Wednesday, February 23, 2011

Bob Lokman - zaman getirmu, Tuhan Pun Tahu buat Afdlin menangis !


Getirnya hidup Bob Lokman. Jantan-jantan gua pun, boleh sebak leleh bro ! Secebis pengalaman pilu Bob Lokman diadaptasi dalam telemovie Tuhan Pun Tahu.


Skrip telemovie itu merupakan kisah benar hidup dia. Lirik lagu "Rendang Tak Berbuah" (klip video klik disini) itu juga dalam tafsir maksudnya. Hanya yang merasa perit yang tahu getarnya hidup yang didustakan.
"Ya, ibu pernah jatuh cinta,
tapi bukan dengan ayah,
ibu jatuh cinta dengan lirik ayah,
ayah... ibu bukanlah sehelai kertas,
ayah tidak boleh melayan cinta seperti helaian kertas,
ibu juga manusia biasa,
ayah tak perlu kesal, kita ada kenangan,
walaupun cinta antara kita tak kekal,
tapi anak-anak, merekalah buah cinta kita..."
SESUNGGUHNYA perpisahan amat menyakitkan. Berdepan krisis rumah tangga yang cukup memberi kesan mendalam terhadap hidup pengacara dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman hingga dia pernah hampir hilang arah dan derita sakit bertahun-tahun lamanya. Dialog di atas adalah ungkapan terakhir Bob sebelum melepaskan bekas isterinya dulu.

Biarpun dirinya ditinggalkan terkontang-kanting bersama anak-anak yang masih kecil, Bob tabah menghadapi dugaan. Dia tidak sesekali menyalahkan bekas isteri yang pernah dicintai itu, malah baginya, hanya Tuhan tahu apa yang tersurat dan tersirat di sebalik perpisahan yang mengundang seksaan itu.

Coretan hidup yang cukup menyayat hati itu jadi paparan drama Tuhan Pun Tahu arahan Jinggo terbitan JS Pictures untuk slot Cerekarama TV3 pada Maal Hijrah 2008. Ia dibintangi Afdlin Shauki, Sheila Rusly, Que Haidar, Kartina Aziz dan Normah Damanhuri. Cerita asal oleh Bob Lokman dan skripnya ditulis Nazli Jaafar.

Tuhan Pun Tahu bukan bertujuan untuk membuka pekung di dada, jauh sekali menjatuhkan air muka seseorang yang pernah bergelar isteri, sebaliknya ia sekadar pengajaran bermakna yang boleh dijadikan pedoman hidup. Kata orang, hidup tidak selalunya indah, ada kala diselangi suka dan duka.

Tajuk Tuhan Pun Tahu dipilih selepas meneliti skrip dan perjalanan ceritanya. Sheila melakonkan watak Ita, seorang gadis kampung yang mengagumi seorang penulis lirik terkenal, Lokman (Afdlin). Drama ini memaparkan empat peringkat iaitu bermula pertemuan Lokman dan Ita hingga menimbulkan bibit cinta, selepas berkahwin, dikurniakan dua cahaya mata dan krisis rumah tangga yang mengundang perpisahan.
"Perjalanan cerita Tuhan Pun Tahu adalah perkara tersirat. Setiap manusia bertindak atas sebab tertentu, begitu juga Ita. Biarpun dirinya dilimpahi kemewahan hidup tapi tanpa suaminya, Lokman sedari, dia sebenarnya gagal memberi perhatian dan limpahan kasih sayang. Wang bukan segala-galanya ketika itu.
Lagu "Rendang Tak Berbuah" nyanyian Hattan adalah 'kitab' bagi drama ini. Lalu wataknya diberi kepada Afdlin atas dasar dia adalah orang paling layak membawakan watak Lokman biarpun dia sudah tujuh tahun tidak berlakon drama. Afdlin dan Bob adalah teman rapat, dia faham dan tahu siapa Bob secara mendalam.

"Mulanya susah juga buat Afdlin yang kita tahu dia adalah pengarah, penerbit dan pelakon filem yang kembali ke layar TV, tetapi apabila membaca naskhah diberi, Afdlin jatuh cinta dengan jalan ceritanya. Apa yang berlaku adalah kisah hidup Bob bermula zaman kegemilangannya bersama Search pada 1989 hingga hari ini.

Afdlin menangis baca skrip

AFDLIN mengakui dia menitiskan air mata sebaik saja selesai pertama kali membaca skrip drama Tuhan Pun Tahu. Mungkin juga kerana kenal rapat dengan Bob dan mengetahui sejarah suka dukanya, hatinya turut terpalit pilu yang mendalam.

"Saya banyak berbincang dengan Bob dan perhatikan karektornya. Saya lihat Bob pelik orangnya, seorang yang lucu dan senang difahami. Mungkin orang nampak dirinya secara luaran, tapi ramai yang tahu apa terjadi padanya hingga mengundang derita bertahun-tahun.

"Saya hanya mengambil karektornya 60 peratus, saya ikut caranya bercakap dan ketawa. Sebab saya menjadi Bob dalam drama ini, tentunya sedikit sebanyak karektor mempengaruhi cara lakonan. Paling membuatkan saya sedih apabila Bob tidak menyalahkan bekas isterinya, dia juga memiliki kelemahan yang tidak disedari. Bob pun tahu kekurangannya iaitu panas baran," katanya.

Sementara itu, pengarahnya, Jinggo berkata, pertama kali bekerja dengan pelakon yang bergelar pengarah dan penerbit popular seperti Afdlin memberi pengalaman baru buatnya. Katanya, mungkin ada yang menganggap mengarah pelakon yang bergelar pengarah filem seperti Afdlin sukar tapi dirinya mengambil sikap positif.

"Saya seronok bekerja dengan Afdlin, dia tahu apa yang pengarah mahukan. Saya bersyukur Afdlin tahu dia bukan pengarah atau penerbit apabila melakonkan watak Lokman dan menghormati cara kerja saya.

"Afdlin mampu membawakan watak Bob dengan baik, begitu juga pelakon lain. Saya percaya dengan barisan pelakon yang bagus, sesebuah drama mahu memberi impak yang mendalam kepada penonton. Ini adalah drama saya yang paling cepat disiapkan iaitu dalam tempoh tujuh hari," katanya.

Jinggo berkata, dia juga mewakili JS Pictures mohon maaf pada Bob Lokman sekiranya drama Tuhan Pun Tahu sedikit sebanyak menyentuh perasaannya. Biarpun tujuh tahun sudah berlalu, kenangan itu mungkin masih terpahat dalam kotak memorinya. Go brother bob..!





No comments:

Post a Comment