KULIM 24 Feb. - Bangunan-bangunan lama terutamanya milik kerajaan di sekitar bandar ini akan dibaik pulih bagi mewujudkan suasana lebih ceria.
Ahli Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Sulaiman Ibrahim berkata, usaha berkenaan akan digerakkan bersama MPKK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan penduduk bagi memulihkan kembali bangunan lama yang umpama 'hidup segan mati tak mahu'.
Pihak berkuasa, jelas beliau, sedang mengenal pasti bangunan lama tersebut supaya usaha baik pulih itu dapat dilakukan.
"Kita akan buat apa yang sepatutnya untuk memeriahkan kembali bandar ini yang penuh dengan bangunan-bangunan usang.
"Bagi bangunan milik kerajaan yang dikosongkan pula, kita boleh minta agensi terbabit serahkan kepada NGO ataupun persatuan penduduk untuk dijadikan pusat aktiviti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis gotong-royong membersihkan bangunan lama milik MPKK di Taman Seri Kulim, di sini, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Pegawai Perancang Bandar MPKK, Hamzah Abdul Halim dan Pengerusi Majlis Ketua Komuniti Taman Seri Kulim, Md. Yusuf Darus.
Lebih 50 penduduk taman perumahan tersebut menyertai gotong-royong yang diadakan bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, pekerja syarikat menguruskan sisa pepejal, E-Idaman Sdn. Bhd. dan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) Zon Taman Seri Kulim.
Menurut Sulaiman, langkah memulihara bangunan lama juga mampu mengekalkan warisan Kulim memandangkan ia merupakan antara bandar tertua di negara ini.
"Melalui langkah sebegini, warisan lama dapat dikekalkan di samping para penduduk mendapat manfaat kerana boleh menggunakannya sebagai pusat aktiviti setempat," jelasnya.
Beliau memberitahu, beberapa bangunan milik MPKK misalnya, telah diserahkan kepada persatuan penduduk untuk dijadikan pusat aktiviti masyarakat setempat.
Sementara itu, Md. Yusuf berkata, pihaknya menghargai usaha MPKK yang sudi memberi kebenaran kepada penduduk menggunakan bangunan terbabit untuk dijadikan pusat mesyuarat Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk.
"Kini pasukan SRS turut menggunakan kemudahan di sini untuk menjalankan rondaan setiap malam," jelasnya.
No comments:
Post a Comment