Thursday, February 17, 2011

HSB bakal tubuh kumpulan sokongan kanser


Tiga wanita tekun mendengar penerangan oleh seorang pegawai kesihatan (kanan) mengenai kanser usus di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 17 Feb. - Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akan menubuhkan kumpulan sokongan kanser bagi membantu penghidap-penghidap penyakit itu kembali menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Pengarahnya, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, kumpulan sokongan kanser itu memerlukan seramai mungkin sukarelawan yang berminat untuk membantu pesakit-pesakit kanser memulihkan kehidupan mereka.

"Kumpulan itu akan ditubuhkan pada pertengahan tahun ini dan kami menjemput mereka yang berminat untuk menyertai kumpulan ini.

"Bagi mereka yang berjaya melawan penyakit ini amat dialu-alukan menyertai kumpulan ini kerana pengalaman yang ditempuhi mereka amat berguna kepada pesakit kanser lain," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia di HSB di sini hari ini.

Menurut Juita, sokongan moral amat diperlukan oleh pesakit kanser untuk memastikan mereka tidak putus asa apabila mendapat tahu mereka menghidap penyakit itu.

"Bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan kumpulan sokongan ini boleh menghubungi Pegawai Khidmat Sosial HSB, Ooi Guat Poh ditalian 04-7406233," jelasnya.

Juita berkata, penyakit kanser disenaraikan sebagai antara punca kematian tertinggi di negara ini dan sebanyak 2,752 pesakit kanser dirawat di HSB pada tahun lalu.

"Di HSB kita hanya ada kemudahan untuk menjalankan rawatan kimoterapi serta pembedahan dan jika pesakit memerlukan rawatan lain kita terpaksa rujuk pesakit ke hospital lain," katanya.

Tambahnya, terdapat empat jenis kanser yang menjadi pembunuh utama iaitu kanser serviks, payu dara, paru-paru dan kanser kolon (usus).

"Perubahan gaya hidup rakyat negara ini yang semakin kurang menjaga kesihatan menjadi punca utama jumlah pesakit kanser mencatatkan peningkatan setiap tahun.

"Oleh sebab itu, orang ramai perlu menjaga kesihatan sejak awal dan menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai rutin bulanan mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment