Wednesday, February 23, 2011

Baguih KEDA..buat banyak-banyak lagik..

Keda bina 900 rumah keluarga miskin


AHMAD Bashah Md. Hanipah (kanan) bersama William Toh (tiga dari kiri) meletakkan bata sebagai simbolik perasmian majlis pecah tanah program bantuan rumah di Desa Keda Nagalilit, Padang Serai, baru-baru ini.

PADANG SERAI 23 Feb. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) akan membina 900 unit rumah melibatkan peruntukan RM2.9 juta untuk membantu golongan miskin dan memerlukan di negeri ini, sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pembinaan rumah tersebut melibatkan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) dan Skim Program Kesejahteraan Rakyat (SPKK) serta sumbangan badan korporat.

Katanya, usaha berkenaan diambil bagi memastikan kadar kemiskinan di negeri itu dapat diturunkan ke tahap minimum di samping memastikan rakyat menikmati kualiti hidup lebih baik pada masa akan datang.

"Kita telah menyasarkan untuk menurunkan paras kemiskinan di kalangan rakyat negeri ini ke tahap lebih rendah selari dengan hasrat Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Antara usaha yang diambil ialah membantu meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi skim pemilikan rumah serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pecah tanah bagi membina 20 unit rumah bernilai RM660,000 sumbangan Yayasan British American Tobacco (BAT) Malaysia di bawah program SPKK, di Desa Keda Nagalilit, dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar Keda, Datuk Mohd. Arpan Shari; Pengerusi Yayasan BAT, Willam Toh dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud.

Menurut Ahmad Bashah, Keda akan memberikan keutamaan kepada penduduk di luar bandar terutama di kalangan kurang mampu atau mendiami rumah yang uzur untuk memiliki rumah sendiri.

"Selain itu, kita juga boleh mempertimbangkan bantuan pembinaan rumah baru kepada penduduk memiliki tanah sama ada sendiri ataupun atas kebenaran keluarga," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memuji kesungguhan pihak swasta seperti Yayasan BAT yang bersama- sama membantu kerajaan membela nasib rakyat termiskin.

No comments:

Post a Comment