Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Untuk kali ke lima belas selepas PRU 12, pilihanraya kecil (PRK) akan berlangsung lagi. Kali ini di Kerdau, Pahang, kawasan DUN di mana pengundi Melayunya hampir 90 peratus. Dalam kesemua PRK yang berlaku, undi Melayu terhadap Pakatan Rakyat tidak lebih baik dari PRU 12, kecuali di Kuala Terengganu. Manakala bagi pengundi bukan Melayu pula, khususnya kaum Cina, sokongan mereka terhadap Pakatan sama ada sama ada lebih baik dari PRU 12 atau bertahan, kecuali di Bagan Pinang.
Ada yang berpendapat PRK tidak boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar, kerana dalam PRU BN tidak mungkin dapat membuat penumpuan di setiap daerah mengundi seperti yang mereka lakukan dalam PRK. Ulasan dan alasan itu tidak lebih dari untuk ‘menyedapkan hati’ sebenarnya, kerana di pihak Pakatan pun mereka juga tidak boleh membuat penumpuan di setiap daerah mengundi seperti yang dilakukan dalam PRK. Bahkan amalan pilihanraya berat sebelah yang berlangsung lebih lama dari yang dialami rakyat Mesir, dijangka akan lebih memburukkan lagi sokongan terhadap Pakatan. Bagaimanapun itu hanyalah teori dan andaian.
Jadi mahu tidak mahu, para pemimpin Pakatan mestilah mengembelingkan pemikiran bagaimana untuk menarik sokongan Melayu secara lebih besar. Apa ramuan dan umpan paling efisien untuk menggerakkan gelombang?
Sama ada mahu diakui atau tidak BN, khususnya Umno, berjaya menarik kembali sokongan Melayu bermodalkan retorik perkauman dan umpan provokasinya ialah DAP. Rakyat dimomokkan bahawa DAP sebagai anti Melayu dalam setiap denyut nafas dan rencah fikir orang Melayu. Propaganda mereka tidak pernah padam barang sesaat. Macam rakyat Malaysia tahun 70an diberitahu perihal jahatnya Komunis oleh segenap siaran propaganda kerajaan.
Lebih sedekad lalu, kaum bukan Melayu umumnya takutkan PAS macam umumnya orang Melayu takutkan DAP hari ini. Namun tembok itu berjaya dipecahkan, bukan oleh DAP tetapi oleh PAS sendiri yang menyondol masyarakat Bukan Melayu dalam pelbagai pendekatan dan pengeksploitasian isu. Jika DAP tidak menyondol masyarakat Melayu (seperti sepatutnya) maka rakan Pakatan, KeADILan atau PAS mestilah membantu.
‘Buruknya’ imej DAP di kalangan orang Melayu banyak datangnya dari isu-isu yang dicetuskan di Pulau Pinang. Bagi setiap isu yang dimanipulasi oleh jentera propaganda Umno untuk membina persepsi bahawa ‘DAP anti Melayu’ maka masyarakat akan bertanya, “PAS buat apa?”. Maksudnya, PAS semacam tidak turut membela Melayu di Pulau Pinang.
Dalam bulan lalu di ruangan ini saya menasihatkan Kerajaan Pakatan Pulau Pinang supaya berhati-hati dalam tindakan, jangan beri ruang langsung untuk pihak musuh memanipulasi isu kononnya kerajaan DAP anti Melayu. Saya mengambil contoh bahawa tidak perlu seorang Setiausaha Politik Ketua Menteri turun padang melakukan kerja penguatkuasaan peraturan, kerana tindakan itu boleh dieksploit dan langsung tidak boleh menambah undi.
Malangnya hari ini isu yang hampir sama berulang lagi. Beberapa hari berturut-turut media-media talibarut BN mengutarakan laporan tindakan Majlis Perbandaran Seberang Perai merobohkan gerai-gerai haram. Mereka menyiarkan tindakan mangsa yang menyinga memaki hamun kerajaan negeri. Pihak yang terbabit mungkin tidak sampai sepuluh orang, tapi berjuta hati nurani rakyat Malaysia yang menyaksikan drama tersebut tersentuh dengan ‘kerakusan’ kerajaan Pakatan yang dipropagandakan itu. Hanya 10 gerai haram diroboh tapi media talibarut BN melaporkan 1,000.
Apabila Pakatan diberi peluang mentadbir negeri, agenda yang mesti jadi keutamaan ialah isu kebajikan dan pembelaan terhadap rakyat. Penguatkuasaan terhadap undang-undang dan peraturan ciptaan manusia adalah perkara nombor 10, kecuali ia benar-benar membawa kemudharatan segera jika tidak dilaksanakan segera.
Peniaga kedai makanan akan marah jika premisnya dirobohkan dan peralatan perniagaan disepahkan, sekalipun dia berniaga secara haram, kerana itulah sumber rezekinya. Mohamad Sabu bercerita kisah si pondan yang menengking polis kerana punggungnya ditendang. Baginya ‘periuk nasi’ mesti dihormati, sekalipun kerjanya terkutuk.
Peniaga sudah lama berniaga. Jika mahu bertegas, masanya ialah sebelum mereka baru mula melanggar undang-undang. Jika sudah kukuh binaan haramnya, cara bertindak tidak boleh begitu lagi. Macam mencegah anak haram, kena dibuat semasa atau sebelum mereka melakukan maksiat. Bila sudah termengandung, caranya bukan dengan memaksa mereka menggugurkan kandungan sekalipun kandungan itu haram.
Duit riba dari simpanan bank adalah haram. Sekalipun duit itu haram dimakan atau digunakan, Islam tidak menyuruh ia dibuang begitu saja. Ia boleh diserahkan ke baitulmal atau diguna membuat jalanraya atau tandas.
Apabila kita mahu berbahas hingga ke tahap teknikal, maka demikianlah mereka yang berniaga gerai haram. Dalam dunia betamadun, perbuatan meroboh dan mengusir tampaknya sangat hodoh dan zalim, meskipun yang terbabit cuma sebuah rumah usang. Notis dan undang-undang bukan jawapan kepada segala-galanya.
Mengapa tidak mereka dikumpulkan, berdailog dengan pihak kerajaan tempatan dan wakil rakyat sampai masak dan lumat, bincang pelan alternatif terlebih dahulu, buka ruang masa dan fikirkan penyelesaian yang paling minima kerugiannya. Baik kerugian yang ditanggung peniaga mahupun kerugian politik yang ditanggung parti pemerintah. Jangan roboh dulu baru fikir alternatif, hendak pindah ke mana.
Nah, akibat kerakusan bertindak, tak besar mana pun keuntungan yang kerajaan negeri dapat. Tapi ‘busuknya’ imej kerajaan Pakatan hingga satu Malaysia. Umno akan terus memukul canang, tengoklah bukti kerajaan ‘DAP anti Melayu’, walhal hanya empat gerai Melayu yang terbabit dan tindakan penguatkuasaan bukan berasaskan kaum pun. Masalah besarnya, semua media utama negara masih di bawah cengkaman kuku besi BN, sebab demokrasi di Malaysia masih dibayangi demokrasi Hosni Mubarak di zaman berkuasanya. Sementara Pakatan masih jadi mentimun dan bukan durian (dalam penguasaan media) maka pada sebilang masa, Pakatan kenalah berhati-hati.
No comments:
Post a Comment