Thursday, February 17, 2011

Bantah kuota kerana bimbang tidak untung

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri mendakwa motif sebenar segelintir pemaju membantah kenaikan kuota perumahan untuk Melayu daripada 30 kepada 50 peratus sebagaimana disyaratkan sebelum ini, disebabkan bimbang tidak dapat mengaut keuntungan yang banyak daripada projek perumahan yang dilaksanakan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, tindakan Kerajaan Negeri menaikkan kuota perumahan Melayu adalah relevan dan tidak menafikan hak mana-mana kaum lain memandangkan pecahan komposisi kaum di Kedah menunjukkan kaum Cina dan India hanya mewakili 15 peratus, kaum-kaum lain 10 peratus manakala Melayu mewakili majoriti 75 peratus. 

Beliau juga menegaskan tidak nampak sebarang masalah untuk kaum bukan Melayu memiliki rumah di negeri ini sekalipun kuota perumahan Melayu disyaratkan sebanyak 50 peratus kerana peluang mereka memiliki rumah amat tinggi. 

“Kebanyakan tanah rizab Melayu di kawasan bandar yang mengalami proses ‘swapping’ untuk dibuat pembangunan perumahan kebiasaannya diganti dengan satu lot tanah di pinggiran bandar yang mana nilai hartanahnya lebih rendah daripada nilai asal tanah rizab Melayu itu. 

“Sekiranya kuota 50 peratus tidak disyaratkan kepada pemaju yang memohon proses swapping, mereka akan bertindak menjual rumah dengan harga melampaui nilai pasaran di mana tindakan itu hanya akan memberi manfaat kepada golongan tertentu yang berkemampuan sahaja. 

“Keadaan ini berlaku di Tanjung, Pulau Pinang sebelum ini di mana apabila kurang kuota Bumiputera disyaratkan kepada pemaju, mereka bertindak menaikkan harga rumah sesuka melebihi nilai pasaran sebenar sehingga menyebabkan majoriti kaum Melayu yang kurang berkemampuan terpaksa memilih untuk membeli rumah lebih murah di kawasan Seberang Perai,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian. 

Phahrolrazi berkata, tindakan memanipulasi harga hartanah di kawasan bandar akan menyebabkan masyarakat Melayu tidak mempunyai pilihan lain selain berpindah ke kawasan luar bandar. 

Menurutnya, kebanyakan rakyat di Kedah terutama masyarakat Melayu masih tidak nampak usaha Kerajaan Negeri untuk mempertahankan populasi pendudukan masyarakat Melayu di kawasan bandar.

“Ramai yang tidak sedar kebanyakan tanah rizab Melayu yang dibangunkan bagi tujuan perumahan di negeri ini tidak diganti dengan tanah lain yang berkeluasan sama pada zaman pemerintahan BN dahulu. 

“Sekiranya perkara ini berterusan berlaku, ditambah pula harga rumah yang dijual tidak mampu dibeli kerana terlalu mahal, saya bimbang orang Melayu akan merempat di bumi sendiri,” katanya. 

Phahrolrazi berkata, projek pembangunan mega dan berskala besar bukan merupakan satu keperluan kepada rakyat Kedah buat masa ini memandangkan apa yang mereka benar-benar perlukan adalah keperluan asas seperti rumah. 

“Beberapa pemaju pernah datang berjumpa dengan saya untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka berhubung syarat kuota perumahan bumiputera 50 peratus yang ditetapkan Kerajaan Negeri yang didakwa tidak menguntungkan kerana bimbang lot rumah tidak habis dijual. 

“Bagaimanapun, saya menegaskan lot rumah yang dibangunkan akan habis terjual sekiranya pemaju bertindak membina rumah yang mengikut garis kemampuan rakyat negeri ini terutama masyarakat Melayu dan yakin ianya menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

No comments:

Post a Comment