di Malaysia kerana rakyat di Malaysia tidak terlalu tertekan seperti di tempat lain. Ada yang berkata mungkin boleh; mungkin tidak kerana rakyat Malaysia telah dipecahkan dengan beberapa kumpulan kaum dan kelas manakala ada pula yang optimis bahawa rakyat akan turun ke jalan raya; cuma menunggu masa. Sambil berlawak beliau berkata, "Orang Melayu khususnya telah lama diArabkan...sedikit masa lagi negara ini akan jadi negara Arab! Revolusi akan bermula di Ain Arabia Bukit Bintang!" Ujarnya tersengih. Apapun pendapat yang dilontarkan, kita boleh simpulkan bahawa revolusi adalah tekad dan kesungguhan, keberanian dan kesanggupan untuk berubah.
Semangat Dataran Tinanmen dan Mahasiswa Malaysia
Kebangkitan mahasiswa memberi makna besar bagi sesebuah negara. Kebangkitan mahasiswa bererti mungkin atau telah berlaku sebuah anjakan mahupun revolusi minda. Minda yang telah direvolusikan beerti pencerahan, pemahaman dan pengukuhan nilai telah berlangsung.
Mari kita imbau kembali apa yang telah pada April 1989. Dataran Tiananmen di Beijing menyaksikan kebangkitan lebih 100,000 mahasiswa dan golongan intelektual bersama rakyat menuntut pembaharuan demokrasi di China. Kebangkitan ini tercetus akibat kematian Hu Yaobang; Setiausaha Agung Parti Komunis China ketika itu yang dikenali sebagai susuk yang menyokong reformasi politik dan ekonomi China. Mereka berhimpun secara aman di dataran tersebut selama hampir tujuh minggu sehinggalah tragedi berdarah berlaku. Sehingga saat ini, tiada angka kematian rasmi yang dicatatkan dan dipercayai ribuan demonstran telah terbunuh. Saya terkesan dengan keberanian mereka. Ternyata perjuangan mereka ini sedikit sebanyak membuka lembaran baru dalam liberalisasi politik dan ekonomi di China.
Apabila pintu bangunan pejabat TNC UPM pecah dirempuh pelajar; ia membawa erti yang sangat besar kepada gerakan mahasiswa keseluruhannya. Tekanan yang diberikan pentadbiran universiti bukan semata-mata bersifat mental malah fizikal. Titisan darah yang mengalir adalah saksi kezaliman pentadbiran universiti dalam mengekalkan monopoli kekuasaan mereka. Gerakan pelajar dilihat sebagai gerakan pembangkang yang harus disekat manakala gerakan pelajar Pro Aspirasi pula dilihat sebagai memenuhi tuntutan pentadbiran? Ini merupakan pencabulan asasi kepada mahasiswa. Ke manakah hilangnya kewarasan dan kebijakan pentadbiran universiti? Mungkinkah juga berada dalam seluar dalam Saiful Bukhari Azlan?
Rakyat perlu berbangga dalam kejayaan besar gerakan Pro Mahasiswa memenangi pilihanraya kampus di universiti-universiti utama. Kemenangan ini merupakan gelombang awal saat-saat kebangkitan rakyat. Kita belum lagi menyaksikan malah menanti bagaimana, bentuk dan rupa perubahan yang bakal terhasil.
Mahasiswa harus bertindak sebagai agen perubahan pada minda dan struktur masyarakat umumnya. Kurang pendedahan terhadap isu-kekangan kebebasan bersuara dan malas berfikir merupakan barah kepada masyarakat kita hari ini. Masyarakat harus disedarkan-dan ramai yang mula sedar. Peranan mahasiswa haruslah menyeluruh dan mampu mendidik masyarakat untuk Malaysia yang diidamkan. Tanyalah sama pokok apa sebab goyang....Tanyalah sama hati kenapa kita harus menang!
*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.
No comments:
Post a Comment