Thursday, February 24, 2011

Malu gelagat orang ramai kutip beras



PADA mulanya saya menyangka gambar orang yang mengutip beras dipaparkan di muka depan Utusan Malaysia semalam adalah gambar rakyat Libya yang berebut mengutip beras tersebut. Ini kerana tajuk utama di bahagian atas gambar tersebut mengenai apa yang sedang berlaku di Libya.

Sarapan pagi saya terhenti seketika apabila saya teringat bahawa makanan asasi rakyat Libya bukan beras. Mereka makan roti, kuskusi, makaroni atau spageti yang mana kesemuanya terbuat daripada gandum. Saya sangat terkejut apabila mengetahui bahawa gambar yang dipaparkan adalah peristiwa kemalangan yang berlaku di KM 394 Lebuh Raya Utara Selatan.

Saya malu melihat peristiwa tersebut. Perasaan mual saya timbul apabila memikirkan mereka yang memungut beras tersebut sudah tentu akan membawa ke rumah dan dimasak menjadi nasi kemudian dihidangkan dengan pelbagai lauk pauk yang sedap untuk dihidangkan kepada keluarga. Mereka merasakan nikmat makanan yang dihidangkan tersebut tanpa memikirkan penderitaan orang lain.

Saya tidak tahu apakah agama mereka yang memungut beras tersebut. Namun, saya rasa tiada satu agama pun yang membenarkan perbuatan seumpama itu. Bahkan akal yang sihat tidak dapat menerima cara seperti itu.

Kita selalu mengutuk dan membenci perbuatan mencuri, rasuah dan apa-apa cara yang dilakukan dengan cara tidak baik dalam mencari rezki. Adakah kita tidak melakukan perkara-perkara keji selama ini sebab kita tiada peluang? Dan apabila peluang untuk melakuknnya terbentang luas, kita melakukannya tanpa segan silu? Jadi, apa bezanya kita dengan mereka yang mencuri, merompak dan meragut dan mengamalkan rasuah?

Jika ada umat Islam yang terlibat dalam gerombolan yang memungut beras tersebut, saya mengetuk pintu hati mereka supaya merenung kembali (muhasabah) terhadap diri dan keimanan kita. Adakah kita hanya beriman kepada Allah SWT hanya sebagai Tuhan pencipta saja? Bukankan keimanan yang benar itu meyakini bahawa Allah SWT maha melihat dan maha mengetahui?

Jika iman kita kepada Allah SWT hanya terbatas kepada keyakinan bahawa Allah itu sebagai pencipta sahaja dan pada masa yang sama tiada keyakinan terhadap Allah dengan segala sifatnya yang terkandung dalam Asmaul Husna, maka apa bezanya kita dengan iblis yang dilaknat oleh Allah itu?

Ingatlah apa saja yang kita lakukan sama ada baik atau buruk walau sekecil mana sekalipun akan dibalas oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Az-zalzalah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah akan dia lihat dan terima balasannya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan walau sebesar zarah akan dia lihat dan terima balasannya". (Surah Al-zalzalah ayat 7 dan 8).

Saya mengajak saudara-saudara yang terlibat denga memungut beras tersebut agar bertaubat dengan memulangkan kepada pemiliknya.

ISMAIL HASSAN BATU BARA

Kangar, Perlis

1 comment:

  1. Inilah wajah-wajah hodoh rakyat Malaysia yang kemaruk, kebulur dan tak tau malu. Komen saya seperti dalam blog saya:
    http://mycuteshoppe.blogspot.com/2011/02/inilah-wajah-kebulur-kemaruk-dan-tak_23.html

    ReplyDelete