Anugerah guru besar tiru Buku Jingga
JASIN, 1 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba meniru Buku Jingga Pakatan Rakyat, apabila berjanji memberi ganjaran Anugerah Tawaran Baru serta-merta sebanyak RM7,500 seorang kepada 586 guru besar yang mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah.
"Pengumuman ini dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena pilihan raya kecil Merlimau dan pilihanraya umum akan datang," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pada sidang media Pakatan Rakyat di Markaz PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah, Merlimau dekat sini pagi ini.
Pemberian berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM18.4 juta di mana skim baru iitu sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara.
Seramai 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang, manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang.
Menurut Idris, keputusan itu dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena PRK Merlimau dan pilihan raya umum akan datang.
Katanya, Muhyiddin adalah orang yang paling lantang mengkritik PR mengenai janji 100 hari PR dalam Buku Jingga yang akan memberi RM500 sebulan elaun khas kepada guru-guru sehingga mengatakan bahawa ia akan membawa implikasi kewangan negara dan mencabar supaya negeri PR menaikkan gaji guru di negeri PR.
"Sedikit kelainan dengan janji 100 hari PR ialah melibatkan hampir 500,000 guru, sedangkan janji kerajaan BN hanya melibatkan sebahagian kecil komuniti guru-guru," tambahnya.
Beliau berkata, PAS merasa bangga idea yang baik itu sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan walaupun tidak secara keseluruhan.
"Rakyat akan beruntung sekiranya parti kerajaan mempunyai saingan yang kuat dalam politik. Maka sudah semestinya mereka akan mengikut rentak saingan mereka, contohnya anugerah kepada guru besar," katanya.
Idris berkata, pengundi yang terdiri dari pelbagai latar belakang di Dun Merlimau perlu mempunyai seorang wakil pembangkang yang kuat, barulah pembangunan akan mencurah-curah seperti di bandar-bandar besar yang diwakili pembangkang.
No comments:
Post a Comment