Wednesday, February 23, 2011

Tidak kompromi atau lindungi perasuah!

Ditulis oleh AZAMIN AMIN

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Razak berkata beliau dan kerajaannya tidak akan sekali-kali berkompromi mahupun melindungi mana-mana pihak yang terbabit rasuah khususnya melibatkan pemimpin ataupun pegawai kerajaan negeri.

Baginya orang yang terlibat rasuah sama seperti mengambil hak rakyat untuk kepentingan peribadinya sekaligus menjejaskan pentadbiran serta menganiaya pihak lain.

Ustaz Azizan menyatakan bahawa sikap tegas dan menolak amalan rasuah selama ini, telah menampakkan kejayaan pentadbiran kejayaan kerajaan negeri selama tiga tahun ini terutama melibatkan perbelanjaan dan pengurusan kewangan.

"Selain sikap belanja secara berjimat cermat, saya amat yakin kejayaan itu adalah berpunca dari sikap pemimpin negeri yang menolak sama sekali amalan rasuah.

"Saya bersyukur kerana selama tiga tahun kita mentadbir kedah, belum ada lagi rekod mana-mana pemimpin, pegawai dan kakitangan Kerajaan di dakwa terlibat dengan penyakit rasuah ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan Dewan Himpunan Cina Kedah di Dewan Kurnia dekat sini, 11 Februari lalu.

Hadir sama ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato' Chor, Exco Kedah Tan Choo Kang, PresidenDewan Himpunan Cina Cheng Lai Hock, para exco, ahli parlimen dan wakil rakyat serta lebih 1,000 hadirin yang membanjiri sekitar kawasan dewan terbabit.

Ustaz Azizan mengulangi janjinya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, jika mereka terlibat dengan rasuah malah akan meminta pihak berkuasa dakwa dan hukum jika benar individu itu melakukan kesalahan.

Sementara itu, beliau merasa bangga dan gembira dengan kehadiran semua pihak di majlis itu sekaligus melambangkan satu perpaduan yang kukuh yang berjaya dikekalkan di negeri kedah ini.

No comments:

Post a Comment