Sunday, February 27, 2011

Najib nafi label Muslim Brotherhood pengganas

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak pernah melabelkan gerakan Ikhwan Muslimin (Muslim Brotherhood) dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai pengganas.

Perdana Menteri berkata sebaliknya gerakan itu perlu menghilangkan persepsi dunia terhadap mereka yang dianggap sebagai kumpulan ekstrem.

ikhwan muslimin"Saya tak kata Muslim Brotherhood ini kumpulan pengganas. Saya kata Muslim Brotherhood boleh ambil bahagian dalam pilihan raya dengan syarat menolak keganasan dan fahaman ekstremis, sebab ini (kumpulan pengganas adalah) pandangan umum terhadap Muslim Brotherhood, bukan pandangan saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Felda Jengka 25, di Temerloh hari ini.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak beliau menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Najib berkata gerakan itu perlulah menghormati undang-undang, proses demokrasi dan cintakan keamanan.

Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi"Kalau mereka (gerakan itu) kata, bahawa mereka tak ada ideologi sedemikian rupa (ekstrem), mereka nak ambil bahagian ikut proses undang-undang, menghormati proses demokrasi, cintakan keamanan. Kita (Malaysia) tak ada masalah untuk menerima mereka untuk bertanding dalam pilihan raya.

"Lagipun ini bukan keputusan saya, ini keputusan yang perlu dibuat oleh negara lain, negara masing-masing. Saya tak kata mereka ini golongan ekstremis atau pengganas. Soalnya, untuk mereka menghilangkan persepsi dunia terhadap kumpulan ni," kata Najib.

Nasharudin dan Anwar berkata demikian sebagai merujuk satu laporan berita yang disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan Najib di Istanbul, Turki baru-baru ini yang mendakwa bahawa parti politik Ikhwan Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

1 comment: