Sunday, February 27, 2011

8,000 keluarga setinggan bakal dipindahkan di Bandaraya Alor Setar

ALOR SETAR - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sudah mengenal pasti 8,000 keluarga yang menduduki rumah setinggan sekitar bandar raya ini untuk dipindahkan ke rumah transit, sebelum ditempatkan di rumah mampu milik.

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din berkata, buat masa ini, pihaknya masih menjalankan bancian penduduk setinggan untuk melancarkan proses pemindahan untuk ditempatkan di rumah mampu milik yang dikategorikan mengikut pendapatan isi rumah.

“Projek khas ini adalah untuk mencapai sasaran setinggan sifar menjelang lima tahun akan datang. Kita sudah kenal pasti kampung terlibat antaranya Kampung Teluk Yan, Kampung Kilat dan beberapa penempatan yang berselerakan,” katanya.

Menurutnya, bancian perlu dibuat semula berikutan MBAS hanya merekodkan 2,800 keluarga setinggan yang didaftarkan.

“Kita sedang periksa semua rizab sungai, rizab jalan dan rizab Mada bagi memastikan tiada yang tercicir kelak daripada menerima bantuan rumah mampu milik ini,” katanya.

Khazali berkata, projek yang akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) itu akan membina rumah mampu milik yang akan dijual kepada penduduk terbabit dengan harga yang berpatutan.

“Mereka akan dipindahkan ke rumah transit di kawasan Sime Tyre buat sementara, mungkin dua tahun atau lebih, sehingga rumah mampu milik itu siap diduduki. Rumah berkenaan akan dibina atas tapak rumah lama mereka,” katanya.

Menurutnya, konsep yang diperkenalkan bukan sewa beli, sebaliknya dijual pada harga mampu milik yang dikategorikan mengikut tiga pendapatan isi rumah, iaitu bawah RM1,000, RM2,000 dan RM3,000.

“Kita akan pastikan rumah terbabit tidak dijual sewenang-wenangnya kepada mereka yang tidak layak. Sebab itu kita buat bancian dan akan rekodkan maklumat secara terperinci. Saya percaya tidak berlaku ketirisan dalam hal ini kerana ia dipantau ketat oleh MBAS,” katanya.

Khazali berkata, rumah berkenaan dibina dengan pelan asal tiga bilik dan dua bilik air untuk keselesaan penghuninya.

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengumumkan empat kampung terpilih untuk dibangunkan projek rumah mampu milik bagi membolehkan sasaran setinggan sifar dicapai.

PKNK dilantik sebagai Jawatankuasa Penyelaras bagi membolehkan rakyat Kedah memiliki rumah kos rendah yang mampu dimiliki.[Sinar Harian]

1 comment:

  1. elok hentikan saja rancangan ini,tunggu lepas PRU13,kalau masih PR bertahan baru laksanakan.
    nampaknya PR tak belajar apa yang terjadi pada BN akibat strategi dan rancangan seperti ini yang menyebabkan banyak isu akan timbul.
    sebatang tiang rumah tumbang,sebulan media akan putar belitkan isu.

    ReplyDelete